Bermula dengan sentimen yang dicetuskan sebuah jenama penjagaan diri dari seberang, gerakan ‘Maka Kami’ yang membawa mesej ‘sokong barangan tempatan’ atau support local kembali mencuri perhatian. Bukan sahaja dalam kalangan pengusaha produk kecantikan, malah turut merangkumi jenama makanan, pakaian hingga minyak wangi.
Bagaimanapun, perbincangan mengenai kepentingan menyokong produk tempatan kini semakin meluas, khususnya apabila melibatkan produk seni tanah air seperti muzik dan filem. Persoalannya, sejauh mana masyarakat benar-benar memberikan sokongan serta mengambil tahu tentang karya yang dihasilkan pengkarya dan pemuzik tempatan?
Meninjau perkembangan di media sosial, semakin ramai pengguna tampil berkongsi pandangan mengenai filem tempatan yang wajar diberikan keutamaan berbanding naskhah luar yang turut bersaing merebut perhatian penonton di pawagam.
Situasi sama turut dirasai industri muzik apabila semakin banyak band dan artis bebas mula mendapat perhatian menerusi perkongsian warga maya yang mahu karya mereka diberikan ruang untuk didengari.
Bagi penyanyi, Kaka Azraff, kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan masyarakat dalam menyokong produk tempatan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penggiat seni. Justeru, pengkarya perlu lebih bijak mengambil peluang dengan mempergiat usaha mempromosikan karya serta jadual persembahan masing-masing menerusi media sosial.
“Kaka sangat gembira kalau cakap pasal sokong produk tempatan merangkumi semua segi, produk penjagaan diri, jenama baju, makanan, muzik. Itulah cara kita nak naikkan ekonomi, pusingan modal dalam negara sendiri. Lebih-lebih lagi apabila kini ia sudah menjadi trend pakai dan guna barang tempatan.
“Sekarang memang masa yang sangat baik untuk pemuzik ke hadapan dan beritahu karya mereka.
“Saya nampak banyak kawan-kawan lain, sama ada daripada kelompok underground atau mainstream tengah aktif promosi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 menerusi lagu Gila itu, dia turut berasa gembira melihat perkembangan band dan pemuzik muda yang semakin agresif mengetengahkan bakat serta karya sendiri.
“Saya memang nampak anak-anak muda sekarang lebih fokus kepada bakat tempatan.
“Memang seronoklah melihat keadaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kaka berpendapat setiap pemuzik, tanpa mengira genre yang diperjuangkan, perlu mempunyai strategi tersendiri untuk memperkenalkan dan menaikkan lagu masing-masing. Apatah lagi, masyarakat hari ini dilihat semakin terbuka dalam menerima kepelbagaian genre muzik.
“Sebenarnya muzik itu universal. Saya rasa sekarang ini kita sudah lebih terbuka berbanding dahulu yang membahagikan kedudukan muzik. Kalau kita dapat dengar semua genre dalam satu tempat, itu lebih menarik.
“Kita dapat kumpul semua peminat yang bermacam jenis genre untuk dengar, belajar, dan mengkaji. Sekarang ini memang bagus sebab itulah cara kita nak tarik anak-anak muda.
“Mereka sekarang sudah biasa dengan lagu-lagu urban, jadi bila di dalam acara urban itu kita masukkan juga elemen budaya, itu sangat bagus,” katanya.
Mengulas mengenai irama Malaysia yang kembali mencuri perhatian, Kaka menyifatkan kehadiran figura besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai antara penyumbang penting dalam memperkenalkan muzik etnik kreatif kepada masyarakat.
Menurutnya, pengaruh serta populariti seseorang artis sememangnya mampu membantu meluaskan promosi, sekali gus memudahkan usaha menarik penonton ke sesuatu persembahan.
Namun, usaha memperkenalkan irama Malaysia perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan genre berkenaan terus mendapat tempat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Tidak dinafikan bila nama artis itu besar, promosi untuk penjualan tiket akan jadi lebih mudah. Tapi kita kena teruskan juga buat benda ini supaya orang nampak.
“Sekarang ini bila lagu etnik atau irama sebegini mula datang balik, generasi muda mungkin belum kenal sepenuhnya. Mereka cuma tahu nama-nama yang sedia ada.
“Jadi, peranan kita semualah, termasuk media yang mewar-warkannya dan menulis mengenainya untuk bagi mereka tahu lebih dalam tentang Irama Malaysia,” katanya.
Mengakui pernah terlibat dalam tarian kebudayaan ketika zaman persekolahan, Kaka bagaimanapun menjelaskan bahawa fasa untuk bereksperimen dengan muzik etnik dalam perjalanan seninya mungkin sudah berlalu.
Namun, perkara itu tidak pernah menghalangnya daripada terus menyokong usaha mengangkat lagu etnik agar mendapat kedudukan sewajarnya dalam industri muzik masa kini.
“Di tahap sekarang ini, saya mungkin tidak boleh nak hargai dan sukakan muzik etnik kreatif. Sebenarnya masa sekolah dulu saya memang peminat tarian Zapin dan sebagainya.
“Cuma apabila sudah besar, minat itu berubah arah sikit. Walaupun dalam persembahan Kaka tiada elemen etnik, tapi minat untuk mendengar, menghayati, dan menghargai irama Malaysia itu sentiasa ada dalam diri Kaka. Ia satu keunikan yang hanya ada di sini,” katanya.











