Singapura perketat undang-undang berkait jerebu

Singapura perketat undang-undang berkait jerebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Singapura bercadang memperketat undang-undang antipencemaran jerebu rentas sempadan dengan memperkenalkan kuasa penahanan, meningkatkan kadar denda serta mengenakan sekatan terhadap syarikat yang terbabit dalam pencemaran udara akibat kebakaran hutan.

Cadangan pindaan undang-undang itu dibentangkan di Parlimen pada Rabu susulan pencemaran udara akibat kebakaran hutan di Indonesia yang berlarutan selama beberapa minggu sehingga mencetuskan kemarahan rakyat Singapura dan desakan supaya tindakan lebih tegas diambil.

Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar, Grace Fu berkata, langkah itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa mendapatkan dan mengesahkan maklumat, menjejaki hubungan korporat yang kompleks serta mengambil tindakan terhadap syarikat yang melanggar undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita juga perlu berupaya mengambil tindakan lebih awal sebelum pencemaran jerebu sampai ke Singapura. Oleh itu, undang-undang perlu diperkukuh dan kita mesti bertindak segera,” katanya.

Singapura menggubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2014, namun pelaksanaannya berdepan kekangan berikutan halangan bidang kuasa serta kesukaran mendapatkan bukti dari luar negara.

Desakan untuk memperketat undang-undang sedia ada semakin meningkat selepas jerebu tebal akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Borneo, Indonesia, merebak ke beberapa kawasan di rantau ini.

Di bawah pindaan yang dicadangkan, kesalahan mengikut akta itu akan membolehkan pihak berkuasa membuat tangkapan, manakala mahkamah boleh meneruskan perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh sekiranya mereka berada di luar negara atau gagal dikesan.

Denda terhadap syarikat yang didapati melanggar undang-undang itu juga dicadangkan meningkat 10 kali ganda kepada hampir AS800,000 (RM3.2juta) sehari. Had maksimum denda pula akan dinaikkan kepada lebih AS15.6 juta (RM62.4 juta).

Kerajaan Singapura juga akan diberi kuasa mengarahkan syarikat melantik penilai bebas dengan kos ditanggung sendiri bagi menyiasat kebakaran, operasi perniagaan serta hubungan korporat mereka.

Pindaan itu turut membolehkan pihak berkuasa mengenakan sekatan terhadap syarikat yang dikenal pasti, termasuk mengehadkan akses kepada perkhidmatan kewangan.

Syarikat yang menyalahkan pihak ketiga atas kebakaran di kawasan tanah milik mereka juga perlu membuktikan bahawa langkah sewajarnya sudah diambil bagi mencegah dan memadam kebakaran.

Cadangan pindaan itu diklasifikasikan sebagai mendesak, sekali gus membolehkan perbahasan dan pengundian dijalankan dalam tempoh singkat. Ia dijangka diluluskan dengan mudah memandangkan Parlimen dikuasai Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah.

Mengikut undang-undang sedia ada, Singapura sudah mengeluarkan amaran kepada 10 syarikat supaya mengerahkan pasukan pemadam kebakaran, menghentikan aktiviti pembakaran terbuka dan mengemukakan pelan tindakan masing-masing.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini