Milik siapa nama ini? - Utusan Malaysia

Milik siapa nama ini?

wajarkah nama tempat yang berbunyi Inggeris seperti Port Dickson ditukar kepada yang lebih kemelayuan? – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ribut kecil yang berlaku baru-baru ini ekoran ada pihak hendak sangat menukar nama Port Dickson kepada nama kemelayuan seperti Pantai Dermaga ibarat kocakan air dalam cawan sahaja.

Saya katakan ribut kecil kerana tidak ramai ambil kisah mengenainya, membayangkan bahawa tukarlah kepada apa sahaja nama, pengunjung ke Port Dickson tidak mungkin akan sesat ke sana.

Namun bagi saya, nama bukan sekadar identiti tetapi melambangkan jati diri dan semangat bangsa.

Port Dickson ialah sebuah bandar pantai di Negeri Sembilan, terkenal sebagai destinasi pelancongan, khususnya bagi pengunjung dari Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang kerana jaraknya hanya lebih kurang 90 kilometer (km).

Port Dickson pantai peranginan yang banyak tarikan. Berdasarkan sejarah, nama ‘Port Dickson’ dipercayai berasal daripada pegawai British, Sir John Frederick Dickson, yang membangunkan kawasan tersebut pada abad ke-19 sebagai pelabuhan arang batu.

Jelaslah itu nama Inggeris, sebagaimana Cameron Highlands dan Bukit Fraser mendapat namanya, bunyi berbaur penjajah seolah-olah masih ada daki kolonial perlu dibersihkan pada tubuh badan negara yang sudah lama merdeka ini .

Cadangan menukar nama Port Dickson itu pantas mendapat maklum balas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Aminuddin membidas cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan mahu menukarkan nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga. Beliau berpendapat, cadangan pertukaran nama tersebut sepatutnya melibatkan semua tempat bukannya Port Dickson saja.

Beliau dimaklumkan mengenai beberapa NGO yang diterajui Pertubuhan Pemerkasaan Identiti (Identiti) bersama dengan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) untuk menukar nama Port Dickson kepada suatu nama lain iaitu Pantai Dermaga.

“Jika ingin tukar nama, tukarlah semua sekali, janganlah Port Dickson saja tukar sekali Port Klang, Kuala Lumpur serta Georgetown (Pulau Pinang),” ujarnya.

Islah Wahyudi Zainudin yang juga Pengerusi Identiti merangkap Ketua Sekretariat Pertukaran Nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga, berkata kepada saya sebagai anak jati Port Dickson, beliau sejak kecil terfikir, apa rasionalnya nama penjajah dijulang.

“Pemikiran terhegeh-hegeh jadi ‘orang putih’ beginilah yang membiakkan penjenamaan pembangunan baharu yang mahu guna identiti asing membelakangkan bahasa dan identiti kita sendiri,” ujar beliau.

Malah, kata beliau, isu tersebut merebak bukan pada nama tempat sahaja, tapi pada produk tempatan, nama program dan sebagainya.

Islah Wahyudi seterusnya memberitahu, beliau terpaksa tubuhkan NGO Identiti kerana tahu buruk akibatnya jika krisis identiti negara kita berterusan. Beliau bersama beberapa NGO seperti Majlis

Perundingan Melayu (MPM) yang turut sama mengerakkan usaha dan gerak kerja termasuklah mengumpul petisyen untuk pertukaran nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga.
Menurut beliau, sejarah pantai peranginan itu bukan bermula dengan Dickson, Gabenor British yang bertapak di Singapura.

Kata beliau lagi, tindakan Dickson merampas Tanjung Kemuning lalu menukarkan nama kepada Port Dickson sekitar tahun 1889 menyebabkan kampung Melayu yang bernama Kampung Bahasa Kapor lenyap.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan pihak bertanggungjawab untuk memartabatkan usaha mengangkat identiti di kawasan Port Dickson kepada Pantai Dermaga.

Kata beliau lagi, sungguh pun begitu setelah 68 tahun merdeka, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) seolah-olah menghala ke arah songsang dan bersikap acuh tak acuh.

Buktinya MPPD sendiri masih mengekalkan nama Dickson merujuk kepada agensi mereka dan ia sangat memalukan.

“Kami ingin bertanya kepada MPPD, jika atas nilai sejarah, nama Dickson hendak dikekalkan, perkara itu sangat melucukan kerana setelah Landasan keretapi Dickson telah ditanggalkan, tidak lagi beroperasi, Stesen Dickson terbiar sehingga menjadi rumah anjing manakala bangunan kolonial sekolah Inggeris, Government English School Port Dickson, terbakar dan nama pegawai Inggeris iaitu J.F. Owen (Pegawai Daerah pertama daerah berkenaan tidak diabadikan pada nama jalan tetapi diangkat pula nama Dickson,” ujarnya.

Sebenarnya, penamaan tempat dan lokasi di negara ini ada kaitan dengan penempatan Orang Melayu dahulu dan kita pun tahu banyak penempatan manusia atau tamadun awal manusia bermula di tepi sungai atau kuala. Ini sudah menunjukkan nilai kemelayuan dan jati diri tetap ada termasuklah ibu kota kita, Kuala Lumpur.

Saya mengambil contoh di Sabah, ada nama tempat dinamakan Menumbok dan Menggatal. Malah beberapa nama tempat di Sabah datang berasal daripada bahasa Tidong, salah satu suku kaum yang terdapat di negeri berkenaan.

Mungkin ada juga yang mempertikaikan mengapa Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu dan Hospital Duchess of Kent di Sandakan dinamakan demikian. Demikianlah sejarah memberitahu asal usul kita.

Di Kedah yang ramai penduduknya masyarakat Siam, maka beberapa tempat dinamakan bahasa Siam.

Jika kita mahu menukar nama-nama ini supaya ada ciri tempatan, mungkin buku Sinonim Nama Tempat dan Nama Tumbuhan terbitan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) boleh dijadikan panduan.

Buku tersebut memberitahu banyak nama tempat di negara kita berdasarkan nama pokok. Buku tersebut menyenaraikan ratusan nama daripada pokok termasuklah antaranya Sungai Buluh, Buluh Kasap, manakala bandar raya Ipoh datang daripada pokok Ipuh.

Jika masih tidak berpuas hati, kita boleh menukar nama bandar kita dengan nama pokok bunga umpamanya bandar raya Shah Alam sebagai bandar Anggerik atau George Town sebagai Tanjung Bungah. Tapi jangan lupa, bandar raya Los Angeles dan San Francisco di Amerika Syarikat asalnya daripada perkataan Sepanyol. Nama asal Los Angeles ialah “El Pueblo de Nuestra Señora la Reina de los Ángeles de Porciúncula.” yang bermaksud Kota (penempatan) Perawan Maria, Ratu Malaikat dari Porciúncula.”

Nama asal San Francisco ialah Puerto de San Francisco de Asís.” Dengan yang demikian, sekurang-kurangnya kita masih ada semangat patriotik sayangkan tanah air. Tidak hairanlah ada orang marah-marah apabila bendera Jalur Gemilang dipasang terbalik kerana semangat jati diri dan mempertahankan identiti kita masih kental, sekurangnya-kurangnya kita boleh ‘menjerit’ marah setiap  Ogos dan September.

Maksudnya, bayangkan kalau bendera kita dipusing-pusing pun tidak nampak terbalik. Contohnya, bendera Malaysia hanya sehelai kain putih dan hanya ada sebiji bulatan di tengah-tengah, atau semacam pangkah di tengah tengah. Kita nak bergaduh berkenaan apa lagi?

Perlu sedar warna bendera kita pun datang daripada warna bendera penjajah. Hakikatnya sejarah, saya ulang, sejarah memberitahu siapa kita.

Bayangkan Universiti Malaya ditukar nama? Bestari Jaya asalnya ialah Batang Berjuntai. Apa sejarahnya, dapat nama itu?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN