Tiada istilah ‘antivaksin’, ini memecahkan masyarakat - Utusan Malaysia

Tiada istilah ‘antivaksin’, ini memecahkan masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
EMPAT tahun turun naik mahkamah akibat pandangan mungkin menentang arus kerajaan berhubung vaksin Covid-19, pengasas The KL Sky Clinic, DR. ROLAND VICTOR akui emosinya terjejas kerana terpaksa menjalani perbicaraan kompleks. Namun, keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik berhubung vaksin Covid-19 membuktikan, beliau bercakap benar.

Beliau berkata, tiada perselisihan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), tetapi mahu kerajaan lebih telus tentang kebaikan dan keburukan vaksin Covid-19. Ikuti wawancaranya bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar, ISKANDAR ISHAK di ibu negara, baru-baru ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa perasaan selepas Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Dr. daripada pertuduhan berkenaan?
ROLAND: Syukur saya berjaya mempertahankan pendapat mengenai vaksin Covid-19, namun saya tidak berniat menghalang sesiapa daripada mengambil produk kesihatan termasuk vaksin. Tujuan saya untuk menyedarkan semua pihak tentang pentingnya perbincangan kesihatan terbuka.

Apa yang KKM laksanakan dalam program imunisasi Covid-19 memang baik, namun ketelusan juga penting. Kesemua maklumat saya sampaikan berdasarkan maklumat KKM keluarkan kepada masyarakat. Cuma, isunya ada 13 kesan sampingan vaksin Covid-19, namun, KKM hanya nyatakan 10 kesan sampingan, manakala tiga lagi tidak dinyatakan membuatkan saya mempertikai mengapa tidak berbuat demikian?

Apa kesan sampingan KKM tidak jelaskan itu?
Satu daripada kesan tidak dinyatakan bagaimana vaksin memberi kesan pada saraf di bahagian muka atau Bell’s Palsy, satu keadaan menyaksikan seseorang mengalami masalah saraf di bahagian muka sehingga menjadi herot. Selain itu, pertuturan seseorang mungkin tidak jelas dan mata mungkin sukar ditutup.

Pada mulanya, kesan sampingan ini tidak dinyatakan dengan jelas. Namun, pada 2021, akhirnya dinyatakan dalam produk vaksin tersebut. Perkara ini perlu diberitahu dengan telus supaya orang ramai faham tentang kemungkinan kesan sampingannya.

Saya cakap KKM belum beri penjelasan lengkap mengenai vaksin. Sekarang zaman media sosial. Jika ada kesan sampingan sangat jarang berlaku seperti satu dalam 10,000 orang mengalami masalah seperti kejutan anafilaksis (reaksi alahan teruk), tiba-tiba pengsan atau wajah bengkak selepas suntikan vaksin, ini maklumat yang perlu dikongsi kepada orang ramai.

Contohnya populasi Malaysia 30 juta orang dan anggapan 1 dalam 10,000 orang alami reaksi seperti ini, apakah berlaku jika ada individu mengalami kesan sampingan serius dan tidak diberi penjelasan lebih awal? Kerajaan sepatutnya beritahu orang ramai tentang kemungkinan ini, tetapi akhirnya memilih mengelakkan kebimbangan. Malangnya, insiden ini tetap berlaku kepada orang awam. Ini bukan hanya berlaku di Malaysia, jika buat kajian atau tengok jurnal di luar sana, anda akan dapati banyak kes seperti ini.

Ada lagi yang lain?
Salah satu isu dibangkitkan dalam mahkamah berkaitan aplikasi MySejahtera. Masalahnya apabila seseorang hadir tandatangan dokumen berkaitan vaksin, maklumat tentang kesan sampingan tidak dinyatakan dengan jelas dalam sistem ini. Lebih membimbangkan, walaupun masuk ke tahun 2022 dan 2023, orang ramai masih digalakkan mengambil vaksin, sedangkan maklumat tentang kesan sampingan baharu ketika itu baru dimasukkan atau masih belum diterbitkan secara terbuka.

Jika seseorang ditugaskan mendapatkan tandatangan penerima vaksin, tetapi tidak memaklumkan ada potensi kesan sampingan baharu, ini menimbulkan isu dari segi etika dan tanggungjawab kerana vaksin ketika itu masih dalam fasa percubaan atau pengawasan lanjut.

Akhirnya, ramai orang tandatangan dokumen tanpa pengetahuan penuh. Jika sesuatu berlaku, mereka dianggap bersetuju dan tidak layak menuntut pampasan. Realitinya, sangat sedikit individu terima pampasan, walaupun ada kes serius dilaporkan seperti masalah autoimun, keradangan dalaman, hilang penglihatan (buta). Saya sendiri lihat 87 orang datang mengadu alami masalah begini. Adakah kita bersimpati dengan nasib mereka? Sedangkan mereka terpaksa ambil vaksin kerana mahu terus bekerja. Malangnya, ramai tidak dapat bawa perkara ini ke mahkamah.

