Sedang menikmati sarapan, saya dikejutkan satu panggilan telefon daripada sesorang yang mempunyai hajat besar. Pada awalnya sukar bagi pemanggil berkenaan menyatakan terus terang apa hajat nya tetapi selepas mendesak dan memujuk, dia akhirnya berterus terang ingin meminta bantuan yang dirasakan amat berat tetapi penting.
“Boleh ke bantu saya ikut rombongan ? ujarnya ringkas.
Akhirnya si pemanggil berkata saya diperlukan dalam rombongan yang perlu untuk merisik.
Dengan sedikit kejutan, spontan saya menyoal ringkas kenapa saya. Akhirnya selepas menjelaskan beberapa perkara saya kata ya tapi bersyarat.
Saya bagi syarat kerana kerja merisik bukan tugas mudah bagi individu seperti usia saya ketika itu.
Merisik merupakan sebahagian adat Melayu apabila akan berlakunya perkahwinan. Yang dirisik tentulah anak dara untuk teruna atau bekas teruna . Mereka tentulah seronok tetapi kita yang terlibat dalam majlis ini gugup kerana adat perlu dipelihara.
Lantas selepas menyatakan persetujuan saya teringat sesuatu iaitu adat merisik di sesetengah negeri perlu disertakan dengan pantun.
Pantun saya mudah
Pergi menjala sehingga petang
Singgah beli pisang berangan
Hajat besar kami datang
Ingin memetik bunga di taman.
Itu pantun berhemah dan bersopan
Persediaan awal itu separuh berjaya dan perkahwinan pun berlangsung akhirnya.
Moral ceritanya merisik dalam adat Melayu bukan mudah.
Dua situasi berbeza yang kedua duanya perlu merisik iaitu adat perkahwinan dan medan peperangan.
Malah kerja atau profesional perisik di medan perang kadang kala melibatkan nyawa terancam.
Konflik Iran-Israel yang hangat baru-baru ini sebenarnya banyak membabitkan kerja kerja awal perisik atau ejen bagi mendapatkan maklumat atau mengumpul data.
Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Dr. Ferooze Ali Ahsad Ahmad memberitahu saya, kerja perisik sangat mustahak.

Kata beliau, peranan perisikan dalam ketenteraan bukan sesuatu yang baharu. Malah, telah wujud seawal manusia mula berperang.
Beliau memberi contoh, kepentingan risikan telah digariskan dalam karya agung The Art of War oleh Sun Tzu (China, sekitar 500 SM).
Sun Tzu menganggap perisikan yang baik sebagai komponen utama yang menentukan kemenangan sesuatu peperangan.
“Kepentingan risikan dapat dirumuskan melalui tiga perkara utama iaitu, pertama sebagai pendekatan mendapatkan maklumat awal.
Perisikan menyediakan maklumat penting sebelum sesuatu tindakan ketenteraan diambil. Maklumat awal ini membantu mengurangkan ketidaktentuan dan membolehkan perancangan yang lebih tepat.
Kedua kata beliau, sebagai inisiatif mengenal pasti kelemahan musuh. Dalam konteks ini, melalui risikan, kelemahan, kekuatan, kedudukan serta strategi musuh dapat dikenal pasti. Ini membolehkan pihak tentera merancang strategi serangan atau pertahanan yang lebih berkesan. Terakhir, sebagai alat persiapan dan pencegahan. Perisikan juga berperanan memberi amaran awal bagi menghadapi sebarang ancaman.
Dengan maklumat ini, pasukan pertahanan dapat bersiap sedia lebih awal dan mengelakkan serangan mengejut.
Berdasarkan perkongsian itu, jelas kerja kerja merisik yang dilakukan ejen ejen ini berisiko tinggi dan kadang kala tindakan mereka di luar dugaan. Ini kerana agensi-agensi perisikan seperti KGB (Kesatuan Soviet/Rusia),
Mossad (Israel) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat memainkan peranan yang amat penting dalam mempertahankan keselamatan dan kepentingan negara masing-masing, malah seringkali bertindak di luar jangkaan dengan melangkaui sempadan, undang-undang antarabangsa dan norma diplomatik, terutamanya dalam konteks kuasa-kuasa besar yang sentiasa khuatir sekiranya kekuatan, pengaruh atau kepentingan strategik mereka digugat oleh kuasa luar atau perkembangan dalaman di kawasan strategik tertentu. Keadaan ini mendorong mereka melaksanakan operasi perisikan secara agresif, licik dan adakalanya kejam.
“Pendekatan perisikan ini saya rumuskan sebagai “pendekatan 2C” iaitu clandestine and cruelty, iaitu hampir semua operasi utama dijalankan secara sulit dan rahsia (clandestine) melalui rangkaian ejen rahsia, ejen berganda, penyamaran, pengintipan teknologi tinggi serta serangan siber, dengan operasi pengumpulan maklumat yang kadangkala mengambil masa bertahun-tahun untuk menanam ejen dalam organisasi sasaran,” ujarnya.
Tindakan yang melampau nilai kemanusiaan pernah berlaku melibatkan ejen CIA yang menanam ejen di negara musuh semasa era Perang Dingin.
Ejen Mossad menculik individu di luar negara seperti penculikan Adolf Eichmann di Argentina, manakala KGB menjalankan pengintipan skala besar di negara Barat dengan menggunakan sleeper agents.
Dalam masa yang sama, operasi mereka turut melibatkan kekejaman (cruelty) seperti pembunuhan politik, sabotaj, penyeksaan untuk mendapatkan maklumat serta operasi “false flag” yang menyamar sebagai pihak lain untuk mencetuskan konflik demi melaksanakan agenda strategik negara masing-masing.
Siapa sebenarnya perisik ini.? Mereka direkrut untuk menjadi pengintip oleh kerajaan masing masing di negara musuh untuk tujuan mengumpul data dan maklumat.
Kerja-kerja merisik ini penting terutama bagi menghadapi situasi peperangan, menceroboh atau ingin menakluk sesebuah negara lain.
Mengambil contoh semasa Perang Dunia Kedua, perisik digunakan oleh British yang ketika itu bersama pihak tentera Berikat bagi menghadapi Jerman yang bersekutu dengan Jepun. Pada era penjajahan Rusia terhadap
Afghanistan, CIA juga menjalinkan hubungan rapat dengan Mujahidin . Rusia memberi bantuan kepada Mujahidin dalam bentuk kewangan dan latihan ketenteraan.
Bermakna perisik sudah pun memainkan peranan mengumpul maklumat , lama sebelum operasi ketenteraan atau perang bermula.
Apabila Jepun hendak menakluk Tanah Melayu, Kosaku atau perisikan Jepun bermula lama.
Perisik Jepun bertindak sebagai sleeper agent iaitu bukan ejen perisik tetapi mengutip dan memperoleh maklumat menerusi pelbagai aktiviti.
Mereka ini sebenarnya bekerja sebagai ejen perisikan untuk mendapat maklumat tentang British di Tanah Melayu Ejen perisik Jepun ini menyamar sebagai tukang gunting rambut, jurugambar, nelayan dan peniaga dan membekalkan tentera Jepun dengan maklumat peta yang kemdiannya digunakan tentera semasa mendarat di Tanah Melayu.
Perkara ini berlaku sebelum Jepun menakluk Tanah Melayu. Jepun dikatakan menganggap aktiviti perisikan ini sangat penting berdasarkan buku Sun Tzu tersebut.
Jika kamu mengenali dirimu dan mengenali musuh, kamu boleh menang pertempuran menewaskan musuh secara psikologi merupakan strategi lebih baik yang lebih baik berbanding mengalahkan musuh secara ketenteraan.
Kerja-kera merisik ini menjadi semakin mudah jika mendapat bantuan penduduk tempatan. Jika Jepun menganggap kerja merisik adalah membantu negara yang kita boleh katakan satu semangat patriotisme, sebaliknya
pula bagi penduduk yang bekerja sama dengan perisik. Mereka ini boleh dianggap sebagai tali barut dan sepatutnya dihukum kerana mengkhianati negara. Semasa konflik kenteraan Iran-Israel ada cerita lucu. Kononnya perisik yang tertangkap diikat kepada peluru berpandu yang kemudiannya dilancarkan ke negara perisik berkenaan. Jika cerita itu benar, mungkin memadai sebagai satu hukuman. Mengulas isu tali barut ini Dr. Ferooze Ali berkata: “Saya fikir wajar rakyat Malaysia mendahulukan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Ini cara kita membalas kebaikan pemimpin terdahulu yang telah memerdekakan negara dari cengkaman penjajah.” Kita mungkin pernah mendengar rakyat Malaysia ditawarkan sebagai pemberi maklumat kepada perisik negara luar,
Tidak ada kepastian mengenai isu ini kerana ia kekal rahsia. Tapi dalam filem Melayu watak tali barut tentera penakluk ini ada ditonjolkan sebagai watak Buang dalam filem Sarjan Hassan. Peranan Buang ialah rakan sekampung kepada Hassan, namun akhirnya menjadi pengkhianat dan tali barut Jepun semasa penjajahan. – UTUSAN










