Kita baru sahaja menutup pintu Ramadan, yang bermakna sudah mula mengetuk pintu Syawal dan sudah pun separuh jalan.
Jika sepanjang Ramadan kita berjaya mengawal nafsu makan.
Diharapkan dalam bulan Syawal ini kita dapat melakukan sedikit perubahan, supaya kekal sihat dengan mengurangkan pengambilan makanan.
Cabaran menghadapi situasi itu besar kerana banyak jemputan rumah terbuka Syawal, pelbagai peringkat daripada rumah terbuka lorong-lorong tertentu di taman perumahan, rumah terbuka kawasan taman perumahan , rumah terbuka persatuan penduduk, rumah terbuka surau kawasan perumahan, rumah terbuka peringkat pejabat atau unit unit tertentu di syarikat.
Itu belum lagi rumah terbuka dianjurkan ahli-ahli kumpulan WhatsApp, rumah terbuka reunion dan sebagainya.
Apa pun, semua itu adalah jemputan makan-makan yang berisiko mengancam kesihatan jika tidak dikawal.
Berdasarkan data peringkat global mengenai Tabiat Makan Semasa Perayaan seperti Krismas, Tahun Baharu China dan Hari Raya (meski pun bukan melibatkan Syawal) , menunjukkan pada musim perayaan sering dikaitkan dengan kenaikan berat badan, tekanan darah, dan paras kolesterol.
Kajian daripada The New England Journal of Medicine (2016) mendapati purata kenaikan berat badan musim perayaan adalah antara 0.5 hingga 1 kg, dan kebanyakannya gagal menurunkannya selepas itu.
Pegawai Dietetik Pusat Pengajian Dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Siti Norfatihah Ismail berkongsi kajian oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2018, menyatakan bahawa pengambilan makanan tinggi kalori, gula, dan lemak meningkat semasa musim perayaan, termasuk Aidilfitri.
Responden mengakui pengambilan makanan bergoreng, bersantan, kuih manis, dan minuman bergula meningkat mendadak, dan hampir 60 peratus tidak mengawal portion makanan semasa rumah terbuka.
Siti Norfatihah berkata, itu antara masalah atau ancaman utama apabila melayan sangat rumah terbuka.
Memang betul kata beliau, setiap rumah menyajikan juadah lazat seperti rendang, lemang, nasi impit, kuah kacang, kuih raya dan kek.
Apabila dikumpul, jumlah kalorinya boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda keperluan harian.
Makanan yang pelbagai dalam satu hari juga boleh menyebabkan gangguan pencernaan. Kembung, sembelit, atau cirit-birit mudah berlaku, apatah lagi jika makan tergesa-gesa atau tidak cukup air.
“Ia juga boleh mewujudkan tabiat makan tanpa kawalan. Kadangkala, kita makan bukan kerana lapar, tetapi kerana segan mahu menolak pelawaan tuan rumah. Lama-lama, ia jadi satu tabiat makan berlebihan tanpa sedar.
“Setelah sibuk berhari raya, biasanya aktiviti fizikal kurang dilakukan. Selepas kenyang, aktiviti kita biasanya hanya duduk dan berbual. Tanpa senaman, lebihan tenaga daripada makanan tadi akan disimpan sebagai lemak,” ujarnya. Memang kia bersetuju dengan kata-kata beliau kerana makan berlebihan boleh meningkatkan risiko kegemukan, keletihan dan rasa badan lesu sepanjang hari.
Katanya, makanan bergula dan berlemak bukan sekadar menggugat bentuk badan, tetapi meningkatkan risiko penyakit kronik yang serius.
Malah kekerapan makan secara berlebihan, terutamanya sepanjang Syawal, boleh meningkatkan risiko diabetes, darah tinggi, dan penyakit jantung – lebih-lebih lagi jika kita tidak aktif secara fizikal.
“Badan kita bukan mesin yang boleh ‘reset’ sendiri. Setiap suapan yang kita ambil memberi kesan, sama ada segera atau jangka panjang. Kita mungkin tak nampak kesannya hari ini, tetapi badan akan menunjukkannya kemudian hari,” ujarnya.
Betul, tidak salah menikmati hidangan raya memandangkan itu budaya dan tanda kesyukuran. Tapi biarlah berpada, bersederhana, dan berilmu. Syawal ialah bulan kemenangan — termasuk menang melawan nafsu makan yang melampau.
Bagi Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Barakatun Nisak Mohd. Yusof pengambilan makanan berlebihan dan tidak terkawal, terutamanya makanan tinggi gula dan lemak tepu sebenarnya satu ancaman kepada kesihatan.

“Dalam suasana rumah terbuka, kita sering terdedah kepada kuih raya, minuman manis, makanan bersantan, serta juadah tinggi kalori seperti rendang dan lemang yang boleh menyebabkan lonjakan mendadak kadar gula darah (glukosa), peningkatan kolesterol LDL trigliserida, serta menyumbang kepada kenaikan berat badan dalam tempoh singkat.
“Bagi individu penghidap diabetes atau yang berisiko, ini boleh memperburuk kawalan glisemik dan menjejaskan kesihatan jantung,” ujar beliau.
Tabiat makan berulang-ulang terutamanya ‘grazing’ sepanjang hari boleh mengganggu homeostasis metabolik. Apabila tubuh sentiasa menerima glukosa daripada makanan, insulin perlu bekerja berlebihan.
Dalam jangka panjang, ini boleh membawa kepada rintangan insulin dan meningkatkan risiko diabetes jenis 2 serta dyslipidemia (gangguan profil lipid).
Justeru, bagi mendepani masalah itu, beliau menyarankan supaya mengamalkan prinsip kesederhanaan iaitu nikmati juadah hari raya tetapi dalam kuantiti kecil, bukan setiap kali berkunjung. perlu makan penuh pinggan.
Lima tips utama yang beliau sarankan supaya merancang pengambilan makanan iaitu jika tahu akan menghadiri beberapa rumah terbuka, pastikan kawal makan di rumah dengan bersarapan sihat dan ringan. Jika terapaksa hadir banyak rumah terbuka, ambilllah dalam saiz hidangan lebih kecil.
Utamakan meminum air kosong berbanding minuman manis, yang secara tidak sedar menyumbang kepada kalori dan gula berlebihan.
Kita juga disarankan supaya memperbanyakkan pengambilan serat daripada buah-buahan segar, sayur, dan makanan berserat tinggi untuk melambatkan penyerapan glukosa.
Ramai daripada kita mungkin terlupa mengenai istilah isyarat kenyang dan elakkan makan secara emosi atau sekadar ‘menghormati tuan rumah’. Maka kesedaran dan kawalan diri adalah kuncinya. Makanan bukanlah musuh, tetapi kebiasaan berlebihan tanpa batasan itulah yang mengundang risiko.
Paling penting janganlah elak makan berlebihan yang bukan sahaja boleh merosakkan kesihatan tetapi banyak pula nanti makanan yang terbazir.
Berdasarkan data 2024, isu pembaziran makanan di Malaysia terus menjadi kebimbangan utama.
Kita menghasilkan sekitar 8.3 juta tan metrik sisa makanan setiap tahun, dengan setiap individu menyumbang secara purata sebanyak 260 kilogram (kg). Setiap hari, kira-kira 17,000 tan sisa makanan dibuang, 4,005 tan atau 24 peratus aripadanya masih boleh dimakan.
Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sisa makanan yang dibuang di Malaysia meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus semasa musim perayaan. Kita memang membazair dalam musim perayaan dan mungkin cara kita meraikan perayaan ini akan terlajak. – UTUSAN










