Matrix Concepts raih dua pengiktirafan utama Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2026

Matrix Concepts raih dua pengiktirafan utama Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2026

LEE Tian Hock (kanan) dan Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad (kiri) dalam Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) meraih dua pengiktirafan utama pada Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pembangunan hartanah negara.

Pengasas merangkap Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Lee Tian Hock, dinobatkan sebagai Tokoh Hartanah FIABCI Malaysia 2026, manakala pembangunan utamanya, Bandar Sri Sendayan, memenangi kategori Pelan Induk dan Perbandaran.

“Pengiktirafan yang disampaikan pada majlis berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya, semalam itu membawa makna tersendiri kepada kumpulan berkenaan yang menyambut ulang tahun ke-30 penubuhannya tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anugerah berkenaan dianjurkan oleh FIABCI-Malaysia, cawangan tempatan Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI), bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan hartanah,” katanya dalam kenyataan.

Projek yang memenangi anugerah berkenaan turut berpeluang mewakili Malaysia pada Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence.

Menurut Lee, pengiktirafan itu bukan sahaja satu penghormatan kepada pencapaian peribadinya, malah hasil sumbangan keluarga, warga kerja, rakan niaga dan seluruh pasukan Matrix Concepts.

Katanya, kejayaan sebenar dalam perniagaan bukan sekadar diukur menerusi pembangunan fizikal, sebaliknya kepercayaan yang dibina serta peluang yang diwujudkan untuk masyarakat.

“Bangunan mungkin kekal berdiri selama beberapa dekad, tetapi kepercayaan mampu bertahan merentas generasi.

“Saya bermula daripada kehidupan serba sederhana dan tidak pernah melupakan pengalaman ketika kekurangan. Setiap kejayaan yang dicapai seharusnya membuka peluang kepada orang lain untuk terus maju,” katanya.

Lee yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam pembangunan hartanah menubuhkan Matrix Concepts pada 1996 sebelum memulakan projek pembangunan pertamanya, Taman Bahau, Negeri Sembilan pada 1997 ketika negara berdepan Krisis Kewangan Asia.

Berbekalkan prinsip keikhlasan, integriti dan kepercayaan, kumpulan itu berkembang daripada pemaju berskala kecil di Negeri Sembilan kepada kumpulan hartanah yang mempunyai kepelbagaian perniagaan merangkumi pembangunan hartanah, pembinaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan hospitaliti.

Selain Negeri Sembilan, operasi kumpulan itu turut berkembang ke Lembah Klang dan Johor, selain mempunyai kehadiran antarabangsa di Melbourne, Australia serta Indonesia.

“Antara pencapaian penting kumpulan itu ialah pembangunan Bandar Sri Sendayan sebagai sebuah perbandaran bersepadu yang menyediakan persekitaran kediaman, pekerjaan dan kemudahan sokongan untuk masyarakat,” katanya.

Matrix Concepts turut mencatat sejarah apabila menjadi antara tiga syarikat hartanah terpilih yang menerima kedua-dua pengiktirafan Ketua Pegawai Eksekutif Hartanah dan Tokoh Hartanah FIABCI-Malaysia.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan, Ho Kong Soon, menerima pengiktirafan Ketua Pegawai Eksekutif Hartanah pada 2022, manakala Lee menerima pengiktirafan Tokoh Hartanah tahun ini.

Sebelum ini, projek Hijayu 2 – Resort Homes turut memenangi kategori Kediaman Bertingkat Rendah pada 2023.

Selain pencapaian dalam bidang hartanah, Lee turut aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat menerusi inisiatif pendidikan, biasiswa, penjagaan kesihatan, pembangunan sukan, kebajikan komuniti dan rumah ibadat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini