JIKA Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memilih untuk membentuk satu kerjasama politik, maka persoalan paling besar yang bakal muncul bukan lagi sekadar soal pembahagian kerusi, sebaliknya siapa akan mengetuai kerajaan?
Persoalan mengenai calon perdana menteri menjadi penting kerana kedua-dua blok mempunyai tokoh politik berpengalaman yang mempunyai latar belakang, kedudukan dan pengaruh masing-masing.
Daripada BN, antara nama yang sering disebut ialah Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selain Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ahmad Zahid ketika ini juga merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Kedudukannya dalam struktur kepimpinan BN menjadikan beliau antara tokoh utama yang secara semula jadi akan berada dalam perbincangan sekiranya berlaku pembentukan gabungan baharu.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat pula mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran termasuk pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan kini memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Pengalaman politik negeri dan pusat yang dimilikinya turut menjadikan beliau antara nama yang boleh dipertimbangkan dalam sebarang rundingan kepimpinan.
Johari pula membawa profil berbeza dengan pengalaman dalam bidang ekonomi dan korporat, selain kini memegang jawatan menteri dalam Kabinet. Penglibatan beliau dalam pengurusan ekonomi negara menjadikan namanya antara tokoh BN yang boleh muncul dalam perbincangan mengenai kepimpinan kerajaan.
Dalam PN pula, nama Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, semakin penting dalam struktur gabungan itu.
Beliau juga Menteri Besar Terengganu dan pernah mengambil alih kedudukan Ketua Pembangkang di Parlimen pada 2026 sebelum perubahan selanjutnya dalam kepimpinan pembangkang.
Nama Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga tidak boleh diketepikan. Menteri Besar Kedah itu merupakan antara tokoh utama Pas dan PN, malah pernah memegang jawatan Bendahari PN sebelum struktur pentadbiran gabungan itu dirombak pada Jun lalu.
Satu lagi nama dari PN ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin. Walaupun kedudukannya dalam struktur PN mengalami perubahan sepanjang tahun ini, namun beliau mempunyai pengalaman luas di peringkat Persekutuan dan pernah memegang beberapa portfolio Kabinet serta jawatan kepimpinan pembangkang.
Namun, jika BN dan PN benar-benar bergabung, pemilihan perdana menteri tidak semestinya ditentukan hanya berdasarkan siapa paling kanan dalam parti masing-masing.
Rundingan mengenai jumlah kerusi, sokongan ahli Parlimen, persetujuan parti komponen serta formula pembentukan kerajaan akan menjadi antara faktor utama.
Malah, persoalan itu boleh menjadi lebih rumit sekiranya kedua-dua blok mahu mengekalkan identiti serta struktur parti masing-masing.
Gabungan politik tidak semestinya bermaksud semua parti meleburkan organisasi, sebaliknya boleh berlaku dalam bentuk persefahaman atau kerjasama berdasarkan formula yang dipersetujui.
KEKUATAN UMNO-PAS SEIMBANG
Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, meskipun UMNO mempunyai pengalaman lebih lama dalam pentadbiran negara, kekuatan kedua-dua parti Melayu itu kini dilihat lebih seimbang, malah Pas mempunyai kelebihan dari segi jumlah kerusi Parlimen.
Beliau berkata, faktor pengalaman sahaja tidak lagi boleh menjadi ukuran untuk menentukan parti mana yang akan menerajui kerajaan sekiranya UMNO dan Pas bekerjasama.
“Kalau kita berdasarkan kepada pengalaman, tentulah UMNO lebih sesuai menjadi perdana menteri. Tetapi pada masa sekarang, antara UMNO dan Pas kekuatannya sudah seimbang.
“Malah dalam keadaan-keadaan tertentu Pas nampaknya lebih kuat daripada UMNO,” katanya.
Menurutnya, jumlah kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya akan datang menjadi penentu utama bagi menentukan parti yang mempunyai asas lebih kukuh untuk mengetengahkan calon Perdana Menteri.
“Kalau Pas lebih banyak kerusi, maka Pas yang akan jadi perdana menteri. Kalau UMNO, UMNO yang akan jadi perdana menteri,” katanya.
Mazlan berkata, Selain Ahmad Zahid dan Johari, terdapat juga tokoh lain yang berpotensi diketengahkan UMNO pada masa hadapan, termasuk Khairy Jamaluddin.
Bagi Pas pula, selain Ahmad Samsuri dan Muhammad Sanusi, parti ini juga tidak kering dengan barisan calon sesuai termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam pada itu, Mazlan berkata kerjasama BN-Pas dilihat penting sekiranya kedua-dua parti mahu mengurangkan perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, BN berdepan kesukaran untuk memperoleh jumlah sokongan Melayu yang besar tanpa Pas manakala pertandingan berasingan antara kedua-dua parti boleh menyebabkan undi Melayu berpecah.
“Pada masa ini UMNO melihat Pas adalah parti yang boleh membantu untuk kembali menerajui negara. UMNO boleh menang lebih banyak kerusi, terutama di kawasan Melayu.
“Pas juga berpengalaman mentadbir empat negeri dan boleh membantu UMNO untuk membangunkan negara, memperkukuhkan pemerintahan serta mewujudkan kestabilan untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya kerjasama kedua-dua parti itu direalisasikan, agenda penyatuan Melayu-Islam berpotensi menjadi antara asas utama yang diketengahkan dalam kerjasama politik berkenaan.
Katanya, penyatuan ummah boleh dijadikan teras kepada usaha UMNO dan Pas membentuk satu pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang. –UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











