Kerajaan terlalu lama mengabaikan penduduk Lim Gardens

Kerajaan terlalu lama mengabaikan penduduk Lim Gardens

PENDUDUK Lim Gardens berhak mendapat tindakan segera, bukan sekadar janji setiap kali banjir melanda. -GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lebih lapan bulan sejak beberapa kawasan di Ipoh, termasuk taman perumahan saya, Lim Gardens, dilanda banjir teruk pada Februari lalu. Namun, sehingga kini, tiada tindakan menyeluruh diambil bagi menangani masalah yang sekian lama membelenggu penduduk di kawasan berkenaan.

Susulan kejadian itu, saya mengemukakan aduan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya sistem perparitan di kawasan berisiko banjir direka semula dan diperbesar bagi meningkatkan kapasiti aliran air. Saya turut mencadangkan pembinaan beberapa kolam tadahan di Lim Gardens untuk menampung lebihan air ketika hujan lebat.

Aduan turut dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kinta dengan menekankan keperluan kerja-kerja pengorekan kelodak, khususnya di Sungai Pari dan Sungai Kinta, bagi meningkatkan kedalaman serta kapasiti sungai untuk menampung jumlah air yang lebih besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, maklum balas yang diterima daripada MBI sekadar menyatakan cadangan kolam tadahan akan dirujuk kepada jabatan teknikal untuk penelitian dari aspek kesesuaian tapak, keperluan teknikal dan peruntukan kewangan. Bagi sistem perparitan pula, pihak majlis memaklumkan kerja penyelenggaraan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Jabatan Pengairan dan Saliran pula menjelaskan kerja pengorekan kelodak bergantung kepada peruntukan tahunan, selain memaklumkan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kinta bagi menaik taraf Sungai Kinta dan Sungai Pari telah dilaksanakan. Pemantauan juga akan diteruskan.

Namun, kini kita sudah menghampiri November, sedangkan tiada perubahan ketara dapat dilihat. Kolam tadahan masih belum dibina, manakala sistem perparitan kekal sempit dan cetek. Keadaan Sungai Pari yang mengalir berhampiran taman perumahan juga menimbulkan kebimbangan. Setiap kali hujan lebat, paras air meningkat mendadak, tetapi menjadi cetek ketika cuaca panas dan kering. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan kerja pengorekan kelodak yang sepatutnya dilaksanakan.

Ketiadaan tindakan konkrit amat mengecewakan, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh kembali melanda. Penduduk Lim Gardens sekali lagi berdepan risiko banjir, sedangkan masalah ini sudah berlarutan selama beberapa dekad. Keselamatan dan kesejahteraan penduduk tidak sepatutnya terus dipertaruhkan akibat kelewatan pihak berkuasa menangani masalah berulang.

Alasan kekurangan peruntukan juga tidak wajar dijadikan penghalang. Isu keselamatan awam seperti banjir perlu diberikan keutamaan dalam perancangan kewangan kerajaan. Penduduk tidak seharusnya menanggung akibat kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan langkah pencegahan.

Jika tindakan segera tidak diambil, banjir seperti yang berlaku Februari lalu berisiko berulang dan sekali lagi menjejaskan kehidupan penduduk. Kami tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya mahu keselamatan dan kebajikan kami diberikan perhatian sewajarnya. -UTUSAN

 

RAVEEN VEERASENAN JEYAKUMAR

Penduduk Lim Gardens

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini