WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan langkah baharu mengenakan tarif terhadap 14 rakan dagang utama termasuk China, Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia ketika beliau terus memperkukuh dasar perlindungan perdagangan.
Lapor Reuters, pentadbiran Trump mencadangkan kadar tarif maksimum antara 20 hingga 40 peratus bagi menangani lebihan kapasiti industri yang didakwa didorong oleh negara-negara berkenaan.
Bagaimanapun, Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) berkata, pihaknya bercadang mengehadkan tarif baharu itu pada kadar lebih rendah yang dipersetujui menerusi perjanjian perdagangan yang telah dimeterai atau masih dalam rundingan.
Dalam siasatan lebihan kapasiti pengeluaran kilang, USTR berkata, China akan dikenakan kadar tarif maksimum 20 peratus, yang akan ditambah kepada duti kira-kira 25 peratus yang dikenakan semasa penggal pertama Trump.
Kadar itu mematuhi gencatan perdagangan AS-China yang akan tamat pada 10 Januari. Namun, jika gencatan itu gagal, kadar tarif terhadap China akan meningkat kepada 40 peratus, menurut USTR.
Vietnam pula akan dikenakan kadar tarif maksimum 20 peratus sekiranya mencapai perjanjian perdagangan dengan Washington, namun kadar itu akan meningkat kepada 35 peratus jika rundingan gagal.
USTR turut mencadangkan kadar tarif maksimum 18 peratus terhadap barangan import dari Kemboja, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Bangladesh, manakala kadar 15 peratus termasuk duti sedia ada di bawah status Negara Paling Diutamakan (MFN) dicadangkan bagi Jepun, Korea Selatan, Taiwan, EU dan Switzerland.
India, yang masih belum mencapai perjanjian perdagangan dengan pentadbiran Trump, akan dikenakan tarif 17 peratus jika perjanjian dimuktamadkan, manakala kadar 25 peratus akan dikenakan jika rundingan gagal, menurut USTR. Singapura pula akan dikenakan kadar tarif maksimum 10 peratus.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, tarif yang hanya akan berkuat kuasa selepas pendengaran awam pada 25 Januari itu bertujuan mengekang strategi perindustrian yang berasaskan sasaran pembuatan, penindasan gaji dan tenaga kerja, sokongan kewangan serta lain-lain, input daripada ekonomi bukan pasaran dan amalan lain yang memesongkan pasaran sehingga menjejaskan sektor pembuatan AS.
Tarif itu tidak akan dikenakan secara bertindih dengan tarif terdahulu sebanyak 10 atau 12.5 peratus yang dikenakan menerusi siasatan berasingan AS terhadap penguatkuasaan undang-undang buruh paksa yang lemah di 60 ekonomi, selain tidak menambah kepada tarif sektoral atas alasan keselamatan negara terhadap keluli, aluminium, kenderaan dan barangan lain.
Greer berkata, tarif yang dicadangkan itu juga tidak akan meliputi kira-kira AS$30 bilion (RM123.54 bilion) import China yang sedang dipertimbangkan untuk pengurangan tarif menerusi mekanisme dua hala dikenali sebagai Lembaga Perdagangan.
Washington sejak sekian lama menuduh China memberi subsidi kepada industri dan membanjiri pasaran global dengan eksport murah, termasuk keluli, kenderaan elektrik dan produk solar.
Greer memberitahu CNBC, kadar maksimum yang dicadangkan itu selaras dengan perjanjian perdagangan yang dimeterai sepanjang tahun lalu, yang turut mengurangkan halangan terhadap eksport AS.
“Kami berpegang pada kadar yang dicadangkan ini kerana kami berpendapat banyak perjanjian yang dimeterai sebenarnya menyelesaikan sebahagian besar masalah lebihan kapasiti industri yang kami lihat atau sekurang-kurangnya membantu menanganinya,” kata Greer, sambil menambah kadar maksimum itu bukan sesuatu yang mengejutkan rakan dagang AS.
Mexico dan Norway tidak termasuk dalam cadangan tersebut kerana siasatan terhadap amalan perdagangan kedua-dua negara masih berjalan.
Dalam mengumumkan hasil siasatan selama lapan bulan terhadap amalan perdagangan tidak adil berkaitan lebihan kapasiti industri, USTR berusaha memulihkan sepenuhnya kuasa Trump menggunakan tarif selepas Mahkamah Agung pada Februari membatalkan tarif global meluas yang dikenakan beliau di bawah undang-undang darurat negara.
Langkah itu juga bertujuan meletakkan tarif Trump dan perjanjian perdagangan berkaitan pada asas undang-undang serta politik yang lebih kukuh dengan menggunakan undang-undang perdagangan yang telah diuji di mahkamah.
Ia melibatkan Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, selain menangani subsidi asing dan dasar perindustrian yang dianggap sebagai masalah perdagangan utama oleh Republikan dan Demokrat.
Secara berasingan, USTR mencadangkan tarif baharu 10 peratus terhadap import pesawat komersial Embraer buatan Brazil serta menaikkan duti terhadap import gula Brazil yang melebihi kuota, sebagai usaha mendesak Brasilia membetulkan amalan perdagangan tidak adil yang didakwa dilakukan negara itu.
Produk berkenaan sebelum ini dikecualikan daripada tarif 25 peratus terhadap barangan Brazil yang dikenakan Trump pada Julai menerusi siasatan Seksyen 301 berasingan.
Greer berkata, beliau memutuskan untuk mencadangkan kenaikan tarif itu selepas rundingan berbulan-bulan antara AS dan Brazil tidak mencapai kemajuan bermakna.
Prospek sekatan perdagangan baharu itu menekan pasaran saham ketika saham teknologi kembali mengalami penjualan besar-besaran. Indeks utama AS dibuka merosot lebih satu peratus, manakala indeks Nasdaq yang didominasi saham teknologi jatuh lebih tiga peratus.
“Ini sekali lagi mengingatkan bahawa meskipun justifikasi undang-undang bagi tarif terus berubah, dasar perlindungan perdagangan AS semakin sukar untuk dibendung,” menurut penganalisis ING.











