KAJANG: Datuk Seri Najib Razak masih belum dilihat keluar dari Penjara Kajang setakat pukul 8.30 malam selepas kembali ke penjara berkenaan kira-kira pukul 7.15 malam tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati setakat waktu itu, tiada sebarang pergerakan keluar melibatkan kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri tersebut dikesan dari kawasan penjara.
Terdahulu, Najib tiba semula di Penjara Kajang dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak dan diiringi beberapa kenderaan pengiring.
Kenderaan sama membawa Najib keluar dari Penjara Kajang kira-kira pukul 2.37 petang tadi sebelum beliau dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan.
Terdahulu, Najib dijangka dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta selepas selesai pemeriksaan kesihatan bagi menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian mengumumkan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim pada 18 September 2026.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu perlu diambil susulan timbul persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa “menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta” dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.
Tengah hari tadi, Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang merupakan antara syarat dalam Perintah Pengampunan Bersyarat.
Najib, 73, mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. -UTUSAN











