Pencapaian akademik bukan penentu segala–galanya

Pencapaian akademik bukan penentu segala–galanya

TERDAPAT banyak aspek kemahiran yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh para pelajar kita selain daripada aspek teori dan akademik semata–mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH diucapkan kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing sempena minggu konvokesyen yang diadakan oleh kebanyakan universiti dan institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara kita pada ketika ini.

Namun bagi menempuh segala cabaran dunia masa kini, seseorang graduan itu perlu memiliki bukan sahaja tahap kejayaan akademik yang baik malah perlu juga mempunyai faktor penarik yang membolehkan mereka menempuhi dunia realiti di luar bilik kuliah.

Malangnya, terdapat segelintir individu pelajar serta warga pendidik yang hanya memberi fokus terhadap kejayaan akademik semata-mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam era globalisasi pada masa kini, isu kualiti graduan terutamanya graduan tempatan masih menjadi isu kritikal terutama apabila menyentuh aspek kemampuan mereka memenuhi permintaan pasaran masa kini.

Kebolehan seperti kemahiran menyelesaikan masalah dalam menghadapi sesuatu situasi atau menghasilkan sesuatu yang membawa kepada faedah umum, menerusi cetusan daya kreativiti dan inovasi atau kebolehan untuk berkomunikasi dengan baik dilihat masih belum mampu dikuasai sepenuhnya biarpun amat diperlukan pada masa kini oleh masyarakat sekeliling.

Tanpa kemahiran insaniah ini, sejauh mana para graduan dapat menempuh dunia yang serba mencabar pada hari ini. Perlu diingatkan keputusan akademik yang baik bukanlah satu-satunya faktor penentu dalam mencari pekerjaan serta memperoleh kejayaan dalam hidup.

Faktor kemahiran insaniah seperti yang dinyatakan juga menjadi faktor-faktor yang sama penting bagi kejayaan mana-mana individu pada masa kini.

Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan supaya semua pihak terutamanya pihak pendidik menitik beratkan kemahiran insaniah selain memberi tumpuan terhadap kejayaan akademik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diperkenalkan hampir 30 tahun yang lalu yang menyasarkan keberhasilan pendidikan yang mampu melahirkan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya (JERI).

Pihak universiti perlu sentiasa menjalinkan kerjasama dengan industri di luar kampus supaya mereka didedahkan dengan kehendak pasaran terkini. Pihak industri juga perlu memberikan kerjasama mereka kepada pihak universiti yang ingin menjalinkan hubungan kerjasama berkenaan dengan mereka.

Adalah disarankan juga pihak industri mewujudkan sebuah unit khas di tempat industri mereka khusus untuk melaksanakan kerjasama berkenaan seperti yang telah diwujudkan di setiap universiti dalam negara kita.

Zaman kini sudah pun sudah berubah.

Terdapat banyak aspek kemahiran yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh para pelajar kita selain daripada aspek teori dan akademik semata-mata seperti kemahiran untuk berfikir aras tinggi, kemahiran untuk berkomunikasi dengan berani dan penuh keyakinan, kemahiran untuk menggunakan pelbagai jenis aplikasi teknologi moden dan lain-lain lagi. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini