Latif buru tiket LA 2028 di Tashkent

Latif buru tiket LA 2028 di Tashkent

ABDUL Latif Romly. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pingat emas atau perak di Kejohanan Dunia Para Jun depan menjadi buruan utama jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly dalam misi mengesahkan tiket awal ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Pemenang dua pingat emas Paralimpik itu sedar, kejayaan menaiki podium pada kejohanan di Tashkent, Uzbekistan, dari 19 hingga 27 Jun depan bukan sekadar memburu gelaran dunia, malah menjadi syarat penting untuk melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu secara merit.

Justeru, atlet berusia 29 tahun itu meletakkan Kejohanan Dunia sebagai keutamaan dalam kalendar musim depan, sebelum mengalihkan tumpuan kepada Sukan Para ASEAN yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Latif, perancangan latihannya tidak akan mengalami perubahan besar kerana fokus utama adalah memastikan prestasi berada pada tahap kemuncak ketika beraksi di pentas dunia.

“Persiapan latihan saya akan kekal lebih kurang sama dan sasaran utama adalah untuk mencapai kemuncak prestasi pada Kejohanan Dunia.

“Saya perlu memenangi pingat emas atau perak di Tashkent untuk mengesahkan tempat ke LA2028 secara merit,” katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), semalam.

Dalam masa sama, insentif RM160,000 yang diterimanya menerusi SHAKAM turut menjadi suntikan motivasi buat Latif untuk menghadapi cabaran lebih besar pada musim depan.

” Saya bersyukur dengan insentif ini. Ia sememangnya memberikan motivasi tambahan untuk menghadapi pertandingan akan datang,” katanya.

Bagi Latif, kejayaan di Tashkent bakal menjadi langkah penting dalam memastikan laluan ke LA2028 dapat direalisasikan lebih awal, sekali gus membuka peluang untuk terus mengharumkan nama negara di pentas Paralimpik.

KAPSYEN

ABDUL LATIF ROMLY

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini