Karier MotoGP Vinales di hujung tanduk?

Karier MotoGP Vinales di hujung tanduk?

MAVERICK Vinales tidak akan beraksi di Grand Prix Valencia hujung minggu ini.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VALENCIA: Maverick Vinales terpaksa melupakan Grand Prix Valencia hujung minggu ini selepas kecederaan bahunya masih belum pulih, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depannya dalam saingan MotoGP.

Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu belum mendapat tempat dalam mana-mana pasukan bagi musim 2027, sekali gus berkemungkinan sudah membuat penampilan terakhirnya dalam kejuaraan tersebut.

Pasukan KTM mengesahkan pelumba ujian mereka, Pol Espargaro akan menggantikan Vinales pada perlumbaan penutup musim ini yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Ahad ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Red Bull KTM Tech3 sekali lagi boleh mengharapkan pengalaman dan kepantasan pelumba ujian Red Bull KTM, Pol Espargaro pada Grand Prix Valencia, pusingan ke-22 dan terakhir musim 2026.

“Pelumba Sepanyol itu akan menggantikan rakan senegaranya, Vinales dan membuat penampilan keenam bersama jentera KTM RC16 pada musim ini,” kata KTM.

Pelumba berusia 31 tahun itu masih bergelut dengan kesan kecederaan bahu akibat kemalangan di Grand Prix Jerman pada 2025, walaupun sudah menjalani pembedahan serta rawatan susulan.

Beliau sebelum ini menarik diri daripada Grand Prix Portugal selepas sesi latihan bebas pertama apabila kecederaan berkenaan kembali mengganggu, sebelum disahkan tidak dapat berlumba di Valencia.

Menurut KTM, pemulihan Vinales lebih rumit daripada jangkaan walaupun beliau berusaha mendapatkan semula kecergasan, manakala keselamatan pelumba kekal menjadi keutamaan pasukan sepanjang proses pemulihan tersebut.

Ketiadaannya mengecewakan Tech3 yang berharap Vinales dapat membuat penampilan terakhir bersama pasukan itu di hadapan penyokong sendiri di Valencia, sebelum menamatkan saingan musim ini secara rasmi.

Vinales yang pernah meraih 10 kemenangan perlumbaan MotoGP masih mahu meneruskan karier sebagai pelumba, namun belum memperoleh kontrak perlumbaan atau peranan sebagai pelumba ujian bagi 2027. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini