Amanah tentu untung rugi negara

Amanah tentu untung rugi negara

AMANAH dan integriti dalam pekerjaan bukan sahaja menentukan kecemerlangan organisasi, malah melindungi kesejahteraan masyarakat dan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP pekerjaan merupakan suatu amanah yang bukan sahaja menuntut penyempurnaan tugas tetapi juga kejujuran, keikhlasan dan rasa tanggungjawab terhadap kesan yang terhasil daripada setiap tindakan.

Dalam Islam, pekerjaan bukan sekadar medium memperoleh pendapatan, bahkan merupakan ibadah apabila dilaksanakan dengan niat yang ikhlas, cara yang betul dan berlandaskan nilai-nilai yang dituntut oleh Allah SWT.

Nilai murni seperti amanah, integriti, ihsan, keadilan, ketekunan dan akauntabiliti merupakan asas pembentukan individu berakhlak serta organisasi yang cemerlang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penghayatan nilai-nilai ini amat penting kerana setiap pekerjaan, tanpa mengira pangkat atau kedudukan, mempunyai hubungan dengan kepentingan dan kesejahteraan pihak lain.

Kegagalan menunaikan amanah bukan sahaja menjejaskan prestasi individu atau organisasi, malah berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara.

Dalam keadaan tertentu, kesannya boleh melangkaui sempadan antarabangsa, sebagaimana yang dapat diperhatikan melalui kejadian jerebu rentas sempadan di rantau Asia Tenggara.

PENGABAIAN AMANAH

Dalam persekitaran pekerjaan yang semakin mencabar, tekanan mencapai sasaran prestasi, persaingan ekonomi dan keinginan memperoleh keuntungan segera kadangkala menyebabkan aspek amanah dan integriti dipandang ringan.

Pengabaian amanah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk kecuaian, penyalahgunaan kuasa, ketidakpatuhan terhadap prosedur, kegagalan mengurus risiko, pembaziran sumber serta sikap tidak mengambil peduli terhadap keselamatan dan kebajikan orang lain.

Lebih membimbangkan apabila seseorang menganggap tanggungjawabnya telah selesai sekadar memenuhi arahan atau mencapai sasaran, tanpa mempertimbangkan implikasi tindakannya.

Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Anfal, ayat 27 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Peringatan ini memperlihatkan amanah tidak boleh dipisahkan daripada kesedaran moral dan pertanggungjawaban seseorang.

Isu jerebu rentas sempadan merupakan contoh bagaimana aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab, termasuk pembakaran terbuka dan pengurusan tanah yang tidak lestari, boleh memburukkan pencemaran udara.

Kegagalan mengurus risiko tersebut boleh menyebabkan masyarakat di kawasan lain, termasuk negara jiran, menanggung akibat yang bukan berpunca daripada tindakan mereka sendiri.

Keadaan ini membuktikan amanah bukan hanya tanggungjawab individu kepada majikan tetapi juga tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, alam sekitar dan generasi akan datang.

Amanah merupakan tunjang kepada pembentukan budaya kerja yang berintegriti. Individu yang amanah akan melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh walaupun tanpa pengawasan berterusan.

Pekerja yang amanah tidak akan menyembunyikan kesilapan, mengabaikan risiko atau memindahkan tanggungjawab kepada orang lain semata-mata untuk melindungi kepentingan dirinya.

Apabila nilai ini diamalkan secara menyeluruh, organisasi akan memperoleh kepercayaan masyarakat, meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dan mengurangkan risiko penyelewengan serta pembaziran.

Islam turut menekankan konsep ihsan, iaitu melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin berasaskan kesedaran setiap tindakan berada dalam pengetahuan Allah.

Konsep itqan pula menggambarkan ketelitian, kesungguhan dan kecemerlangan dalam menghasilkan pekerjaan berkualiti.

Dalam sektor kesihatan, misalnya, kecuaian mematuhi prosedur keselamatan boleh mengancam nyawa pesakit.

Dalam sektor pendidikan, kegagalan melaksanakan tanggungjawab pengajaran boleh menjejaskan masa depan pelajar. Begitu juga dalam pengurusan alam sekitar, kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan boleh menyebabkan pencemaran yang membahayakan masyarakat.

