Pak Samad pergi, sastera hilang permata, bangsa hilang suara

Pak Samad pergi, sastera hilang permata, bangsa hilang suara

A. SAMAD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMERGIAN Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said pada petang Selasa lalu di usia 91 tahun bukan sekadar satu kehilangan seorang tokoh besar kesusasteraan Melayu. Ia adalah satu pemergian yang tiada galang-gantinya. Yang bakal meninggalkan kekosongan yang sukar diisi dalam dunia kesusasteraan, persuratan dan kebudayaan tanah air.

Allahyarham merupakan antara nama paling berpengaruh dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden. Sudah tentu pemergiannya menutup satu lagi perjalanan panjang seorang pengarang yang sepanjang hayatnya menjadikan bahasa, sastera dan kemanusiaan sebagai medan perjuangan.

Bagi mereka yang mengenali sumbangan dan pemikirannya, sudah tentu A. Samad Said akan kekal dalam minda.Allahyarham akan terus hidup melalui karya-karya yang ditinggalkan, pemikiran yang dicurahkan dan keberanian mengangkat suara masyarakat menerusi penulisan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, Allahyarham biasa dipanggil Pak Samad memulakan perjalanan hidupnya dalam suasana zaman penuh cabaran. Pengalaman membesar ketika negara melalui zaman peperangan dan pendudukan Jepun turut membentuk pandangan serta kepekaannya terhadap penderitaan manusia.

Pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura sebelum melanjutkan pelajaran ke Victoria Institution sehingga memperoleh Sijil Senior Cambridge pada 1956 menjadi asas kepada perkembangan intelektualnya.

Selepas menamatkan persekolahan, beliau pernah bekerja sebagai kerani di Hospital Umum Singapura sebelum melangkah ke dunia penulisan.

Mungkin ramai yang tidak sedar perjalanan A. Samad Said dalam dunia persuratan sebenarnya bermula daripada dunia kewartawanan. Bermula dengan Fikiran Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam sebelum menyertai Utusan Zaman di Singapura yang ketika itu dipimpin Usman Awang dan seterusnya Utusan Melayu yang pada permulaan diterbitkan di Singapura.

Pengalaman bersama Utusan Melayu membawanya ke Kuala Lumpur, termasuk membantu mengendalikan majalah Mastika. Beliau kemudian mengembangkan kerjaya dalam kumpulan akhbar Berita Harian dan The New Straits Times. Malah pernah memegang jawatan Ketua Pengarang Warta Teberau pada 1981.

Pengalaman panjang dalam dunia kewartawanan itulah yang membentuk ketajaman pemerhatian dan kepekaannya terhadap kehidupan masyarakat, sekali gus menjadi sumber kekuatan karya-karya sasteranya.

Penglibatannya dalam dunia kewartawanan bukan sekadar mencari pengalaman pekerjaan. Sebaliknya, bidang itu memberikan peluang kepadanya menyaksikan sendiri pelbagai sisi kehidupan manusia, daripada kemiskinan, ketidakadilan sehinggalah perubahan sosial dan pergolakan masyarakat.

Sebagai wartawan dan pengarang akhbar menjadikan penulisannya mempunyai keistimewaan tersendiri. Beliau bukan sekadar menulis berdasarkan imaginasi tetapi menggabungkan pemerhatian, pengalaman dan kepekaan terhadap denyut kehidupan masyarakat.

Nama A. Samad Said mula mendapat perhatian besar dalam dunia kesusasteraan menerusi novel Salina yang diterbitkan pada 1961.

Novel yang pada asalnya dikenali sebagai Gerhana itu mendapat pengiktirafan dalam peraduan novel Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1958 sebelum diterbitkan dengan judul Salina.

Karya tersebut bukan sahaja mengangkat nama Pak Samad, tetapi antara pencapaian penting dalam sejarah novel Melayu moden kerana keberaniannya mengangkat kehidupan golongan terpinggir, khususnya masyarakat yang berdepan kemiskinan, penderitaan dan keruntuhan kehidupan akibat peperangan.

Melalui watak dan jalan cerita yang dibangunkan, Pak Samad memperlihatkan sastera bukan sekadar hiburan atau susunan kata-kata indah tetapi medium untuk memahami manusia, menilai masyarakat dan membangkitkan kesedaran.

Kejayaan Salina membuka ruang kepada perkembangan karya-karya besar beliau yang lain, termasuk Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie.

Setiap karya mempunyai kekuatan dan pendekatan tersendiri. Namun tetap memperlihatkan keistimewaan pengarangnya dalam mengungkap persoalan kemanusiaan, sejarah, perubahan masyarakat dan pergolakan jiwa.

Dalam bidang puisi, beliau menghasilkan karya seperti Liar di Api yang memperlihatkan kemampuan bereksperimen dengan bahasa, bentuk dan pemikiran. Keupayaannya berkarya merentas pelbagai genre membuktikan beliau bukan sekadar seorang novelis tetapi pengarang yang mempunyai penguasaan luas terhadap dunia penulisan.

 

SASTERAWAN NEGARA YANG MENGANGKAT MARTABAT BAHASA

Pengiktirafan terhadap sumbangan Allahyarham hadir melalui pelbagai anugerah dan penghormatan sepanjang hayatnya.

Anugerah Pejuang Sastera diterimanya pada 1976, diikuti SEA Write Award pada 1979 sebelum mencapai kemuncak pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985.

Beliau turut menerima Anugerah Sasterawan Nusantara pada 1999 dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2003.

Ukuran sebenar nama besar A. Samad Said bukan terletak pada jumlah anugerah atau gelaran yang diterima tetapi keupayaannya menjadikan kesusasteraan sebagai sebahagian daripada kehidupan intelektual dan kesedaran masyarakat.

Beliau juga dikenali sebagai antara tokoh yang konsisten memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa kebudayaan dan bahasa yang mempunyai kekuatan untuk berdiri setanding dengan bahasa-bahasa lain.

Dalam perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan, beliau tidak sekadar menyampaikan pandangan melalui penulisan, malah turut tampil dalam gerakan masyarakat, termasuk Gerakan Mansuhkan PPSMI yang memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran sains serta matematik.

Pak Samad antara individu yang sanggup menentang establishme demi perjuangannya. Penglibatannya dalam gerakan masyarakat sivil, termasuk perjuangan menuntut pilihan raya yang lebih bersih dan adil, memperlihatkan beliau tidak pernah memisahkan dunia sastera daripada tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Bagi Pak Samad, seorang penulis tidak seharusnya hanya menjadi pemerhati yang berdiam diri apabila berhadapan persoalan besar masyarakat. Penulis perlu mempunyai keberanian menyuarakan pandangan, mempertahankan prinsip dan menggunakan kekuatan bahasa untuk menyampaikan kebenaran.

 

LEGASI YANG TIDAK MUNGKIN TERPADAM

Biarpun dunia semakin berubah dengan digitalisasi semakin menguasai masyarakat, sumbangan Pak Samad tetap menjadi peringatan kekuatan sesebuah bangsa bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal tetapi juga melalui kematangan pemikiran, kekayaan budaya dan keupayaan menghargai ilmu.

Beliau membuktikan seorang pengarang mampu memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat. Karya-karyanya bukan sahaja dibaca pada zamannya, malah terus menjadi bahan kajian, perbincangan dan rujukan dalam institusi pendidikan serta dunia akademik.

Pemergian Pak Samad kehilangan kepada dunia penulisan di negara ini. Lebih-lebih lagi dunia kewartawanan yang turut kehilangan seorang tokoh yang pernah menjadikan bidang persuratkhabaran sebagai sebahagian penting perjalanan hidupnya sebelum mengukuhkan kedudukan sebagai antara pengarang paling berpengaruh di negara ini.

Tidak mudah untuk melahirkan seorang tokoh yang mampu meninggalkan kesan merentasi dunia kewartawanan, kesusasteraan, kebudayaan dan perjuangan masyarakat seperti A. Samad Said.

Terima kasih Pak Samad. Namamu mungkin terukir pada lembaran sejarah tetapi pemikiran dan karyamu akan terus hidup dalam ingatan bangsa. Al-Fatihah. –UTUSAN

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Sdn.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini