Lindungi kesucian Islam secara total - Utusan Malaysia

Lindungi kesucian Islam secara total

Peguam Sisters in Islam (SIS), Datuk Malik Imtiaz Sarwar pada sidang akhbar selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan satu fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap SIS Forum Malaysia, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan pada Khamis lalu bahawa fatwa yang dikeluarkan tidak terpakai kepada syarikat, pertubuhan atau institusi perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak. Terutamanya pada pembuat dasar dan pemegang tampuk kuasa supaya nama agama tidak boleh digunakan secara sembarangan.

Pengguna nama agama seperti Islam atau Muslim pada syarikat, pertubuhan, organisasi, institusi, parti politik dan sebagainya sudah terbukti terdedah kepada banyak penyalahgunaan, penyelewengan dan salah faham dalam masyarakat.

Selama ini pun kita selalu mendengar bagaimana individu atau kumpulan menggunakan nama agama untuk kepentingan mereka. Hingga membawa kepada pelbagai masalah dalam masyarakat. Membawa kepada perpecahan dan menggugat perpaduan.

Mahkamah membuat keputusan berdasarkan tafsiran undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Seperti kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat iaitu perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ (persons professing the religion of Islam) yang digunapakai hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan atau tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat.

Dan kita mungkin boleh menarik nafas lega sedikit apabila terdapat klausa iaitu mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengan fatwa tersebut.

Tetapi untuk memastikan tidak timbul masalah dari awal adalah elok ia dicegah sebelum parah dengan menghalang sebarang perkataan Islam atau Muslim pada mana-mana entiti sama ada syarikat, pertubuhan, persatuan, parti dan sebagainya.

Negara kita sepatutnya dari awal lagi sudah mencontohi Arab Saudi dalam hal ini.

Negara itu menguatkuasakan larangan penggunaan perkataan Islam di bawah sistem perundangan syariahnya bagi mengelakkan penyalahgunaan bahasa atau simbol agama yang tidak konsisten dengan kepentingan awam dan undang-undang agama.

Di Arab Saudi, agama tidak boleh dikomersialkan atau digunakan bagi tujuan indentiti kepada pihak-pihak tertentu bagi memastikan nama itu sentiasa berada di tahap tertinggi, dihormati dan integritinya sentiasa terjaga. Dengan cara ini, ia dapat mengelakkan orang ramai daripada terkeliru di samping melindungi kesucian agama.

Sebab itu, di Arab Saudi tidak ada apa-apa pertubuhan, syarikat, persatuan atau apa saja yang menggunakan nama Islam. Mereka tidak ada bank Islam, pertubuhan apatah lagi parti politik.

Sebabnya, semua itu boleh membawa kepada salah guna dan mengundang kepada isu-isu berkaitan moral dan integriti yang akan turut menjejaskan nama Islam.

Kalau ada aktiviti perbankan yang patuh syariah mereka hanya menggunakan nama-nama yang memberi tafsiran ke arah itu seperti saddiq, amanah. Mereka tidak meletakkan nama Islam.

Begitu juga di Mesir. Walaupun tidak ada undang-undang khusus yang melarang pendaftaran syarikat dan pertubuhan menggunakan nama Islam, tetapi dikawal ketat. Hanya mereka yang menjalankan fungsi keagamaan dibenarkan menggunakan perkataan Islam.

Ia tidak boleh mengelirukan orang ramai atau memberi bayangan seolah-olah mereka adalah pihak berkuasa agama melainkan organisasi itu mempunyai fungsi keagamaan.

Di Mesir juga, di bawah Undang-undang Persatuan dan Yayasan Sivil (Undang-undang 149 tahun 2019), organisasi tidak boleh menggunakan agama untuk tujuan politik.

Tetapi kita di Malaysia, perkataan Islam boleh digunakan untuk apa-apa sahaja tujuan. Sama ada politik, komersial, pertubuhan, syarikat dan sebagainya, cukup banyak yang menggunakan nama Islam.

Ada yang menggunakan nama Islam untuk mengatakan fahaman politik mereka patuh syariah. Ada yang menggunakan untuk sistem perbankan walaupun realitinya ia bercampur aduk dengan perbankan konvensional.

Ada yang menggunakan untuk mengutip derma jutaan ringgit dan ada pula berselindung di sebalik dana Islam bagi memperjuangkan liberalisme dalam kalangan umat Islam.

Akibatnya, segala-galanya menjadi porak-poranda. Yang mana satu benar-benar Islam dan mana pula sekadar musang berbulu ayam?

Mungkin nasi sudah menjadi bubur, kerana kita sepatutnya menghalangnya dari awal lagi. Cuba kita lihat berapa banyak kerosakan yang telah berlaku dalam masyarakat akibat penggunaan perkataan Islam ini.

Ia bukan sahaja mengelirukan orang Islam tetapi juga bukan Islam. Contohnya ada di mana-mana. Dan akhirnya apa berlaku? Mereka yang menggunakan nama Islam ini sanggup mencabar keputusan majlis fatwa dan keputusan mahkamah syariah.

Sebabnya, walaupun menggunakan nama Islam tetapi mereka sebenarnya hanyalah sebuah pertubuhan biasa yang tertakluk di bawah undang-undang sivil.

Mereka bukan mewakili Islam malah ada yang menentang Islam. Tetapi nama yang digunakan itu telah mengelirukan orang ramai seolah-olah mereka ada kuasa untuk bercakap tentang Islam.

Semua entiti ini sama ada syarikat, pertubuhan, parti politik, bank dan sebagainya terdedah kepada pelbagai kritikan, kutukan dan sebagainya yang mana sudah tentu tempiasnya turut terkena kepada nama Islam yang mereka gunakan. Ini menjejaskan kesucian dan integriti Islam yang sepatutnya dilindungi dengan apa cara sekali pun.

Seperti yang ditegaskan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan, satu tindakan proaktif mesti diambil bagi menamatkan polemik ini.

Katanya, pihak perundangan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara sepatutnya menggunakan keterbukaan Majlis Raja-raja untuk berbincang bagi mengelakkan salah faham dan menamatkan keresahan umat Islam.

Pertikaian antara perundangan syariah dan sivil akan terus berlaku kerana kebebasan penggunaan perkataan Islam di negara kita.

Seperti kata Amidi, setiap kali ia terjadi maka umat Islam di Malaysia akan resah tentang sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan kekecewaan.

Ia boleh melarat sehingga menghakis kepercayaan umat Islam terhadap keutuhan perundangan negara bagi menjamin kedaulatan undang-undang syariah.

Sebab itu, sudah tiba masanya untuk kita mengkaji penggunaan perkataan Islam atau Muslim secara langsung dalam apa juga pertubuhan atau syarikat.

Mereka boleh menggunakan perkataan lain yang merujuk kepada Islam. Ada banyak lagi perkataan yang boleh digunakan selain nama Islam.

Nama Islam itu perlu dilindungi secara total.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN