JOHOR BAHRU: Pengendali skuad hoki remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berpuas hati persembahan anak buahnya menewaskan China 3-0 dalam kempen Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, malam tadi.
Bagaimanapun, Nor Saiful merasakan pemain mampu beraksi dengan lebih baik lagi dan mencatatkan kemenangan lebih besar sekali gus membantu mereka untuk ke pentas akhir.
Katanya, Young Tigers menunjukkan kematangan mereka dalam melakukan serangan namun ketumpulan sentuhan penyudah membezakan mereka dengan pencabar utama, Pakistan.
“Secara keseluruhan, saya puas hati dengan aksi pemain dan kejayaan meraih tiga mata. Namun, apa yang membuatkan saya kurang berpuas hati adalah kita melepaskan begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol. Masalah sentuhan penamat ini sebenarnya berjangkit sejak Kejohanan Piala Remaja Asia lagi dan kita masih berusaha mencari penyelesaian terbaik serta pemain yang mampu menggalas tugas tersebut. Kita ada beberapa peluang untuk menjaringkan gol setiap kali melakukan serangan dalam kawasan D namun sentuhan penyudah yang tumpul menyekat kita menambah jaringan, berbeza dengan Pakistan yang meledak 8 gol ketika membelasah China,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, kapten, Nabil Irfan Mohd. Yusof menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti dan Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill menambah satu gol padang memberikan permulaan positif buat Young Tigers.
Nor Saiful berkata, barisan kejurulatihan kini memberi penekanan serius kepada pukulan sudut penalti dan penalti stroke setelah gagal disudahkan dengan sempurna dan mencari pendekatan untuk menanganinya.
“Pukulan stroke sepatutnya menjadi kelebihan buat kita, tetapi pemain yang sama terlepas peluang tersebut dua kali, sekali di Piala Remaja Asia dan sekali lagi di sini. Mungkin selepas ini kita perlu cari pendekatan berbeza atau mencari pemain lain yang lebih berkeyakinan untuk mengambil penalti stroke. Setiap jaringan penting untuk pasukan, mungkin peluang kita hanya dibezakan dengan jumlah jaringan,” tambahnya. – UTUSAN











