JOHOR BAHRU: Ada peniaga Bazar Karat Johor Bahru pulang tanpa satu pun jualan selepas membuka gerai seperti biasa, manakala sebahagian lagi sukar mencatat jualan RM100 sehari sejak berpindah dari Jalan Segget ke tapak sementara di Jalan Duke.
Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat JB, Fuad Rahmat berkata, kedudukan tapak sementara di kawasan parkir bersebelahan Bangunan Kotaraya@UTC yang disifatkan kurang strategik menjadi antara faktor kemerosotan jumlah pengunjung dan jualan peniaga.
“Kebanyakan di sini adalah peniaga kecil yang bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan harian untuk menyara keluarga.
“Apabila pengunjung berkurangan, pendapatan turut merosot sedangkan kos operasi dan perbelanjaan harian tetap perlu ditanggung,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Fuad, tapak asal di Jalan Segget lebih luas dan selesa, sekali gus menjadi tumpuan pengunjung untuk bersiar-siar dan membeli-belah bersama keluarga, manakala tapak sementara berdepan masalah tempat letak kereta dan kurang menarik perhatian pengunjung.
Katanya, kemerosotan jualan turut menjejaskan modal pusingan sehingga ada peniaga yang sukar mendapatkan stok baharu untuk meneruskan perniagaan.
Fuad berkata, para peniaga masih berharap dapat berpindah ke tapak baharu di belakang Bangunan JOTIC, Jalan Syed Mohamed Mufti, yang sebelum ini dimaklumkan dijangka dilaksanakan pada Jun lalu.
Bagaimanapun, katanya, perpindahan itu masih belum dilaksanakan dan peniaga dimaklumkan perlu menunggu sehingga urusan perpindahan pihak mahkamah ke Nusajaya selesai. – UTUSAN











