Membaca akhbar itu stail, menjulang bahasa Melayu kitalah!

Membaca akhbar itu stail, menjulang bahasa Melayu kitalah!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGAMATI pencapaian edaran akhbar tertinggi dunia, Yomiuri Shimbun dan Asahi Shimbun, saya tidak terkejut kerana rakyat Jepun diketahui memiliki minat membaca luar biasa.
WAN-IFRA’s World Press Trends memaparkan senarai 10 akhbar yang mencatat edaran harian tertinggi dunia yang dapatan itu tidak banyak berbeza saban tahun. Serentak itu bermakna orang masih lagi gemar mempunyai secawan kopi pagi mereka bersama akhbar di tangan.

Diketuai Yomiuri Shimbun, dengan purata edaran 9.101 (9 juta) naskhah sehari, jelas mengejutkan populariti laman web dalam talian yang kian meningkat.

Data itu seperti satu dorongan kilat kepada akhbar-akhbar tempatan kita ketika sering dimomokkan konon akhbar `sekadar memapar berita basi – cuma layak menjadi pembungkus nasi lemak’.

Dan lebih mengujakan saya apabila akhbar Utusan Malaysia kini kembali ke sekolah selepas pembatalan arahan terhadap memorandum dikeluarkan enam tahun lalu. Memorandum yang melarang semua agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk sekolah melanggan Utusan Malaysia itu akhirnya hanya ditarik semula oleh menteri yang ketiga mengetuai KPM dalam tempoh itu, Fadhlina Sidek. Terima kasih YB.

Langkah mengembalikan akhbar ke sekolah bertujuan memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid. Ia mahu menjayakan inisiatif membudayakan amalan membaca akhbar di sekolah.

Ya, dalam soal bahasa Melayu, semestinya harus dimartabatkan kembali. Kalau tidak kita atau KPM, siapa lagi? Kalau setakat untuk tambah cedukan ilmu, bahasa Inggeris tiada salah digunakan. Tetapi usahlah sampai seperti kata pepatah Melayu “jangan dedalu (parasit) membunuh pokok”.

Terima kasih juga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat tinggi bahasa Melayu. Tahun lepas, Anwar mengarahkan semua pihak yang mahu mengutus surat rasmi kepada kerajaan diwajibkan menggunakan Bahasa Kebangsaan – yakni bahasa Melayu.

“Sesiapa sahaja menulis selain bahasa Kebangsaan, surat itu akan dipulangkan semula,” kata beliau, ditujukan antaranya kepada kalangan syarikat dan universiti tempatan.

SEKERAT BELUT, SEKERAT ULAR

Kepakaran dualiti bahasa Inggeris dan bahasa kebangsaan (Melayu) harus melalui bimbingan dan asakan kuat dari pemerintah serta sistem pembelajarannya. Jika tidak, seperti mana keadaannya di Internet – bahasa nasional menjadi bahasa pinggiran. Ini lantaran bahasa Inggeris telah mengisi peranan utama sebagai bahasa komunikasi Internet selain sains dan teknologi.

Risau sebab kita masih bertutur sekerat Melayu, sekerat Inggeris. Sekerat belut, sekerat ular. Beratus-ratus singkatan kata atau abriviasi yang diguna pada masa ini yang orang kampung kita tidak faham. Kelulusan kita berjela-jela, malangnya perihal asas bangsa sendiri tidak difahami lagi.

Tiap kali Barat mencipta sesuatu, tiap kali pula budaya kita berubah: komputer, internet, Facebook, SMS, WhatsApp – semua ini sudah pun mengubah budaya kita berkomunikasi. Dan bukan semuanya baik buat budaya kita. Mereka yang menentukan corak hidup kita. Media sosial telah masuk ke darah kita. Semua ini didatangkan dari dunia sebelah sana.

Maka dalam membantu pembinaan negara, akhbar tetap diperlukan. Akhbar bukan alat propaganda jika itu semata-mata dimahukan pihak berkehendakkannya sebegitu. Akhbar adalah institusi yang berdiri di antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan menuntut pemahaman rakyat, sementara rakyat menyampaikan luahan hati dan aspirasinya melalui isu-isu disiarkan.

Ramai hero tidak didendang, tidak kira daripada orang biasa, cendekiawan dan ahli politik muncul di dada akhbar – mencetuskan idea dan kaedah merungkai masalah rakyat. Idea-idea ini dikutip dan ada antaranya dijadikan dasar dipraktikkan kerajaan. Antaranya, syor pewujudan lembaga unggas, Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan turap jalan guna getah beku.

Pendedahan berani tentang ketirisan, kantin sekolah terabai sejak bertahun lamanya, penguasaan kartel telur, ayam – segalanya dirintis oleh akhbar, sebelum diarkibkan di web, yang kemudian dipetik pula oleh media-media digital.

RELEVAN

Surat khabar masih relevan dan terus hidup di negara ini. Selain Yomiuri Shimbun, di London dan Amerika Syarikat, surat khabar mereka terus bersaing.

Bagi rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, untuk berdaya tahan sebagai sebuah negara, sama ada di dalam wilayah Nusantara atau di luarnya, aset utama kenegaraan ialah manusianya.

Soal kemanusiaan sesebuah negara perlu dijadikan pemacu atau penggerak kemajuan. Jika lemah daya saing kemanusiaannya, maka lemahlah hasil yang diidamkan.

Sebaliknya jika kemanusiaannya berdisiplin, mencapai tahap pendidikan yang membina dan menghasilkan pendekatan perubahan positif, maka negara akan terus menjurus kepada kegemilangan dalam erti kata kesejahteraan buat rakyatnya.

Kita tidak mahu bahasa Melayu senasib `tragedi’ menimpa tulisan Jawi. Skrip agama-budaya ini hidup semarak sehingga akhir tahun 1960-an apabila pihak berwajib mula mengendurkan keutamaannya. Tulisan jawi kemudian boleh dikatakan hidup-hidup ikan baung saja kerana amalannya tidak mendatangkan komersial lagi. Padahal masyarakat Tionghoa dan India terus dengan skrip Mandarin dan Tamil mereka. Bukan itu sahaja, akhbar Tionghoa jauh lebih laku daripada akhbar berbahasa Melayu hari ini di Semenanjung dan Sabah-Sarawak.

Bukankah hakikatnya bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 300 juta manusia di wilayah dunia Melayu Indonesia-Malaysia-Brunei-Singapura dan Selatan Thailand.

Dengan alasan penutur 300 juta itu sudah memadai bagi ASEAN menerima bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN itu satu hal, tetapi satu hal lagi, bukankah itu potensi untuk akhbar berbahasa Melayu mengembangkan pengaruh di Nusantara ini?

Dan sekali gus membantu peningkatan edarannya yang kini ‘suam-suam kuku’ sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya