Apabila memasuki bulan Ramadan, umat Islam yang merupakan penduduk majoriti negara ini mula berpuasa.
Berpuasa bermakna, umat Islam tidak makan bermula waktu sahur sehingga waktu berbuka. Ringkasnya, umat islam kurang makan sepanjang bulan ramadan.
Namun di Malaysia, keajaiban berlaku kerana bulan Ramadan yang sepatutnya umat Islam banyak beribadah dan kurangkan makan, tetapi yang berlaku sebaliknya.
Rekod menunjukkan sepanjang bulan Ramadan , berlaku pembaziran makanan.
Pembaziran makanan merujuk kepada pembaziran atau pembuangan makanan yang masih boleh dimakan, sering disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pengurusan yang lemah, over-ordering, pembelian berlebihan, atau kekurangan pengetahuan mengenai tarikh luput makanan.
Berdasarkan data global, kira-kira 1/3 daripada makanan yang dihasilkan di dunia dibazirkan setiap tahun.
Menurut laporan oleh Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) , pembaziran makanan di seluruh dunia bernilai sekitar $1 trilion USD setiap tahun. Di negara-negara maju, pembaziran sering berlaku di peringkat pengguna, manakala di negara-negara membangun ia lebih kerap berlaku di peringkat pengeluaran dan pengangkutan.
Faktor-faktor yang menyumbang kepada pembaziran makanan termasuklah antaranya penyediaan makanan berlebihan terutama di restoran atau rumah, makanan yang disediakan melebihi keperluan.
Faktor lain adalah kesalahan tarikh luput. Ini berlaku kerana makanan yang dibuang hanya kerana tarikh luputnya sudah tamat, walaupun ia masih selamat untuk dimakan.
Faktor lain kurang pengetahuan mengenai penyimpanan makanan yang betul. Berlaku kerosakan makanan yang tidak disimpan dengan betul mudah rosak dan akhirnya dibazirkan.
Selain itu, berlaku kecenderungan membeli lebih daripada yang diperlukan terutama dalam kalangan pengguna yang membeli dalam kuantiti besar tanpa merancang pengambilan mereka.
Di Malaysia, pembaziran makanan merupakan isu yang cukup serius dan melibatkan banyak aspek, termasuk kebiasaan pengguna, ketidakcukupan sistem pengagihan, dan faktor budaya.
Di Malaysia, walaupun terdapat jumlah makanan yang banyak, masih ada golongan yang menghadapi kesusahan mendapatkan makanan yang mencukupi. Pembaziran makanan berlaku di pelbagai peringkat, daripada peringkat rumah tangga hingga ke sektor perniagaan dan restoran.
Kes pembaziran makanan di Malaysia disebabkan pembelian berlebihan. Ramai pengguna membeli makanan lebih daripada yang diperlukan, menyebabkan makanan berlebihan yang akhirnya terbuang.
Ramai yang kurang menghargai makanan dan cenderung membuangnya apabila tidak habis dimakan. Ini berlaku lebih-lebih lagi dalam majlis atau perayaan, apabila makanan disediakan dalam jumlah besar tanpa mengira jumlah tetamu.
Tidak menyimpan makanan dengan betul juga menyebabkan makanan rosak dan terpaksa dibuang. Pembuangan juga berlaku kerana makanan yang tidak memenuhi piawaian kualiti atau estetika yang ditetapkan oleh pasaran contohnya buah-buahan atau sayuran yang sedikit cacat, sering dibuang walaupun masih selamat untuk dimakan.
Masalah lain adalah kesedaran mengenai pembaziran makanan, ia masih belum cukup meluas dan berkesan.
Dalam pada itu, menurut data yang dikumpulkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sisa makanan merupakan komponen terbesar dalam sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan sampah di negara ini.
Sebagai contoh, pada bulan Ramadan 2023, sebanyak 35.45 peratus daripada jumlah sisa pepejal yang dilupuskan adalah sisa makanan, bersamaan dengan 86,766.29 tan daripada jumlah keseluruhan 244,756.82 tan sisa pepejal yang dilupuskan sepanjang bulan tersebut.
Selain itu, kajian komposisi sisa pepejal yang dijalankan oleh SWCorp pada tahun 2020 mendapati bahawa 38.7 peratus responden tidak mempunyai keinginan untuk makan makanan yang disediakan, 31.3 peratus menyatakan makanan telah rosak, 21.1 peratus membeli terlalu banyak makanan, 8.3 peratus makanan telah melebihi tarikh luput, dan 0.6 peratus makanan tidak memenuhi selera mereka.
Peningkatan pembaziran makanan ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar melalui pelepasan gas rumah hijau seperti metana, tetapi juga menjejaskan ekonomi negara.
Menurut ajaran Islam pembaziran amalan syaitan tetapi apabila berlaku pembaziran makanan sepanjang Ramadan, justeru ajaran manakah yang mereka ikut? Apatah lagi bulan Ramadan adalah bulan menyucikan diri dan perbanyakkan ibadah kerana ganjaran pahalanya besar.
Bermakna Ramadan sepatutnya dijadikan bulan ‘pesta’ ibadah bukan pesta juadah yang akhirnya membawa pembaziran.
Sedih juga apabila data SWCorp mencatatkan 44.5 peratus daripada 38,000 sisa pepejal yang dibuang di pusat pelupusan sampah merupakan sisa makanan.
Ini bermakna,17,000 kilogram (kg) makanan dibuang setiap hari dan 24 peratus daripadanya masih boleh dimakan.
Berdasarkan survei yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula, mengenai isu pembaziran makanan di sekolah, kira-kira 45 peratus daripada 500 responden menyatakan pembaziran berlaku.
SWCorp dilaporkan melaksanakan pelbagai kempen dan program untuk mengurangkan pembaziran makanan, termasuk kempen “Hargai Makanan Elak Pembaziran” dan program
“MySaveFood@Ramadan” yang bertujuan mengumpul lebihan makanan di bazar Ramadan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Jika orang berkata, perut bukanlah tong sampah untuk melonggokkan segala jenis makanan, saya lebih berharap makanan tidak berakhir di tong sampah. – UTUSAN










