KAJANG: Datuk Seri Najib Razak kembali ke Penjara Kajang kira-kira pukul 7.15 malam tadi selepas pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak yang membawa Najib dilihat memasuki kawasan Penjara Kajang dengan diiringi beberapa kenderaan pengiring.
Kenderaan sama sebelum ini membawa Najib keluar dari penjara berkenaan kira-kira pukul 2.37 petang tadi dengan kawalan beberapa kenderaan pengiring serta sebuah van Jabatan Penjara.
Terdahulu, Najib dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dijangka dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Bagaimanapun, AGC kemudian mengumumkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan buat sementara waktu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat.
Penangguhan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
AGC berkata, status penahanan Najib dalam tempoh tersebut hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa berkaitan.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa terdapat dua interpretasi yang memerlukan penelitian lanjut.
Interpretasi pertama ialah pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
Dalam keadaan itu, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara dan bukan bermaksud hukuman penjara berkenaan telah tamat.
Interpretasi kedua pula melihat pembayaran denda RM50 juta sebagai syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya sehingga keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai.
Persoalan itu turut melibatkan kesan undang-undang ‘Order of Discharge on Payment of Fine’ bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pembayaran denda RM50 juta direkodkan.
Perintah itu mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa sama menyatakan baki hukuman perlu dijalani secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
AGC turut memaklumkan isu berkenaan mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan hukuman itu bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International.
Tengah hari tadi, Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang merupakan antara syarat pengampunan bersyarat bagi membolehkan baki hukumannya dijalani secara tahanan rumah.
Peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee kemudian tiba di Penjara Kajang kira-kira pukul 2.15 petang dipercayai bagi menguruskan proses berkaitan perintah tersebut.
Najib, 73, mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.- UTUSAN











