APABILA Google mengumumkan pelaburan tambahan sebanyak RM61 bilion (AS$15 bilion) di Malaysia pada 4 November lalu, berita itu disambut dengan reaksi bercampur.
Bukan kerana rakyat tidak menghargai kemasukan pelabur asing tetapi pengumuman bernilai berbilion-bilion ringgit sudah terlalu kerap didengar.
Bagi kebanyakan rakyat, ukuran kejayaan ekonomi bukan sekadar jumlah modal yang masuk, sebaliknya sejauh mana ia mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup, menyediakan pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.
Pelaburan Google sememangnya perkembangan besar. Ia merangkumi pembesaran kampus sedia ada di Elmina Business Park, Selangor serta pembangunan kampus baharu di Puncak Alam, Serendah dan Port Dickson bagi tempoh 2027 hingga 2028. Projek itu turut berkait dengan pelaburan awal AS$2 bilion (RM8.17 bilion) yang diumumkan pada Mei 2024.
Namun, perkara lebih penting ialah manfaat selepas projek tersebut siap. Adakah peluang yang diwujudkan hanya tertumpu ketika fasa pembinaan atau mampu menghasilkan kegiatan ekonomi yang berpanjangan?
Kerajaan kini dilihat semakin menekankan kualiti pelaburan berbanding nilai semata-mata. Fokusnya ialah sejauh mana projek berkenaan mampu mencipta nilai tambah kepada ekonomi tempatan.
Pendekatan itu dapat dilihat melalui syarat terhadap projek pusat data baharu. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menegaskan di Dewan Rakyat bahawa projek berkenaan perlu memenuhi sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan.
Syarat ini membuka ruang kepada konsultan, kontraktor, jurutera dan pengurus perolehan tempatan untuk mendapat manfaat daripada kemasukan syarikat global. Pelaburan besar tidak sepatutnya berhenti pada pemilik projek, sebaliknya turut menggerakkan syarikat tempatan serta tenaga kerja dalam rantaian bekalan.
Pada masa sama, kerajaan memperketat syarat penggunaan sumber. Negeri yang tidak mempunyai bekalan air mencukupi tidak akan dibenarkan menempatkan pusat data walaupun mempunyai tanah yang luas.
Pengendali juga perlu membayar elektrik pada kadar pasaran tanpa subsidi, membayar kapasiti penuh yang diperuntukkan serta memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga datang daripada sumber boleh baharu.
Langkah ini penting kerana pusat data menggunakan elektrik dan air dalam jumlah yang besar. Pembangunan digital perlu bergerak seiring dengan keupayaan negara menyediakan tenaga dan air yang mencukupi kepada rakyat serta sektor ekonomi lain.
Setakat ini, Malaysia telah meluluskan 117 projek pusat data yang apabila siap sepenuhnya dijangka memerlukan antara 23,000 hingga 23,500 megawatt elektrik. Jumlah tersebut bukan kecil dan memerlukan perancangan rapi supaya tidak menekan bekalan kepada industri lain yang turut bergantung pada grid yang sama.
Atas pertimbangan itu, keputusan menangguhkan pertimbangan terhadap 24 permohonan baharu sehingga kecukupan bekalan elektrik dapat dipastikan menunjukkan kemasukan pelaburan perlu diseimbangkan dengan kepentingan jangka panjang negara.
PELABURAN BESAR, PEKERJAAN SEJAUH MANA?
Isu yang lebih dekat dengan rakyat ialah peluang pekerjaan. Angka pelaburan yang besar tidak semestinya menghasilkan jumlah pekerjaan yang setara.
Google menganggarkan fasa pembinaan kampus baharunya pada 2027 dan 2028 akan menyokong lebih 37,000 pekerjaan tempatan setahun dengan pendapatan buruh tahunan mencecah AS$378 juta (kira-kira RM1.55 bilion).
Selepas kemudahan beroperasi pula, lebih 9,000 pekerjaan tempatan dijangka diwujudkan dalam jangka panjang.
Fasa pembinaan sememangnya memberi manfaat kepada pekerja binaan, juruteknik, pemandu lori dan perniagaan kecil yang terlibat. Namun, keperluan tenaga kerja selepas operasi bermula jauh berbeza.
Bagi graduan kejuruteraan di Port Dickson misalnya, perkara lebih penting bukan sekadar kewujudan bangunan pusat data, tetapi peluang mendapatkan pekerjaan tetap dan berkualiti selepas projek itu beroperasi.
Data Pasukan Petugas Pusat Data turut memberikan gambaran yang lebih jelas. Daripada 27 projek bernilai RM225.97 bilion yang diluluskan, hanya 4,053 pekerjaan kekal dijangka diwujudkan dan 3,523 daripadanya merupakan pekerjaan mahir.
Ini menunjukkan industri pusat data tidak memerlukan ribuan pekerja selepas pembinaan selesai. Sebaliknya, ia memerlukan tenaga kerja dengan kemahiran khusus seperti kejuruteraan elektrik, rangkaian, keselamatan siber dan sistem penyejukan.
Sebab itu sasaran kerajaan mewujudkan 300,000 pekerjaan berkaitan AI menjelang 2030 melalui Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 dan Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 perlu dilihat dalam konteks lebih luas. Peluang tersebut tidak akan datang daripada pusat data semata-mata.
Ia perlu berkembang melalui ekosistem di sekelilingnya, termasuk vendor tempatan, syarikat perisian, penyedia perkhidmatan digital serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan produktiviti.
Dalam Belanjawan 2027, kerajaan memperuntukkan RM30 juta melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengautomasi operasi menggunakan AI, melatih 5,000 profesional serta menyediakan 100,000 langganan AI percuma kepada belia.
Nilainya mungkin kecil berbanding pelaburan RM61 bilion Google tetapi manfaat seperti ini penting untuk memastikan teknologi tidak hanya berkembang dalam lingkungan syarikat besar.
Komitmen Google melatih kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031 juga perlu dilihat daripada sudut yang sama. Latihan itu bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan pusat data, tetapi membina tenaga kerja yang mampu menyertai ekonomi digital dan ekosistem AI.
Nilai sebenar latihan tersebut bergantung pada kemampuan peserta menggunakan kemahiran berkenaan untuk membangunkan aplikasi, mengautomasi proses kerja, mengurus sistem digital atau mencipta perniagaan baharu.
EKOSISTEM DIGITAL PERLU SAMPAI KEPADA RAKYAT
Beberapa hari selepas pengumuman Google, Malaysia turut mencatat perkembangan positif apabila melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 dunia dalam Laporan IMD World Digital and AI Ranking 2026. Malaysia juga berada di tempat kedua ASEAN selepas Singapura.
Penggunaan AI meningkat 21 anak tangga ke tempat ke-14 dunia, manakala pelaksanaan strategi AI nasional berada di tempat ke-12. Malaysia turut menduduki tempat ke-18 dalam pembangunan tenaga kerja.
Pencapaian ini menunjukkan Malaysia bukan sahaja semakin menarik sebagai destinasi pelaburan teknologi, malah sedang membina keupayaan digital sendiri.
Google turut berjanji menambah lebih 1 gigawatt kapasiti tenaga bersih kepada Grid Nasional dan bekerjasama dengan lebih 80 entiti Malaysia dalam bidang pembinaan, kejuruteraan awam, infrastruktur rangkaian, komponen kuasa dan penyejukan serta perkhidmatan sokongan.
Semua perkembangan ini positif. Namun, ukuran sebenar tetap terletak pada pelaksanaannya. Rakyat perlu melihat manfaat dalam bentuk peluang pekerjaan, kontrak kepada vendor tempatan, latihan kemahiran dan pertumbuhan perniagaan.
Manfaat ekonomi digital juga tidak seharusnya terhenti pada syarikat besar. Peniaga kecil perlu mempunyai ruang untuk berkembang melalui platform digital tanpa terlalu dibebani komisen, syarat kontrak yang tidak seimbang atau kawalan platform terhadap data pelanggan.
Pusat data tercanggih tidak banyak ertinya jika manfaat ekonomi digital tidak sampai kepada masyarakat yang lebih luas. Pelaburan bernilai RM61 bilion hanya benar-benar memberi makna apabila angka tersebut diterjemahkan kepada pekerjaan, pendapatan, kemahiran dan peluang perniagaan yang dapat dirasai rakyat. -UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Hasniza Mohd. Taib ialah pensyarah di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).











