PETALING JAYA: Harga emas dunia merosot sehingga menghampiri AS$3,550 seauns atau RM469.57 segram dalam dagangan Rabu, susut hampir AS$140 seauns berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta tumpuan pelabur terhadap data inflasi negara itu.
Bagaimanapun, niaga hadapan emas meningkat 1.8 peratus kepada AS$3,636.40 seauns atau RM480.27 segram dalam dagangan seterusnya.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, antara faktor utama yang menekan harga emas ialah jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) meneruskan kenaikan kadar faedah dalam mesyuarat dasar monetari pada 8 dan 9 Disember ini.
“Penilaian pasaran kewangan ketika ini jelas menunjukkan kemungkinan Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 mata peratus. Malah, sebahagian pelabur turut mempertimbangkan kemungkinan kenaikan lebih besar sekiranya tekanan inflasi berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penurunan harga emas minggu lalu turut berlaku susulan tekanan jualan besar-besaran dalam pasaran ekuiti, didorong kebimbangan terhadap perkembangan industri kecerdasan buatan (AI), ketidaktentuan melibatkan Nvidia serta jangkaan kadar faedah AS kekal tinggi.
“Pengukuhan dolar AS turut memberi tekanan kepada harga emas memandangkan komoditi yang diniagakan dalam mata wang itu menjadi lebih mahal kepada pembeli menggunakan mata wang lain,” katanya.
Sementara itu, Goldman Sachs berkata, penurunan harga emas ketika pasaran ekuiti mengalami jualan besar-besaran merupakan corak lazim memandangkan kecairan tinggi logam berharga itu menjadikannya antara aset yang mudah dijual bagi mendapatkan tunai ketika pasaran mengalami tekanan.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu berpandangan pemulihan harga emas mungkin berdepan cabaran apabila sesetengah dana lindung nilai masih berhati-hati untuk membina semula pegangan menjelang akhir tahun.
“Prospek kenaikan kadar faedah turut berpotensi mengehadkan pembelian baharu emas apabila pelabur mengambil pendekatan menunggu dan melihat perkembangan dasar monetari AS,” katanya.
Data CME FedWatch menunjukkan pasaran meletakkan kebarangkalian sebanyak 97 peratus bagi kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Disember, manakala kemungkinan kenaikan lebih besar sebanyak 50 mata asas tidak lagi menjadi jangkaan utama.
Dalam perkembangan berkaitan, pelabur kini turut menantikan pengumuman data inflasi AS bagi menilai hala tuju dasar monetari Fed, memandangkan bacaan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh mengukuhkan alasan untuk bank pusat itu meneruskan pengetatan dasar monetari.- UTUSAN