Terdapat juga beberapa kes dilaporkan individu sebelum ini sihat, lumpuh selepas terima suntikan vaksin. Kes seperti ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga dilaporkan di seluruh dunia. Namun, Malaysia bernasib baik kerana amalkan pendekatan campuran dalam pemberian vaksin. Ada individu terima AstraZeneca, Pfizer dan Sinovac. Disebabkan variasi jenis vaksin yang digunakan, kesan buruk secara besar-besaran tidak ketara di Malaysia jika dibanding negara lain yang mungkin hanya bergantung kepada satu jenis vaksin.

Apa KKM cakap apabila doktor sebut tentang ketelusan?
KKM diam sahaja. Saya tidak ada perselisihan dengan kementerian. Kerajaan sangat relevan dan penting dalam sistem kesihatan awam. Begitu juga vaksin, namun, perlu pilih perkara yang benar. Caranya, lakukan penyelidikan. Kita takkan hanya beli produk yang dijual tanpa usul periksa. Kalau mahu beri vaksin kepada seluruh populasi negara, tentu perlu ada kawalan kualiti. Dalam proses ini, pihak pendakwaan gagal sedia bukti diperlukan termasuk yang saya cakap ini salah.

Mungkin anda akan tanya: “Kenapa anda buat video itu?” Sebab saya bekerja di KKM tiga tahun dalam bidang penguatkuasaan. Saya dilatih mentafsir undang-undang, terlibat dalam risikan untuk kementerian, melakukan kerja bawah seliaan seperti penyamaran dan sebagainya. Apabila saya katakan sesuatu ini salah, saya bukan sekadar bercakap, tetapi beritahu mereka untuk memperbaiki masalahnya. Kita hadapi masalah kritikal yang perlu diatasi segera jika tidak, ia akan memberi kesan lebih besar.

Adakah kita perlu salahkan vaksin punca utama kepada kejadian tersebut atau adakah terdapat faktor lain perlu dipertimbangkan?
Kesan sampingan boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti keadaan kesihatan individu sebelum terima vaksin, tindak balas tubuh terhadap bahan dalam vaksin atau faktor genetik. Untuk menentukan sama ada vaksin benar-benar menjadi punca, kita perlukan siasatan yang teliti, laporan perubatan lengkap dan analisis saintifik menyeluruh.

Memang mudah untuk terus menyalahkan vaksin 100 peratus apabila sesuatu perkara berlaku, tetapi kita perlu faham aspek informed consent (persetujuan bermaklumat) sangat penting. Setiap ubat, termasuk antibiotik, boleh beri kesan sampingan.

Namun, dalam kebanyakan kes, pengilang bertanggungjawab sepenuhnya kerana menjalankan kajian dan ujian keselamatan. Jika berlaku sesuatu yang serius, pengguna boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pengeluar. Tetapi dalam situasi luar biasa seperti pandemik Covid-19, keadaannya berbeza. Syarikat pengeluar vaksin mewajibkan semua pihak menandatangani perjanjian sulit (NDA – Non-Disclosure Agreement), termasuk kerajaan. Oleh itu, jika berlaku kesan buruk, tanggungjawab tersebut tidak terletak pada pengeluar, tetapi dialihkan kepada kerajaan.

Saya sendiri faham dari sudut pandangan kerajaan, jika saya berada di tempat menteri ketika itu, saya juga mungkin akan membuat keputusan sama, terus membeli vaksin diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Mengapa Dr. tidak ambil vaksin Covid-19?
Seluruh dunia tahu vaksin Covid-19 masih di peringkat uji kaji. Umur seperti saya amat muda mengambil sesuatu bersifat eksperimen. Lagi pun, saya tidak perlukannya dan percaya sistem imun badan sendiri sudah cukup untuk melawan jangkitan.

Ramai lebih muda daripada Dr. sudah ambil vaksin Covid-19. Bagaimana?
Anda perlu faham dalam dokumen KKM keluarkan yang anda tandatangani ketika itu, dinyatakan vaksin adalah pilihan individu. Hak anda memilih dan tiada paksaan. Namun, naratif yang digunakan sering kali mendesak orang ramai mendapatkan vaksin jika pergi ke tempat tertentu seperti di beberapa lokasi atau aktiviti. Di akhirnya keputusan adalah pada anda.

Bagaimana boleh wujud pertikaian dan perbezaan pandangan dalam kalangan doktor tentang vaksin Covid-19?
Kita (masyarakat) tidak boleh pukul rata semua vaksin tidak baik kerana ia ada keperluannya dan tidak boleh juga samakan vaksin Covid-19 dengan vaksin Bacillus Calmette–Guérin (BCG), vaksin Hepatitis B, vaksin pneumokokal yang melalui ujian klinikal kuat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun. Tetapi, vaksin Covid-19 pula sangat pantas. Apabila orang ramai malah doktor sendiri cakap semua vaksin perlu ambil, kalau kita lihat semula secara retrospektif pada video yang mereka hasilkan memang ia tidak selari dengan sains semasa hari ini. Terdapat ketidakcekapan dalam bidang perubatan.

Ada doktor dan ahli farmasi tidak sependapat dengan Dr. mengenai keselamatan vaksin. Bagaimana?

Profil keselamatan vaksin ini sebenarnya bermasalah. Saya cabar sesiapa sahaja untuk nilai semula profil keselamatan ini di mana-mana sahaja di dunia. Profil keselamatan Pfizer lemah. Terdapat banyak laporan dan data menunjukkan kesan sampingannya lebih serius berbanding vaksin lain.

Pada 2021, ramai anggap semua vaksin sama dari segi keselamatan dan keberkesanan. Hakikatnya vaksin mRNA berbeza. Dikatakan vaksin mRNA hanya bertindak di tempat suntikan (lengan), tetapi kini kita tahu kesannya boleh melibatkan seluruh tubuh.

Apa yang saya lihat sebagai satu nikmat adalah apabila kes ini dibawa ke mahkamah. Sebab jika kita hanya berhujah di media sosial atau di jalanan, ia kelihatan seperti pandangan kosong tanpa asas. Di mahkamah, setiap hujah mesti disokong dengan jurnal yang disemak oleh pakar. Hakim juga boleh buat penilaian sendiri – jika saya berbohong, maka sayalah yang akan dipersalah. Jadi, setiap dokumen dan kenyataan dikemukakan adalah standard dan sah dari segi undang-undang.

Namun, saya tidak bersendirian. Terdapat ratusan ribu doktor, di seluruh dunia termasuk di Malaysia bersetuju dengan saya. Isu utama ialah percanggahan maklumat dan kurang perbincangan terbuka. Kenapa tidak ada perdebatan terbuka? Saya terbuka berdebat secara profesional, kerana kita pasti akan berdepan lagi dengan pandemik pada masa hadapan dan akan wujud semula keperluan untuk vaksin.

Namun, kita tidak boleh ulang kesilapan sama seperti semasa pandemik Covid-19. Kita perlu perbaiki kelemahan dalam pendekatan sains hari ini, supaya kita lebih bersedia. Ketika vaksin Covid-19 diberi kepada orang ramai, varian virus sentiasa berubah-ubah. Ada varian Beta, Lambda, Omicron dan sebagainya. Pada masa yang sama, vaksin diberi adalah versi lama, tidak lagi sesuai atau optimum untuk varian baharu.

Pfizer dan pihak lain dakwa vaksin mereka masih berkesan, tetapi kajian saintifik yang sokong dakwaan ini tidak lengkap atau tidak tersedia secara menyeluruh. Contohnya, untuk kelulusan dos ketiga vaksin, ada laporan kajian hanya dilakukan ke atas empat ekor tikus, namun ia tetap diluluskan untuk kegunaan awam. Ini menimbulkan persoalan dari segi ketelusan dan piawaian sains. Maka, membawa perkara ini ke mahkamah adalah langkah penting.

“Saya bukan suruh anda jangan ambil vaksin. Ambil atau tidak, itu hak anda. Tetapi, saya lebih rela kena virus, demam dan batuk 2-3 hari daripada ambil vaksin.” – Petikan daripada siaran langsung Dr. Roland

Kenyataan Dr. ini mengundang kecaman orang termasuk doktor lain. Respons?
Disebabkan keadaan fizikal saya yang sihat, saya yakin dengan sistem imun sendiri dan tahu tahap kecergasan dan kesihatan saya. Namun, ini bukanlah nasihat untuk sesiapa. Perlu diingat, saya juga sebut bersedia ambil vaksin lain, bukan bermakna saya langsung tidak akan ambil vaksin. Tapi kenyataan saya sering disalah tafsir. Saya sebenarnya pilih untuk mengambil vaksin yang lain. Saya faham bagaimana teknologi dalam produk vaksin itu berfungsi dan atas sebab itu saya buat pilihan sendiri.

Jika anda dengar penjelasan saya dalam video, anda akan faham bagaimana teknologi yang diguna dalam vaksin Sinovac berfungsi dan mekanismenya sudah diketahui sejak sekian lama. Tiada elemen baharu meragukan.

Namun vaksin mRNA, situasinya berbeza. Hari ini, isu-isu berkaitan vaksin mRNA sudah diketahui secara meluas di seluruh dunia. Terdapat laporan mengenai pencemaran bakteria dalam beberapa dos vaksin mRNA, menyebabkan sel badan menghasilkan protein tertentu yang dikhuatiri mendatangkan kesan jangka panjang.

Semakin banyak laporan menunjukkan sebahagian individu mengalami kesan sampingan seperti radang jantung (myocarditis) dan masalah autoimun. Apa yang menjadi kebimbangan adalah, pada tahun 2021, pengeluar vaksin tidak maklumkan sepenuhnya tentang potensi risiko ini.

Dengan kemenangan ini, apa mesej Dr. kepada masyarakat?
Kemenangan ini bukan untuk diri saya semata-mata tetapi untuk rakyat yang selama ini terasa tertindas dan mungkin membuat keputusan tanpa maklumat lengkap. Ini seharusnya menjadi peringatan penting kepada kita semua supaya ilmu sains yang diguna pakai pada masa akan datang lebih kukuh dan telus. Ini juga bukan bermaksud saya suruh orang tidak ambil vaksin. Saya tetap sokong penggunaannya tetapi vaksin yang terbukti benar-benar selamat dan sesuai.

Kita tidak boleh sekadar lihat vaksin boleh merangsang imuniti. Jika selepas ini seseorang hidap penyakit autoimun atau serangan jantung, maka, nilai keseluruhan vaksin tersebut harus dikaji semula. Ini sebabnya doktor dan pesakit perlu ada perbincangan terbuka dan telus, bukannya sistem yang memaksa satu penyelesaian sama untuk semua orang.

Apa yang terbaik?
Contohnya hari ini, nasihat kesihatan dari KKM sendiri lebih berhati-hati iaitu hanya menyarankan vaksin kepada golongan rentan atau berumur 25 tahun ke atas. Jika semua vaksin benar-benar selamat dan sesuai untuk semua, kenapa ada penyesuaian nasihat ini? Mungkin dahulu kita belum cukup ilmu atau data. Ada doktor ketika itu lebih awal membaca tanda-tanda, tetapi suara mereka dianggap ‘menentang arus’.

Paling penting bukan saya menang atau kalah, tetapi apakah sistem kita memberi peluang kepada perbincangan terbuka? Jika ketika itu sistem kesihatan kita membenarkan doktor berkongsi pandangan dan kerajaan mendengar, mungkin kesan buruk dapat diminimumkan.

Dalam bidang perubatan, tiada jawapan mutlak. Seorang doktor mungkin mencadangkan pembedahan tulang belakang, doktor lain mencadang suntikan dan seorang lagi mencadangkan senaman atau terapi. Ketiga-tiganya mungkin benar, bergantung pada keadaan dan keperluan pesakit.

Maka, hak membuat keputusan kesihatan mestilah kembali kepada individu bukan dipaksa secara umum atau menyeluruh. Apabila terpaksa mengambil rawatan, kemudian mengalami kesan sampingan, lalu diberi pampasan kecil seperti RM2,000 atau RM3,000, ini tidak setimpal dengan beban dan risiko diambil.

ANTIVAKSIN
Ramai cakap Dr. antivaksin. Benarkah?
Saya bukan antivaksin. Saya percaya dengan banyak vaksin yang terbukti keselamatannya. Namun, ada juga sesetengah orang mungkin salah faham, seolah-olah mereka yang antivaksin menyokong pandangan doktor yang tolak vaksin.

Saya jelaskan banyak kali dan jika ada pesakit ragu tentang vaksin, saya akan cakap – Vaksin untuk kanak-kanak seperti vaksin polio atau BCG sangat penting dan perlu diberi. Kita perlu faham keperluan vaksin untuk kanak-kanak dan manfaatnya untuk mengelakkan penyakit serius.

Namun, isu saya hadapi adalah berkaitan dengan teknologi mRNA. Saya tidak yakin dengan teknologinya jika sesuai untuk manusia? Teknologi ini belum terbukti bagus untuk diguna pada manusia.

Apa nasihat Dr. kepada gerakan antivaksin?

Kita perlu berhenti memberi label orang lain sebab apabila kita cipta istilah seperti “provaksin” dan “antivaksin”, kita akan memecahbelahkan masyarakat. Tiada istilah “anti ubat batuk”, “anti panadol” atau “anti-antibiotik”. Golongan yang menyokong vaksin pun, kita sudah cipta istilah seperti “antivaksin”. Saya tidak termasuk dalam kategori itu. Mereka yang menentang vaksin mungkin ada sebab tertentu.

Jadi, kita perlu dengar dahulu alasan kenapa mereka tidak mahu ambil vaksin? Kita perlu didik terlebih dahulu. Adakah terdapat masalah dengan vaksin? Adakah ada masalah dengan vaksin polio atau MMR (campak, beguk dan rubella)?  – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN