Malayan Tigress pesta gol belasah Iraq 4-0

Malayan Tigress pesta gol belasah Iraq 4-0

PEMAIN Sensasi skuad remaja wanita B-17 negara, Lim You meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 berdepan Iraq di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.-IHSAN Malaysia NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Impian Malayan Tigress B-17 untuk menempah tiket ke Piala Asia Wanita Bawah 17 Tahun (B-17) 2027 semakin menjadi kenyataan selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan E Kelayakan apabila membelasah Iraq 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan itu meletakkan skuad kendalian Takayoshi Ishihara dalam kedudukan terbaik menjelang pertembungan penentuan menentang India pada Ahad yang dijangka menjadi aksi hidup mati bagi merebut slot ke pusingan akhir.

Selepas menang tipis 1-0 ke atas Syria dalam perlawanan pembukaan, Malayan Tigress tampil jauh lebih meyakinkan dengan corak permainan agresif dan penguasaan hampir sepanjang 90 minit.

Malaysia membuka jaringan pada minit ke-19 menerusi Aisyah Nur Iman Mohd Fuad yang bijak memanfaatkan sepakan sudut Nissriena Batrissya Mohd Azhar untuk menewaskan penjaga gol Iraq, Asmaa Shivan.

Gol itu menyuntik keyakinan kepada skuad negara yang terus mengasak, namun beberapa percubaan berjaya dipatahkan Asmaa yang bekerja keras memastikan Iraq tidak dibolosi lebih awal.

Tekanan berterusan akhirnya menghasilkan gol kedua menjelang tamat separuh masa pertama apabila Qaseh Riana Mohd Rafiuddin menyempurnakan hantaran kemas Lim You untuk memberikan Malaysia kelebihan selesa 2-0.

Memasuki babak kedua, Malayan Tigress tidak menunjukkan sebarang tanda mahu memperlahankan rentak walaupun sudah mendahului dua gol.

Sebaliknya, skuad negara terus memburu jaringan tambahan dan usaha itu berhasil pada minit ke-58 apabila Lim You mencuri perhatian menerusi penyudah berkualiti dengan sepakan lambung yang gagal dijangkau Asmaa.

Ketika Iraq semakin kehilangan arah, Malaysia terus menguasai permainan sebelum pemain gantian, Aisha Lynn Mohamad Faris melengkapkan malam gemilang tuan rumah menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-88.

Kemenangan besar itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga buat Malaysia, malah membuktikan peningkatan ketara yang dipamerkan skuad muda negara selepas aksi pertama menentang Syria.

Malayan Tigress kini memasuki perlawanan terakhir kumpulan dengan keyakinan tinggi untuk berdepan India yang turut muncul pencabar utama selepas membelasah Iraq 14-0 dan menewaskan Syria 2-0.

Pertembungan Ahad ini dijangka menjadi penentu nasib kedua-dua pasukan dengan tiket ke Piala Asia Wanita Bawah 17 Tahun 2027 kini semakin hampir berada dalam genggaman Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini