Rumah Bangsa: Hadi jangan melulu hentam UMNO - Utusan Malaysia

Rumah Bangsa: Hadi jangan melulu hentam UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, DATUK OTHMAN DESA menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai merapu lagi melulu dengan tanggapan gagasan Rumah Bangsa sebagai ‘payung buruk’ yang memberi gambaran seolah Pas terasa dengan usaha bersungguh UMNO yang mahu menyatukan semula ahli dan bekas ahlinya.

Pengerusi Veteran UMNO itu mempersoalkan mengapa pimpinan Pas begitu cepat memberikan reaksi negatif sedangkan gagasan itu tidak melibatkan parti mereka sekali gus lebih menggambarkan sikap politik yang terburu-buru dan tidak berasaskan maklumat yang tepat.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN, Othman turut menyentuh tuduhan PAS bahawa UMNO mahu kembali menjadi ‘abang besar’ dalam politik Melayu yang disifatkan sebagai tidak berasas dan mengapa pimpinan Pas begitu cepat memberikan reaksi negatif sedangkan gagasan itu tidak melibatkan parti mereka.

Sebaliknya, beliau dalam sindiran sinis mempersoalkan parti mana pula yang kini berperanan sebagai ‘abang besar’ dalam gabungan Perikatan Nasional?

UMNO BANYAK PENGALAMAN
MINGGUAN MALAYSIA: Apa strategi terbaik mengembalikan UMNO sebagai parti yang dominan?
Yang pertama sekali saya rasa sudah menjadi tanggungjawab dan masa untuk parti kembali menjadi dominan, ini keperluan bagi negara dan juga rakyat.

Sistem UMNO juga masih kukuh dan masih berjalan sehingga hari ini kemudian saya melihat bahawasanya rakyat sudah mula menginginkan UMNO kembali dominan dengan dilihat lebih berwibawa dalam menyelesaikan isu-isu semasa dan masalah harian yang membelenggu rakyat.

UMNO mempunyai banyak pengalaman yang sangat berharga, malah ketika menjadi pembangkang, dan kita tidak pernah lari daripada sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

UMNO sentiasa bersedia berkorban termasuk ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan, menghormati titah Yang Di-pertuan Agong, malah menteri dari UMNO juga banyak diberi kepercayaan dalam menjaga beberapa portfolio penting dalam kerajaan.

Jika rekod kerja yang baik ini diteruskan, kita optimis keyakinan rakyat terhadap parti ini dapat dikembalikan dan menjadikan kita parti pilihan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

115 KERUSI ATAU LEBIH?
Dengan hasrat UMNO untuk tanding 115 kerusi pada PRU16, adakah ini menandakan akan berlaku pertandingan tiga penjuru termasuk melibatkan parti dalam gabungan Pakatan Harapan?
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah menyebut bahawa kita akan tanding solo dengan menggunakan lambang BN, dan ini jelas.

Pasti ada pertembungan dan sebagainya, tapi kita sudah kata kita bertanding solo, dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan kita. Kerjasama ini penting untuk pembentukan kerajaan.

Seperti dimaklumkan Presiden, 115 kerusi itu sasaran realistik dalam keadaan sekarang ini dan mungkin juga boleh lebih lagi, kita tengok keadaan, sebab ini kita bukan sengaja sasarkan, kita buat kajian.

Mungkinlah kalau kita menang semua kerusi pun, hanya cukup-cukup sahaja, cuma belum pasti mampukah untuk kita menang semuanya? Tetapi sebagai sebuah parti kita kena menawarkan sejumlah kerusi yang agak banyak, ini strategi yang baik.

Pertembungan dua penjuru jadi tiga penjuru itu tidak mustahil. Ini politik, apa sahaja boleh berlaku.

‘KACANG LUPAKAN KULIT’
Datuk juga antara anggota jawatankuasa penyatuan Rumah Bangsa, boleh beri lebih pencerahan tentang gagasan ini?
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjiwa besar, walaupun ada yang marah, dikecam macam-macam, dia seorang yang gigih berjaya membawa UMNO, menstabilkan UMNO, dalaman UMNO itu jadi bertambah mantap.

Bila timing itu sudah cantik, Presiden seru balik mereka-mereka yang pernah ‘lari’ daripada UMNO, dipecat, digantung dan sebagainya, begitu juga yang sudah menyertai parti lain tetapi masih mempunyai sekelumit kasih dan sayang kepada UMNO. Kita imarahkan balik rumah bangsa ini, perkuatkan kembali kerana kita punya tanggungjawab untuk masa depan dan generasi kita.

Namun kita minta janganlah letak syarat itu ini jika mahu sertai. Itu hanya pentingkan diri dan ada tujuan tertentu. Soal mahu bertanding jawatan atau tidak bertanding itu soal lain.

Tapi ada bekas pemimpin sebagai contoh Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Isham Jalil yang menolak mentah-mentah untuk sertai Rumah Bangsa, pandangan Datuk?
Mereka yang menolak ini, tidak mengapalah, kita tidak perlu memaksa. Cuma mereka juga tidak perlu membuat kenyataan mengutuk dan memburukkan UMNO. Sikap sebegini tidak bagus.

Ambil contoh Isham, apa yang UMNO tidak bagi dekat dia, sampai jawatan ketua penerangan, bagi bertanding Parlimen Shah Alam, bantuan jentera semua, jangan jadi “kacang lupakan kulit”.
Nasihat saya, dia boleh contohi semangat dan keikhlasan ditunjukkan Khairy Jamaluddin yang segera menyatakan hasratnya, dan begitu juga Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

SOAL JAWATAN KEMUDIAN
Ada yang kata mereka yang hendak kembali kepada UMNO pasti ada menyasarkan jawatan tertentu atau mahu menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang?
Bagi saya beginilah, perkara paling utama adalah sertai kembali dahulu. Selepas itu jawatankuasa, Majlis Kerja Tertinggi, malah Presiden sendiri pasti ada perbincangan lanjut bagi menentukan langkah strateginya yang seterusnya.

Kita gembleng dahulu kekuatan bersama itu supaya dapat menghadapi pilihan raya dengan lebih meyakinkan. Rakyat juga boleh membuat keputusan mudah untuk memilih parti mana untuk diundi.

Soalnya esok bila sudah masuk mana pakai kad ahli barukah? Kad ahli lama kah? Apa jawatan dalam parti, semua itu boleh dibincang kemudian.

BERHENTI CAKAP MERAPU

Presiden Pas maklum parti itu enggan menyertai Rumah Bangsa yang ditawarkan UMNO kerana dianggapnya bernaung di bawah bumbung yang tidak selamat atau payung yang buruk, komen Datuk?
Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang tidak faham konsep Rumah Bangsa dan memberi gambaran atau andaian yang salah. Rumah Bangsa ini adalah untuk mengajak ahli dan bekas ahli UMNO supaya balik semula membantu. Kenapa Haji Hadi terasa, ini bukan ada kaitan dengan Pas dan beliau.

Sebagai anggota dalam Jawatankuasa Muzakarah Nasional itu, saya sendiri menyaksikan kehadiran Setiausaha Agung Pas dan beberapa lagi wakil parti itu memberi respons positif dalam membincangkan isu Islam, Melayu dan Bumiputera. Tiada perbincangan melibatkan isu politik. Mungkin Haji Hadi mendapat maklumat yang salah dan terus menghentam UMNO.

Tuduhan yang dibuat bahawa UMNO walak kepada DAP juga satu tuduhan melulu. Jangan dilupa Pas pernah bertahaluf siyasi dengan DAP, malah ajak orang Melayu mengundi DAP. Dia juga dakwa UMNO ada penyakit was-was daripada bisikan syaitan. Pandangan saya dia seorang tuan guru tidak sepatutnya mengeluarkan ayat-ayat seperti itu.

Nasihat saya berhentilah cakap merapu dan menuduh UMNO. Jangan juga sombong dan riak kerana itu bukan sifat ulama sebenar. Jangan menuduh orang lain tidak perjuangkan Islam. Itu juga berdosa. Berpolitik pun berpada-pada, jangan menambah dosa.

SIAPA PULA ‘ABANG BESAR’ PN?
Apa pula reaksi bila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dakwa Rumah Bangsa cubaan UMNO jadi ‘abang besar’ semula?
Tuduhan itu berbalik kepada mereka balik. Isu Rumah Bangsa ini isu UMNO. Kita hendak tarik balik orang UMNO, yang Pas dok terasa pasai apa? Kita tidak mengajak pun parti mereka. Kata kita guna Melayu dan Islam untuk kepentingan sendiri, tidak. Sebenarnya siapa guna Islam untuk politik? Kalau hendak bercakap hal itu, mereka lagi teruk menggunakan Islam untuk kepentingan politik.

Kita politik untuk memperkukuhkan Islam, untuk menyatukan orang Melayu. Kita pun hendak memperkuat dan memperkukuh UMNO kembali, jadi yang lain itu janganlah cepat terasa dan mudah melatah.

Soal ‘abang besar’… dalam Perikatan Nasional (PN) siapa abang besar? Pas atau Bersatu, tanyalah ‘abang besar ‘ dalam PN itu siapa? Hari itu kena buli dengan Bersatu sahaja, sekarang mereka pula abang besar bukan?

UMNO tidak seperti itu, kita ikhlas dengan Rumah Bangsa ini. Malah kenyataan Presiden UMNO menyatakan penyatuan tanpa syarat lagi kerana kepentingan menyatukan agama bangsa ini melebihi dari kepentingan individu.

Pengenalan konsep ini juga bertujuan menyatupadukan orang Melayu yang banyak terpecah.

LABEL ‘UMDAP’
Ada juga bekas pemimpin yang letak syarat kalau hendak kembali, UMNO kena tolak DAP?
Soalnya bila UMNO terima DAP? Siapa yang kaitkan dengan label ‘Umdap’ ini, kita bersama PH dalam kerajaan yang mana DAP ada di dalamnya, semata untuk tubuh Kerajaan Perpaduan.
Kita letakkan syarat dan dipersetujui PH, malah dalam isu tertentu umpamanya URA dan UEC kita tentang, demi prinsip perjuangan Islam, Melayu dan tanah air.

Jadi, untuk terus mengaitkan UMNO-DAP satu persepsi yang salah. Pengundi kena faham, orang Melayu kena faham. Hubungan setakat dalam pentadbiran kerajaan sahaja, tetapi pendirian, hala tuju parti berbeza.

MELAKA, JOHOR KUBU KUAT
Ramai pihak berpandangan pilihan raya negeri dan Persekutuan dilaksanakan serentak , komen Datuk?
Jika dibuat serentak itu lebih menjimatkan. Namun itu prerogatif Perdana Menteri. Pada hemat saya, pastinya beliau akan melihat kepada kelebihan serta kekurangan (jika laksana serentak). Jadi, beliau kena fikirkan tempoh masa terbaik.

Bagi UMNO, kita sudah dalam mod bersedia. Mungkin kita boleh dikatakan antara parti yang paling bersedia, berbanding parti lain ada yang masih bergaduh, bercakaran, berpecah kerana kuasa dan perebutan jawatan.

Kata kalau kita tunggu tahun depan, apa hendak jadi pun tidak pasti. Dalam keadaan dunia berperang, adakah ekonomi akan menjadi lebih teruk, harga minyak, diesel akan terus melambung, yang pasti akan ada kesan berantai kepada urusan harian rakyat, harga barang naik. Lagi rakyat akan benci kerajaan.

Bagi Melaka dan Johor, kedua-dua negeri ini adalah kubu kuat UMNO. Kerajaan negeri bawah tadbiran UMNO menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan, kebajikan rakyat dijaga dengan baik, cukup serba serbi.

Kali ini saya yakin rakyat sudah cukup faham kemampuan UMNO selama ini. Banyak isu hanya menjadi modal politik pihak lawan, melaga-lagakan UMNO dengan DAP dan sebagainya supaya parti keramat Melayu ini terus dibenci.

Jadi, biar masa menentukan untuk Melaka dan Johor. Kita tetap yakin status quo kekal sama ada pilihan raya serentak atau berasingan.

Kebelakangan ini timbul isu yang menggugat keharmonian kaum dan agama, ada yang dakwa kerajaan lambat bertindak, pandangan Datuk?
Kerajaan perlu perkemas penguatkuasaan undang-undang, siapa bersalah, tidak kira siapa, tindakan perlu dikenakan. Jangan dibiarkan sebelum jadi lebih parah. Kementerian Dalam Negeri juga juga perlu lebih peka dan pantas dalam tindakan.

Kerajaan tidak boleh bersifat ‘longgar’ dalam untuk menjaga kesejahteraan serta keharmonian rakyat.

Di media sosial, kekang pihak yang cuba menjadi batu api, menghasut dan berbaur perkauman. Begitu juga kepada wakil rakyat yang ada, jangan ambil kesempatan, menyebelahi sesuatu isu dengan membuta-tuli, tanpa usul periksa, yang mana salah yang mana benar, jangan semata pentingkan untuk jaga undi kamu sahaja.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita patuhlah kepada undang-undang, jangan beremosi dan mengambil tindakan mendahului pihak berkuasa. Jangan fikir kita sahaja, kena fikir kesejahteraan orang lain juga, baru kita boleh hidup aman damai.

Dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum, berbeza agama, kita semua perlu saling hormat antara satu sama lain. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN