MUKADIMAH
BAGAI adik dan abang. Itu perumpamaan tepat yang boleh diberikan terhadap hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.
Walaupun adakalanya ‘tersentap’ membabitkan beberapa isu, bukanlah sehingga berlakunya konflik.
Namun, isu pengambilan tenaga kerja dari Indonesia seringkali diberi fokus dan tidak pernah sunyi diperkatakan antara kedua-dua pemimpin negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Duta Besar Indonesia ke Malaysia, HERMONO bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu, jurufoto FAUZI BAHARUDIN.
100 HARI PEMERINTAHAN
ANWAR IBRAHIM
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana anda melihat pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lebih 100 hari ini?
HERMONO: Kita tahu dalam tempoh empat tahun terakhir ini ada beberapa Perdana Menteri Malaysia. Sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih dan ini memberikan satu harapan yang sangat besar bagi Indonesia untuk menyelesaikan pelbagai persoalan terutama yang terkait dengan pekerja asing.
Beliau sangat dikenali di Indonesia dan mengaku banyak temannya di sana. Jadi, apa yang kita lihat menerusi lawatannya pada Januari lalu, Anwar telah memberitahu Presiden Joko Widodo bahawa beliau akan menyelesaikan persoalan yang terkait dengan tenaga kerja Indonesia. Bahkan beliau memberi satu tempoh masa (dari tarikh lawatan rasmi) untuk menyelesaikan segalanya (isu tenaga kerja).
Ini satu harapan besar sebab yang berjanji bukan sahaja seorang Perdana Menteri, tetapi sahabat Indonesia.
Bagaimanapun, kita sedikit bimbang kerana sudah lebih 100 hari Anwar memerintah dengan tempoh masa yang diberikan selepas tiga bulan (penyelesaian), kita tidak tahu apa yang telah dilakukan dan perkembangannya.
Kalau janji tidak dilaksanakan, ini tidak menyenangkan. Ini boleh menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen yang beliau nyatakan ketika pertemuan dengan Joko Widodo.
SEGERA SELESAIKAN
ISU TENAGA KERJA INDONESIA
Anda menaruh harapan tinggi agar isu pekerja asing ini diselesaikan secepat mungkin?
Sudah pasti kerana yang berjanji ini seorang sahabat. Mungkin kalau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Tan Sri Muhyiddin Yassin (berjanji), ia tidak terlalu ‘diangkat’ di Indonesia.
Yang jadi persoalan sekarang, harapan Indonesia sangat tinggi. Apa yang kita lihat, kepentingan kedua-dua negara (isu tenaga kerja Indonesia) selalu tidak selari. Daripada apa yang disampaikan Anwar dengan apa yang kita harapkan tidak ketemu. Sebagai contoh, Anwar ketika pertemuan dengan Jokowi ada menyatakan tentang kos (pengambilan tenaga kerja) dari Indonesia terlalu tinggi dan mahu diturunkan. Pada kami, bukan kos sebaliknya perlindungan pekerja. Itu yang ditekankan sekarang.
Seandainya mahal, boleh ambil di negara lain. Isunya sekarang bagaimana kepentingan perlindungan mahu diselesaikan? Ini tidak, ada pekerja yang sampai 19 tahun tidak dibayar. Sebab itu, saya katakan kebajikan mereka bagaimana? Itu belum lagi kita bicara tentang keadilan. Malaysia mahukan sesuatu dan Indonesia juga begitu. Tiada titik pertemuan.
Isu tenaga kerja Indonesia dilihat sangat dekat dan seringkali dibincangkan antara kerajaan kedua-dua negara. Bagaimana anda melihat pendekatan Malaysia dalam menangani isu ini berbanding negara lain?
Isu dan persoalan dengan Malaysia lebih kompleks kerana melibatkan beberapa perkara seperti geografi, visa dan lain-lain.
Tetapi bagi kami persoalan sekarang adalah perlakuan yang tidak adil kepada pekerja Indonesia terus terjadi. Penguatkuasaan pula tidak nampak tegasnya sehingga majikan tidak takut untuk terus mengambil pekerja yang tidak mempunyai dokumen.
Sebab itulah, ada kesannya (penganiayaan). Maka tidak hairanlah pengambilan pekerja yang tiada dokumen terus berlaku sebab tidak dihukum majikan terbabit walaupun kesalahan mereka tertakluk di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Yang dihukum hanya pekerja yang disabitkan kesalahan tiada dokumen, sedangkan kedua-duanya salah.
Ada satu kes itu ada pekerja haram Indonesia bawa isu ini (kebajikan) ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan polis, tapi yang ditanya “kenapa awak tidak mempunyai dokumen”. Sepatutnya tanya majikan juga kenapa menggaji pekerja yang tidak mempunyai dokumen. Jadi, beban seringkali dipikul dan diletakkan atas bahu pekerja ini.
Selain itu, kita tidak boleh bandingkan antara epal dengan epal seandainya mahu melihat dan bercakap tentang pendekatan Malaysia dengan negara lain dalam soal layanan terhadap pekerja Indonesia.
Ya, kita ada hantar pekerja ke Arab Saudi, Hong Kong dan Brunei. Tetapi pelanggaran tetap berlaku di mana-mana pun. Yang membezakan jumlah atau kekerapan berlakunya penindasan. Persoalan akan menjadi lebih kompleks. Yang membezakan dan menjadi isu utama sekarang lebih kepada penguatkuasaan. Kami mahu meminta keadilan sahaja.
Adakah pihak Indonesia turut melantik peguam bagi menegak keadilan?
Selalu kami melantik peguam tetapi kami kalah. Ini semua melibatkan proses perundangan dan kami tidak boleh campur. Namun kami lihat seperti tidak adil pula (dalam satu-satu perbicaran).
Sebagai contoh ada pekerja yang disiksa teruk sampai gigi tercabut dan sebagainya. Tapi kes tidak diangkat lima tahun. Kemudian apabila saya bercakap kepada Peguam Negara (AG) barulah beliau ‘angkat’. Mungkin kalau tidak ditanya, lupa.
PENDERAAN AMAH
Berapa banyak laporan penderaan amah, eksploitasi tenaga kerja Indonesia yang bekerja di Malaysia diterima Kedutaan Indonesia?
Yang paling banyak gaji tidak dibayar walaupun majikan mereka sememangnya kaya. Sering kali saya fikir dan membuat kesimpulan bahawa pekerja Indonesia yang terdiri daripada amah ini dipandang bawah (hina), tidak payah bayar gaji mereka. Tapi bukanlah semua majikan sebegitu. Ada juga yang baik.
Cuma saya terfikir bagaimana ada yang mempunyai perasaan dan sanggup untuk tidak membayar gaji bertahun-tahun tanpa ada rasa bersalah. Mengapa?
Ada kes minggu lalu yang sudah 19 tahun tidak dibayar gaji. Sehinggakan apabila kita siasat ada dua pembantu rumah terdiri daripada warga Indonesia dan FIlipina. Yang Filipina dibayar gaji tetapi warga Indonesia tidak. Sebab itu, saya katakan seperti sudah ada mindset (minda) sebegitu.
Adakah laporan penderaan dan penganiayaan terus menunjukkan peningkatan?
Ya, menunjukkan peningkatan. Ada yang kita panggil majikannya bayar, barulah bayar. Masalahnya, banyak kes membabitkan tiada dokumen. Kita bawa Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Mereka kata – ”Oh, ini tiada dokumen dan perlu dibawa ke mahkamah”. Prosesnya pun memakan masa bukan lima ke enam bulan. Adakalanya makan tahun dan pekerja pun pulang.
Jadi, saya lihat banyak orang cenderung mengambil pekerja yang tiada dokumen sebab mereka boleh mengambil kesempatan. Tidak perlu bayar.
TANPA DOKUMEN SAH
Jadi mengapa masih ada rakyat Indonesia sanggup bekerja tanpa dokumen yang sah ke negara ini. Mengapa tidak disekat dari negara asal?
Sudah semestinya ini melibatkan permintaan dan penawaran. Di satu sisi awak akan cakap mengapa tidak cegah. Tapi bagi kami kalau tiada yang mahukan pekerja haram, sudah tentu mereka tidak akan masuk.
Dalam hal ini, kita akan saling salah menyalah antara satu sama lain tanpa titik penyelesaian. Saya selalu kata di mana ada PATI (pendatang asing tanpa izin) di situ ada ‘MATI’ (majikan tanpa izin).
Justeru, harus ada penguatkuasaan. Mengapa lebih ramai suka ambil pekerja yang tiada dokumen? Sebab untung. Katakan, awak bayar pada ejen haram RM6,000 untuk ambil pekerja tersebut. Selepas itu, awak akan potong tiga bulan gaji dia disebabkan kos tadi. Selepas bulan keempat, awak ambil pasport dia dan boleh bayar gaji sesuka hati sebab dia tidak dapat lari serta tiada dokumen.
Masalah ini tidak selesai selama mana tiada tindakan terhadap majikan. Dan selagi mana ia tidak selesai, hubungan Malaysia dan Indonesia akan terganggu sebab perkara ini.
Hubungan kita semestinya tidak diganggu gugat oleh masalah ini sahaja. Ada lagi yang lebih penting. Saya ada berbincang di Jakarta tentang perkara ini. Mungkin sampai satu tahap kita akan membekukan penghantaran tenaga kerja Indonesia ke Malaysia kalau tiada apa-apa solusinya. Ia akan selalu menggugat dan tidak pernah selesai sehingga menyebabkan hubungan antara kedua-dua negara berlaku turun naik.
PENCEROBOHAN KAWASAN
Anda tegas dalam isu pekerja tetapi dilihat tidak tegas dalam isu membabitkan pencerobohan warga Indonesia di kawasan tertentu termasuk perkampungan dalam hutan di Nilai. Komen anda?
Saya tidak protes. Ini adalah negara kamu, Malaysia. Perkampungan itu jelas melanggar undang-undang. Jadi, silakan hukum.
Dalam masa sama mereka pasti ada majikan. Siapa majikan mereka? Mereka tidak duduk di situ beriadah. Saya tidak mempersoalkan awak punya undang-undang. Tapi masalahnya kalau hukuman hanya pada satu sisi, itu tidak adil.
Difahamkan terdapat sekolah dalam perkampungan tersebut. Tidakkah pencerobohan seakan-akan mendapat ‘restu’ kedutaan Indonesia?
Perkampungan di situ ada anak-anak yang usianya dalam lingkungan persekolahan. Indonesia mahu galakkan mereka bersekolah di Indonesia.
Tetapi disebabkan tiada dokumen tidak mungkin dia boleh bersekolah. Adakah kita mahu diamkan sahaja anak-anak itu supaya tidak bersekolah?
Anak-anak itu ada konvensyennya iaitu Declaration of the Rights of the Child (Pengisytiharan hak kanak-kanak). Hak mereka untuk mendapatkan pendidikan. Malaysia pun ada konvensyen berkenaan. Jadi, Indonesia mahu anak-anak itu pulang dan sementara menunggu, mereka boleh belajar dahulu.
Mereka ada hak pendidikan dan Malaysia pun akui (hak pendidikan). Ya, betul memang kita beri buku berdasarkan sukatan pelajaran sama di Indonesia. Tetapi yang ajar orang tempatan. Apabila mereka pulang ke Indonesia nanti mereka hanya menyambung pendidikan di sana nanti. Namun ini bukan bermakna kita sokong PATI tersebut. Ia dibuat (pendidikan) atas nama hak dan anak-anak terbabit.
Jadi apa harapan kepada Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan kerajaan berhubung isu membabitkan pekerja dari Indonesia?
Menteri tahu apa yang perlu dibuat dan tahu apa yang selalu diminta Indonesia. Kami mahu setiap pekerja mendapat semua hak pekerja yang sepatutnya. Kami tidak minta layanan istimewa dari kerajaan Malaysia.
POLITIK MALAYSIA
Apa pandangan berkenaan politik di Malaysia sepanjang tiga tahun di sini?
Saya pernah di sini pada 2013 sehingga 2015 dan sekali lagi dari tahun 2020 sehingga kini dengan pertukaran tiga Perdana Menteri. Ada persoalan buat saya iaitu sangat susah untuk menjangkakan polisi kerajaan. Malah sukar untuk membaca hala tuju kerajaan Malaysia.
Mungkin kerana bertukar kerajaan. Dulu ada Perikatan Nasional (PN) dan sekarang Kerajaan Perpaduan dengan polisi berbeza. Jadi timbul persoalan, tertanya-tanya ke mana hala tuju Malaysia? Saya fikir kalau saya tanya orang Malaysia termasuk awak pun pasti tidak dapat menjangkakan apa berlaku untuk seterusnya. – MINGGUAN MALAYSIA










