IOIPG REIT raih RM2 bilion, IPO REIT terbesar di Pasaran Utama

IOIPG REIT raih RM2 bilion, IPO REIT terbesar di Pasaran Utama

CHRIS Chong (empat dari kanan) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (empat dari kiri) semasa gimik paluan gong sempena Majlis Penyenaraian IOIPG Reit di Pasaran Utama Bursa Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) mencatat sejarah dalam pasaran modal negara apabila berjaya mengumpul kira-kira RM2 bilion menerusi tawaran awam permulaan (IPO), sekali gus menjadi IPO amanah pelaburan hartanah (REIT) terbesar di Malaysia.

Penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad itu menandakan pencapaian penting kepada kumpulan berkenaan, selain mencerminkan potensi REIT tempatan dalam menarik penyertaan pelabur berskala besar.

IOIPG REIT membuat penampilan sulung pada harga 87 sen seunit, lebih rendah 0.04 sen berbanding harga IPO sebanyak 91 sen seunit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebanyak 2.15 juta unit saham diniagakan ketika pembukaan dagangan, mencerminkan aktiviti awal pelabur terhadap kaunter berkenaan.

Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas IOIPG REIT Management Sdn. Bhd. merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties Group Berhad, Datuk Lee Yeow Seng berkata, strategi pengurusan REIT itu akan tertumpu kepada usaha meningkatkan prestasi aset sedia ada dan mengenal pasti peluang pengambilalihan bagi memastikan pertumbuhan pendapatan yang mampan.

“Bagi aset peruncitan, kumpulan akan meneruskan pelaksanaan Inisiatif Penambahbaikan Aset (AEI) bagi meningkatkan hasil daripada aset berkenaan.

“Bagi segmen hospitaliti dan perhotelan pula, kumpulan itu akan meneroka pasaran serta peluang perniagaan baharu, manakala bagi aset pejabat, usaha meningkatkan nilai kepada penyewa akan diteruskan bagi memperkukuh pendapatan.

“Selain pengurusan aset sedia ada, IOIPG REIT turut memberi tumpuan kepada pengambilalihan aset sebagai strategi pertumbuhan, khususnya menerusi aset dalam saluran pembangunan IOI Properties Group,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia, semalam.

Beliau berkata, aset berkenaan sudah dikenal pasti dan disenaraikan dalam prospektus sebelum penyenaraian, dengan perkembangan setiap aset akan dipantau sebelum peluang pengambilalihan dinilai apabila mencapai tahap kematangan yang sesuai.

“Pada masa sama, kumpulan itu turut meneliti peluang mendapatkan aset daripada pihak ketiga sekiranya terdapat tawaran bersesuaian di pasaran,” katanya. 

Mengulas mengenai sentimen pasaran dan pergerakan harga unit REIT itu, Yeow Seng berkata, kumpulan berkenaan memberi keutamaan kepada penciptaan nilai jangka panjang berbanding keuntungan jangka pendek.

“Keutamaan syarikat adalah mewujudkan nilai kepada semua pihak berkepentingan, termasuk pelabur, penyewa dan rakan niaga. 

“Selain itu, bagi perancangan penggunaan hasil IPO serta keperluan modal pada masa hadapan, sebahagian daripada hasil juga akan digunakan untuk membayar pinjaman syarikat.

“Dana berkenaan turut diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan modal yang sudah dikenal pasti, termasuk beberapa cadangan pengambilalihan aset daripada pihak penaja,” katanya. 

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai cadangan pengambilalihan aset hartanah daripada syarikat penajanya, IOI Properties Group Berhad, beliau berkata, pihaknya menyasarkan pelaksanaannya seawal tahun depan. 

“Pihak pengurusan kini sedang membuat persediaan awal bagi menyediakan cadangan berkenaan untuk dibentangkan kepada lembaga pengarah,” katanya. -UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini