KUANTAN: Buntu menyewa mesin pemantau saraf untuk pembedahan suami dalam masa terdekat, Lailatul Hidayah Kamal Hata, 42, merayu ihsan orang ramai membantu menyelamatkan peluang suaminya mendapat rawatan diperlukan.
Lebih memilukan, suaminya, Mohd. Rizuwan Muhammad Ini, 42, menghidap kanser tiroid yang semakin agresif sehingga merebak ke bahagian kepala dan menyebabkan sebahagian tempurung kepalanya terhakis akibat sel kanser.
Lailatul Hidayah berkata, mesin pemantau saraf itu diperlukan sepanjang pembedahan bagi memantau fungsi saraf suaminya, namun pihak hospital tidak menyediakan kemudahan berkenaan dan pesakit perlu menyewanya sendiri.
Katanya, dia masih belum berjaya mendapatkannya walaupun sudah berusaha memohon bantuan daripada Majlis Kanser Nasional (Makna) dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Saya dimaklumkan pihak hospital tidak menyediakan mesin itu dan kami perlu menyewanya sendiri dengan kos yang dianggarkan RM3,200.
“Saya bukan meminta untuk perkara lain, cuma berharap suami boleh menjalani pembedahan dengan lancar. Masa semakin suntuk dan saya buntu memikirkan cara untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Balok Makmur, di sini.
Mengimbas detik awal penyakit suaminya, Lailatul Hidayah berkata, semuanya bermula sekitar Mei 2019 apabila Mohd. Rizuwan menyedari terdapat benjolan pada leher ketika bekerja sebagai operator kilang di Gebeng sebelum pemeriksaan doktor mengesahkan dia menghidap kanser tiroid.
Selepas tujuh tahun berjuang melawan penyakit itu, keadaan kesihatannya semakin serius apabila sel kanser merebak ke bahagian kepala sehingga menyebabkan sebahagian tempurung kepalanya terhakis.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan boleh menghubungi beliau di 011-23778538 atau menyalurkannya ke akaun CIMB bernombor 7652561733 atas nama Lailatul Hidayah Kamal Hata. – UTUSAN











