NAIROBI: Amalan rasuah menyebabkan Kenya mengalami kerugian kira-kira 370 bilion shilling (RM12 bilion) setiap tahun, sekali gus menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negara itu, menurut laporan terbaharu Bank Dunia.
Laporan yang diterbitkan semalam menyatakan rasuah berlaku di semua peringkat masyarakat Kenya, daripada sogokan kepada anggota polis trafik hingga skandal perolehan kerajaan berskala besar yang turut membabitkan pegawai tertinggi negara.
Keadaan itu menjadikan Kenya antara negara yang mempunyai tahap rasuah tertinggi dalam kalangan negara berpendapatan sederhana rendah.
Bank Dunia menganggarkan kelemahan tadbir urus menyumbang kira-kira 370 bilion shilling setahun kepada defisit fiskal negara itu, bersamaan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Anggaran itu merangkumi kehilangan hasil cukai, ketirisan perbelanjaan awam, peningkatan kos pinjaman serta kerugian lain akibat amalan rasuah.
Laporan itu turut menyebut kemarahan rakyat terhadap rasuah menjadi antara faktor utama demonstrasi besar-besaran pada pertengahan 2024, susulan cubaan kerajaan menaikkan cukai.
Menurut Bank Dunia, rakyat sebenarnya lebih bersedia untuk membayar cukai sekiranya mereka mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan negara.
Sehubungan itu, penulis laporan menggesa ahli politik Kenya mengambil langkah serius membanteras rasuah dengan menekankan manfaat ekonomi yang boleh dicapai menerusi pembaharuan tadbir urus.
Berdasarkan unjuran Bank Dunia, ekonomi Kenya berpotensi berkembang lebih 20 kali ganda menjelang 2035 sekiranya negara itu melaksanakan pembaharuan antirasuah seperti yang dilakukan Ghana dan Senegal.
Langkah itu juga dijangka membuka tambahan 7.7 juta peluang pekerjaan dengan prospek serta kualiti yang lebih baik.
Bank Dunia akhirnya meluluskan pakej pinjaman terbaharunya kepada Kenya pada Jun lalu selepas proses itu tertangguh sepanjang 2025 berikutan kelewatan kerajaan melaksanakan langkah membanteras rasuah.
Antara syarat yang ditetapkan termasuk pengenalan peraturan baharu bagi menangani konflik kepentingan dalam kalangan ahli politik, pelaksanaan sistem perolehan elektronik serta kelulusan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, laporan itu menunjukkan amalan rasuah terus memberi kesan besar terhadap pelbagai aspek pembangunan Kenya.- AFP











