Sekilas GPS, GRS tahu serasinya siapa? - Utusan Malaysia

Sekilas GPS, GRS tahu serasinya siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KE mana hala Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam politik Malaysia hari ini?
GPS dikatakan pernah cuba merapati Pakatan Harapan (PH) yang memerintah 22 bulan dari 9 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, tetapi `tak boleh gi’. Sudah puluhan tahun serasi dengan gaya dan konsep Barisan Nasional (BN), hubungan GPS-PH seakan dicampur minyak dan air.
GRS pula khususnya kumpulan yang lompat dari UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Datuk Seri Hajiji Nor dipercayai masih mesra BN. Tak sukar memahami kecenderungan GPS dan GRS dalam konteks politik Sabahan dan Sarawakean.
Kedua-dua gabungan politik terbesar di luar Semenanjung ini hanya mahukan kestabilan demi manfaat rakyat masing-masing. Mereka berkehendakkan parti dominan yang menguasai kerajaan pusat dengan memiliki margin kerusi yang besar. Tidak dapat dua pertiga tak mengapa, asalkan jangan margin cuma dua, tiga ahli parlimen.
Tempoh hari menjelang pilihan raya negeri Sarawak 18 Disember tahun lepas, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkongsi dengan Mingguan Malaysia:
“Saya berpengalaman (dalam politik) 40 tahun, saya dipilih (menjadi wakil rakyat) pada 1981, kita berdepan banyak krisis. Krisis di sana (Semenanjung) pun kita tahu, jadi kita mesti elok-elokkanlah sistem politik kita sebab yang menderita rakyat,” kata beliau.
Perjuangan GPS dan GRS yang senada menuntut hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh kurang tiga tahun ini yang berjaya diperoleh secara berperingkat membuktikan mereka menolak `main politik’ yang berpanjangan.
Cumanya dalam konteks keserasian dengan blok parti di Semenanjung, ke mana arah kedua-dua gabungan ini?

MELUAT
Abang Johari dalam pertemuan dengan penulis itu tidak dapat menyembunyikan rasa meluatnya terhadap tindak tanduk PH.
“Pada masa 22 bulan apabila Barisan Nasional (BN) kalah dan bertukar kerajaan, banyak projek yang telah diluluskan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri dibatalkan oleh PH. Antaranya jambatan, jalan coastal highway serta beberapa sekolah daif juga dikata tidak cukup dana.
“Saya kata ini persetujuan kita dengan kerajaan Pusat yang telah dilulus hendaklah dilaksanakan. Namun menteri kewangan (PH) ketika itu mengatakan Sarawak masih berhutang dengan kerajaan Pusat. Tapi hutang kita (Sarawak) itu state debt yang ada scheduled loan yang banyak.
“Dia kata bayar dulu, jadi saya bayar RM1 bilion tidak mengikut scheduled loan. Jadi, saya buat advanced payment, tetapi itu pun lambat dilaksanakan pembaikan sekolah-sekolah daif, (walhal) sekolah itu penting…untuk anak kampung kan.
“Inilah masalah kita (GPS) dengan PH, tapi memang mungkin disengajakan. Banyak sekolah daif di luar bandar macam di Daro, menyebabkan saya buat (baiki) gunakan pembiayaan dana Sarawak,” katanya.
Diminta merumuskan inisiatif GPS di Sarawak, kata Abang Johari lagi,
yang penting adalah kelancaran bekalan api dan air kawasan di luar bandar.
“Kita bekerjasama dengan Kementerian Luar Bandar tapi pelaksanaannya terlalu lambat.
“Sebab itu kerajaan negeri mencukupkan dana untuk membiayai bekalan elektrik dan air di luar bandar termasuk apa yang kita sebut sebagai pendekatan Sares iaitu guna solar untuk rumah panjang dan kawasan kampung di luar bandar.
“Air pula kita ada pendekatan dinamakan Sawas. Lebih kurang RM4 bilion untuk menaik taraf air di luar bandar, elektrik adalah RM2 bilion dan ini dilaksanakan sejak 2017 hingga sekarang. Ada yang sudah selesai hampir 50 peratus. Kita teruskan tapi dana sudah ada.
“Sebab itu banyak kawasan luar bandar termasuk rumah panjang boleh mempunyai 24 jam bekalan elektrik.
“Yang penting jalan raya dan jambatan yang dibatalkan (semasa PH) kita teruskan. Panjangnya kira-kira 1,000 km dari selatan ke utara menyeberangi banyak sungai. Yang itu mahal, jadi kita buat inisiatif infrastruktur,” katanya.

PENGAJARAN BERHARGA
Berbeza dengan Sarawak, di Sabah UMNO telah lama bertapak. Sejarah kemerdekaan Sabah melalui Malaysia menyaksikan parti-parti tempatan cuma berpeluang memerintah negeri lebih kurang 10 tahun sekali. USNO 10 tahun, Berjaya 10 tahun dan PBS kira-kira 10 tahun. Tetapi BN-UMNO mentadbir selama 25 tahun.
Dan lapan wakil Bersatu yang bertanding dalam PRN Sabah 26 September 2020 dan menang adalah bekas pemimpin UMNO termasuk Hajiji. Mereka ini bekas menteri dan timbalan menteri di Sabah dan dikenali kerana datangnya dari UMNO.
Sebab itu tidak menghairankan apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beberapa hari lalu bahawa GRS mahu bersama BN dalam PRU15.
GRS dianggotai BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Tempoh hari juga waktu penulis berbual dengan Hajiji menjelang PRN Sabah, beliau menyatakan:
“Kita (Sabah) perlu bekerjasama dan sehaluan dengan kerajaan Persekutuan. Jaga keselamatan rakyat dan perairan kita. Ini tanggungjawab Persekutuan. Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat Sabah adalah pastikan negeri ini tidak boleh diancam sesiapa,” katanya.
Memasuki gelanggang PRU15, UMNO dikatakan tidak mahu masuk dalam lubang ular yang sama seperti dialami mereka dalam PRN negeri itu.
PRN Sabah memberi pengajaran berharga kepada UMNO apa makna ‘kerjasama, siapa kawan dan lawan’. Waktu itu, UMNO diberi kerusi yang berat untuk menang sementara Bersatu pula ‘kacau daun’ dengan meletakkan calon dari PBS dan STAR bertembung dengan calon UMNO.
Anggota PN ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pas. BN pula terdiri daripada UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MIC.
BN dalam GRS bertanding 41 kerusi termasuk 32 dari UMNO, MCA (4) dan PBRS (5). Bagaimanapun pertembungan sesama sendiri dalam kalangan parti-parti GRS berlaku di 17 kerusi. Ini terjadi apabila PBS meletakkan 22 calonnya berbanding 15 kerusi yang dipersetujui di peringkat awal.
Dan disebabkan ‘kegilaan’ pemimpin Warisan mahu terus berkuasa inilah menyebabkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin terpaksa mengalah menyerahkan jawatan ketua menteri kepada Bersatu walaupun UMNO memiliki 14 kerusi yang juga pemilik kesemua 14 kerusi BN yang menang. Bersatu Sabah cuma menang 11 kerusi.
Dengan Bersatu memiliki PN yang dianggotai STAR, justeru 11 kerusi + 6, menjadi 17. Mereka buat perjanjian dengan PBS pula, berubah kepada 17+7 = 24. Bersatu menaja pula ADUN Bebas, 24+3, jadi 27.
Dan UMNO (BN) hanya ada 14 kerusi. Maka 27 lawan 14. Menguatkan lagi, Bersatu ada Perdana Menteri ke-8 yang menjadi magnet penarik.
Mengamati kebelakangan dua tahun ini, keserasian dengan blok politik di Semenanjung manakah yang didambakan oleh GPS dan GRS dalam PRU15 atau selepasnya nanti?
Sekilas ikan di air, sudah diketahui jantan betinanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN