Residensi Siswa atasi isu kediaman pelajar

Residensi Siswa atasi isu kediaman pelajar

ANWAR Ibrahim melawat galeri pameran selepas merasmikan Projek Residensi Siswa Universiti Malaya diiringi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam melancarkan Pro­jek Re­sidensi Siswa Universiti Malaya (UM) yang merupakan inisiatif awal dalam mengatasi masalah kediaman yang dihadapi oleh mahasiswa di Lembah Klang.

Projek tersebut bakal membantu mahasiswa yang terpaksa menanggung kos sewa bilik dan rumah yang tinggi setelah gagal mendapat kediaman di kolej.

Kerajaan melalui Belanja­wan­ 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan peruntukan se­banyak RM750 juta untuk melaksanakan projek itu dan Vista Kampus bagi mempertingkatkan kemudahan kediaman siswa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tersebut bakal menempatkan 30,000 mahasiswa dan bagi mencapai matlamatnya, beliau mahu ia disiapkan lebih awal berbanding cadangan pada 2030 dan akan dibincangkan da­lam mesyuarat Kabinet esok.

Malah katanya, semua kementerian dan jabatan terlibat, termasuk Kementerian Kewa­ngan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diarahkan mempercepatkan pro­ses membuat keputusan ber­kaitan pelaksa­naannya.

Kata beliau, pelaksanaan Pro­jek Residensi Siswa Universiti Malaya akan dibuat secara telus bagi mengekang ketirisan dengan maklumat kos, kontraktor serta jadual pelaksanaannya dihebahkan kepada umum mulai tahun hadapan.

Katanya, pembangunan kediaman mahasiswa itu perlu menjadi contoh pelaksanaan yang bersih, bebas daripada ra­suah serta diurus dengan penuh dedikasi.

Ini kerana katanya, kelemahan pengurusan menyebabkan banyak dana negara terbuang dan bocor, justeru pengalaman projek terbengkalai yang kemudian memerlukan tambahan kos perlu dijadikan pengajaran.

“Kalau mengundang saya, ada harganya. Harganya ialah saya akan memantau sendiri pelaksanaannya dan saya minta semua fakulti menjadi pengawas supaya kerja berjalan dengan baik.

“Walaupun ramai yang tidak suka saya membincangkan per­kara ini, saya tidak akan meng­alah selagi diberi mandat. Tugas saya ialah membersihkan negara daripada amalan seperti ini.

“Ini bukan masalah kaum, kelas atau wilayah. Ini masalah kecurangan kerana kita meng­khianati amanah. Tanggungjawab ini bukannya keistimewaan dan UM mesti membawa kefahaman itu kepada kita,” katanya ber­ucap pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa UM di Kolej Kedia­man Ke-5, UM di sini, semalam.

Anwar berkata, semua kementerian dan jabatan yang terlibat, termasuk Kementerian Kewangan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan di­arahkan mempercepatkan pro­­ses membuat keputusan berkaitan pelaksanaannya.

“Mana-mana syarikat yang tidak mempunyai keupayaan, kita tukar. Kita perlu memastikan syarikat yang terlibat boleh mempercepatkan pelaksanaan dan melakukan kerja yang diamanahkan dengan baik.

“UM mempunyai ruang tanah yang mencukupi untuk menyediakan perumahan mahasiswa. Tanah ini milik universiti dan kita akan menggunakannya bersama syarikat-syarikat milik kerajaan bagi menjayakan pembangunan ini,” katanya.

Menurut Anwar, syarikat milik kerajaan tidak seharusnya menjadikan keuntungan sebagai satu-satunya matlamat kerana mereka turut mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu pembangunan negara.

Katanya, sejak tiga tahun lalu, syarikat-syarikat berkenaan diminta memberikan tumpuan kepada pembangunan dalam negara, sementara pelaburan di luar negara masih boleh dite­ruskan dan keuntungan mereka akhirnya kembali kepada rakyat.

“Peruntukan tertinggi kita ialah pendidikan, diikuti kesihatan dan pertahanan. Jika hanya menunggu dana kerajaan, kita tidak mampu, sebab itu kita menggabungkan kekuatan syarikat-syarikat milik kerajaan untuk menyumbangkan pelaburan.

“Bangunannya mesti indah, mempunyai seni dan budaya, persekitaran yang baik serta kemudahan mencukupi. Kita tidak mungkin menyediakan kemudahan seperti hotel lima bintang, tetapi keperluan asas mesti dipenuhi.

“Saya mahu UM menjadi contoh awal kerana selepas ini kita mempunyai pembangunan yang sama untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada fasa kedua yang akan disegerakan, tetapi kita mulakan di sini dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini