PETALING JAYA: Rekod tewas dua kali kepada Bangladesh sebelum ini tidak sedikit pun merentap semangat skuad bola sepak wanita kebangsaan apabila berjaya melakar kemenangan 1-0 ke atas tuan rumah dalam Kejohanan Tri-Nations di Dhaka, Rabu lalu.
Wira pasukan, Ainsyah Murad, 22, berkata, sejarah pertemuan lalu langsung tidak memberikan tekanan, sebaliknya barisan pemain sudah berlatih bersungguh-sungguh.
“Bagi saya sendiri, tiada rasa tekanan (walaupun pernah tewas dua kali). Saya lihat kita sudah berlatih bersungguh-sungguh dan semua pemain memberikan yang terbaik dalam latihan.
“Bagi saya, kita hadap sahaja. Apa nak jadi, jadilah,” katanya yang menyifatkan keberanian pasukan kali ini menjadi kunci kejayaan membenam tuan rumah.
Mengulas mengenai jaringan tunggalnya yang menjadi pemisah perlawanan, Ainsyah berkata, dia membuat keputusan pantas sebaik sahaja melihat peluang menjaringkan gol.
“Saya hanya nampak ruang gol dan saya terus berikan seratus peratus untuk melakukan percubaan. Memang saya yakin ketika itu sebab sudah berjaya menewaskan penjaga gol lawan,” katanya.
Biarpun diangkat sebagai wira, Ainsyah enggan mendabik dada, sebaliknya mendedikasikan kejayaan itu kepada rakan sepasukan yang mempamerkan semangat juang luar biasa sepanjang 90 minit permainan.
“Alhamdulillah, syukur. Terima kasih kepada rakan sepasukan yang berjuang habis-habisan. Kalau kita terus berusaha keras, insya-Allah rezeki itu pasti ada,” ujarnya.
Kemenangan ke atas Bangladesh itu menjadi bekalan terbaik buat pasukan bola sepak wanita negara untuk menuntut aksi lebih bertenaga dalam perlawanan seterusnya menentang Azerbaijan hari ini. – UTUSAN