Justeru, ihsan dan itqan perlu menjadi budaya kerja. Integriti menuntut keselarasan antara prinsip, perkataan dan tindakan, manakala akauntabiliti menuntut seseorang bersedia mempertanggungjawabkan keputusan yang dibuat.

KESAN TERHADAP NEGARA, NEGARA JIRAN

Kejadian jerebu rentas sempadan memperlihatkan bagaimana pencemaran yang berpunca dari sesuatu kawasan boleh menjejaskan kesihatan penduduk di negara lain apabila dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit pernafasan, penyakit kardiovaskular dan strok.

Kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang menghidap penyakit kronik merupakan antara golongan yang lebih terdedah kepada kesan buruk pencemaran udara.

Apabila masalah kesihatan meningkat, permintaan terhadap perkhidmatan klinik dan hospital turut berpotensi bertambah. Keadaan ini membawa implikasi kewangan melalui kos rawatan, ubat-ubatan, penggunaan kemudahan kesihatan dan kehilangan produktiviti akibat cuti sakit.

Akhirnya, masyarakat dan kerajaan mungkin terpaksa menanggung perbelanjaan yang jauh lebih besar daripada keuntungan jangka pendek yang diperoleh melalui aktiviti yang tidak bertanggungjawab.

Kita mengetahui banyak sekolah ditutup berikutan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri, boleh mengganggu kesinambungan proses pengajaran dan pembelajaran.

Pencemaran udara turut memberikan kesan terhadap ekonomi melalui peningkatan ketidakhadiran bekerja, gangguan kegiatan perniagaan, pengurangan aktiviti pelancongan serta kos tambahan untuk langkah perlindungan kesihatan awam.

Sektor pengangkutan juga boleh terjejas apabila jarak penglihatan berkurangan sehingga mengganggu operasi tertentu.

Kesan ekonomi tersebut tidak semestinya ditanggung oleh pihak yang menyebabkan pencemaran. Sebaliknya, beban berkenaan boleh dipindahkan kepada masyarakat, majikan, kerajaan dan negara jiran.

Jerebu rentas sempadan memperlihatkan kepentingan kerjasama antara negara ASEAN dalam pencegahan kebakaran, perkongsian maklumat, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.

Prinsip amanah perlu diperluas daripada tanggungjawab individu kepada tanggungjawab institusi, sektor korporat dan kerajaan. Setiap pihak perlu memastikan keputusan pembangunan tidak menyebabkan masyarakat di negara lain menanggung kemudaratan yang boleh dicegah.

MEMBUDAYAKAN AMANAH

Pembentukan budaya amanah menuntut kepimpinan melalui teladan, pendidikan nilai, sistem pemantauan yang berkesan dan kesediaan setiap individu untuk bertanggungjawab terhadap tindakannya.

Dalam sesebuah organisasi, penghayatan amanah perlu diterjemahkan melalui pematuhan prosedur, pelaporan risiko, penggunaan sumber secara berhemah, pengurusan yang telus dan tindakan pembetulan terhadap kelemahan yang dikenal pasti.

Lebih penting, setiap individu perlu memahami kejayaan organisasi bukan sekadar pencapaian petunjuk prestasi tetapi turut bergantung pada kemampuan menghasilkan manfaat dan mencegah kemudaratan kepada masyarakat.

Amanah, ihsan, itqan, integriti dan keadilan bukan sekadar nilai moral yang indah untuk dibicarakan, tetapi merupakan asas penting dalam memastikan pekerjaan dilaksanakan secara berkualiti dan bertanggungjawab.

Justeru, setiap individu perlu menyedari tanggungjawab pekerjaan tidak berakhir apabila sesuatu tugasan disiapkan. Tanggungjawab tersebut turut merangkumi kesan keputusan dan tindakan terhadap kesejahteraan orang lain.

Kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui keuntungan, produktiviti atau pencapaian sasaran tetapi juga melalui sejauh mana kita memelihara amanah, mencegah kemudaratan dan memberikan manfaat kepada masyarakat. –UTUSAN

 

DR.Siti Zainab Tauhed ialah Pengarah (Pentadbiran), Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini