Imej Google Earth rakam kelibat misteri - Utusan Malaysia

Imej Google Earth rakam kelibat misteri

KELIBAT misteri dirakam aplikasi Google Maps. - Google Maps
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EDINBURGH: Satu imej yang dirakam menerusi aplikasi Google Earth telah mengesan imej misteri di Tasik Loch Ness, Scotland sehingga menyebabkan seorang pelancong me­nganggapnya sebagai kelompok ‘keluarga’ kecil makhluk raksasa legenda, Nessie.

Menurut laporan portal Inverness Courier, Julie Fraser menemukan tiga kelibat misteri itu baru-baru ini dan telah melaporkan penemuan imej tersebut kepada Pejabat Pendaftaran Rasmi Penampakan Loch Ness.

Beliau kini sedang menantikan pengesahan sama ada ia bakal direkodkan sebagai penampakan ke-17 bagi raksasa legenda itu pada tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya merancang untuk me­lawat Inverness (bandar Scotland) pada penghujung tahun ini dan secara tidak sengaja terjumpa tiga objek berkenaan ketika menggunakan Google Earth.

“Apabila meneliti dan membesarkan imej itu, ia langsung tidak kelihatan seperti bot.

“Sebaliknya, (kelibat itu) lebih menyerupai paus atau spesies seumpamanya yang mempunyai bentuk melengkung pada bahagian belakang,” katanya kepada portal berita tempatan tersebut.

Fraser turut menjelaskan bahawa gambar berkenaan tidak menunjukkan sebarang alur atau ombak berbentuk ‘V’ di belakang ketiga-tiga kelibat itu, berbeza dengan imej bot persiaran berhampiran yang jelas membelah air tasik.

“(Ia) sekali gus menguatkan tanggapannya bahawa kelibat itu  bukannya kapal,” tambah­nya.

Beliau juga menunjukkan catatan tarikh 2026 yang tertera pada paparan imej berkenaan, bersama keadaan pokok-pokok di sekitar lokasi yang masih tebal berdaun sebagai bukti bahawa rakaman tersebut masih baharu.

Menurut Fraser, pejabat pendaftaran rasmi telah menghubunginya dan mengesahkan bahawa mereka kini sedang menilai serta meneliti imej ber­kenaan.

“Memikirkan tentang kewujudan ‘keluarga’ kecil Nessie ini memang amat mengujakan,” seloroh Fraser.

Menurut rekod pejabat pendaftaran rasmi itu, sekiranya penemuan ini disahkan, ia bakal menjadi penampakan digital ketiga yang dicatatkan sejak Januari lalu.

Ini sekali gus menjadikan tahun ini antara yang paling aktif bagi raksasa legenda tersebut selepas mencatatkan 14 penemuan secara bersemuka dan dua lagi menerusi kamera web. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×