PBD tidak bebankan guru

PBD tidak bebankan guru

PENTAKSIRAN Bilik Darjah (PBD) dikatakan mampu memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk belajar tanpa terlalu cenderung dalam bidang akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) berpendapat, Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) tidak membebankan guru kerana ia membantu mereka menilai penguasaan akademik murid seterusnya mengelak keciciran.

Presiden iGuru, Mohd. Azizee Hasan berkata, fokus utama kursus tersebut diwujudkan bagi memastikan kandungan silibus tidak terlalu padat dan membebankan murid terutamanya bagi subjek Sains dan Matematik.

Katanya, guru tidak akan berdepan pertambahan tugas sebaliknya memudahkan mereka menilai tahap penguasaan (TP) murid, memahami sistem pengajaran baharu dan melaksanakannya dengan lebih efektif

“Ia adalah satu langkah mengadaptasikan kurikulum dengan mengambil kira keperluan murid yang berbeza-beza. Persoalan guru akan meninggalkan kelas juga tidak akan berbangkit sekiranya diurus dengan baik.

“Inisiatif ini masih baharu dan berkemungkinan dilaksanakan secara berfasa. Yang penting adalah kandungan kurikulum itu disusun semula dan dikemaskini terutamanya di tahap satu, mengikut keupayaan murid-murid,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua mata pelajaran murid di sekolah rendah akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred bermula tahun ini.

Mengulas lanjut, Azizee berkata, konsep TP masih digunakan dalam PBD untuk melihat tahap penguasaan murid dengan lebih terperinci.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyediakan lebih banyak guru yang berkemahiran supaya dapat menangani isu literasi dan numerasi.

“Pihak kementerian perlu sediakan guru yang mahir terutamanya di sekolah-sekolah yang mempunyai ramai murid menghadapi cabaran menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.

“Ibu bapa belum bersedia untuk memahami konsep TP namun UASA akan memudahkan ibu bapa memahami dan mengetahui pencapaian anak-anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, guru tidak berdepan lambakan tugas dengan pelaksanaan UASA.

Katanya, pelaksanaan UASA tidak dibuat pada masa terdekat, sebaliknya dilakukan pada peperiksaan atau sebelum tamat penggal persekolahan.

“Jadi, tiada isu timbul bahawa guru akan berdepan tugas-tugas baharu, kononnya mengatakan pelaksanaan ini dibuat tergesa-gesa,” katanya.

Menurutnya, penilaian baharu dapat membantu ibu bapa untuk menilai sejauh mana pencapaian akademik anak-anak mereka dalam bentuk peratusnya dan tidak lagi bentuk tahap penguasaan (TP) iaitu antara TP 1 hingga 6 sehingga mencetuskan pertikaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN