PETALING JAYA: Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya skuad bawah 16 tahun (B-16) negara kendalian Shukor Adan jika mahu merealisasikan misi memburu tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 di Uzbekistan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk itu meletakkan sasaran tinggi terhadap skuad remaja negara dengan harapan mereka mampu melepasi saingan kelayakan dan kembali meletakkan Malaysia dalam kelompok terbaik bola sepak Asia.
Menurutnya, undian yang dilihat memihak kepada Malaysia serta kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri perlu menjadi pembakar semangat buat pemain untuk mencatat keputusan positif sepanjang kempen kelayakan.
“Sasaran kita memang mahu layak ke pusingan akhir kerana kita melihat kumpulan ini agak baik dan kita merasakan berpeluang untuk melangkah ke pusingan akhir di Uzbekistan.
“Tambahan pula, kita adalah tuan rumah dan kelebihan itu perlu digunakan sebaik mungkin oleh pemain,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama India, Palestin, Singapura dan Guam bagi mengharungi saingan kelayakan secara liga sepusingan yang menyaksikan setiap pasukan perlu mengharungi empat perlawanan.
Skuad negara bakal membuka tirai kempen menentang Palestin Ahad ini sebelum berdepan Singapura pada 14 November, Guam (17 November) dan India (20 November), dengan semua aksi berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Bagaimanapun, laluan ke Uzbekistan bukan mudah apabila hanya juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027, sekali gus menjadikan setiap perlawanan cukup penting buat anak buah Shukor.
Justeru, Malaysia tidak boleh sekadar bergantung kepada kelebihan sebagai tuan rumah, sebaliknya perlu menterjemahkan peluang itu kepada kemenangan dan mengelakkan sebarang keciciran mata jika mahu menamatkan kempen di puncak Kumpulan E. – UTUSAN











