Belanjawan 2027 bina ekonomi bernilai tinggi

Belanjawan 2027 bina ekonomi bernilai tinggi

BELANJAWAN 2027 perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi, pelaburan berkualiti dan peningkatan pendapatan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun, tempoh antara Julai hingga Oktober menjadi fasa penting dalam pengurusan kewangan negara. Dalam tempoh ini, Kementerian Kewangan memperhalusi persediaan Belanjawan bagi tahun berikutnya dengan meneliti keutamaan perbelanjaan, kedudukan hasil serta strategi fiskal yang perlu dilaksanakan.

Di sebalik pembentangan Belanjawan, terdapat proses perancangan yang panjang dan menyeluruh. Kerajaan perlu menentukan kemampuan perbelanjaan, sumber hasil dan bidang yang wajar diberi keutamaan berdasarkan cabaran ekonomi semasa.

Keputusan pembiayaan bukan sekadar menentukan jumlah pinjaman, malah mempunyai implikasi terhadap pengurusan fiskal dan kestabilan ekonomi makro.

Malaysia secara relatifnya tidak banyak bergantung kepada pembiayaan luar negara. Pengurusan hutang kerajaan lebih mengutamakan instrumen dalam ringgit bagi mengurangkan pendedahan kepada risiko pertukaran asing.

Penyediaan Belanjawan juga bukan tanggungjawab Kementerian Kewangan secara bersendirian. Input diperoleh daripada kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, industri, badan profesional serta institusi penyelidikan ekonomi.

Kerajaan lazimnya mengadakan dialog dengan persatuan industri dan perniagaan, persatuan profesional serta badan seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM). Pandangan pelbagai pihak penting supaya dasar yang dirangka mengambil kira keadaan sebenar dunia perniagaan, industri dan masyarakat.

Kerajaan kemudian menentukan peruntukan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Perbelanjaan mengurus meliputi gaji dan upah, bayaran hutang, geran kepada kerajaan negeri, bantuan, subsidi serta komitmen lain. Sebahagian daripadanya sukar dikurangkan dalam jangka pendek kerana berkaitan dengan perundangan, pentadbiran dan dasar sedia ada.

Perbelanjaan pembangunan memberi ruang lebih besar untuk menetapkan keutamaan pelaburan awam berdasarkan matlamat pembangunan negara. Peruntukan ini berkait rapat dengan program di bawah rancangan pembangunan lima tahun, termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan Belanjawan 2027 menjadi belanjawan kedua di bawah rancangan berkenaan.

Aspek lain yang kurang diberi perhatian ialah belanjawan tenaga kerja. Keperluan tenaga kerja sektor awam diteliti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala implikasi kewangannya diambil kira dalam penyediaan Belanjawan.

Dari sudut perundangan, proses ini berasaskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang kewangan awam sebelum dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan. Ini menjadikan Belanjawan sebahagian daripada sistem pengurusan kewangan negara yang tertakluk kepada pengawasan Parlimen.

Apabila kerajaan mengalami defisit, pembiayaan perlu diperoleh daripada pasaran. Keperluan itu perlu diurus dengan mengambil kira permintaan dana sektor swasta serta keadaan pasaran kewangan.

Permintaan pembiayaan kerajaan yang tinggi berpotensi meningkatkan kos dana, termasuk kadar faedah. Keadaan ini boleh mempengaruhi keputusan syarikat untuk melabur, berkembang atau mendapatkan pembiayaan baharu.

Dalam keadaan tertentu, fenomena crowding out boleh berlaku apabila keperluan kerajaan terhadap sumber pembiayaan mengurangkan ruang yang tersedia kepada sektor swasta.

Oleh itu, pengurusan defisit dan hutang bukan sekadar berkaitan kedudukan kewangan kerajaan. Ia turut mempengaruhi pelaburan swasta dan kemampuan ekonomi berkembang secara mampan. Cabaran utama dasar fiskal ialah mencari keseimbangan antara sokongan kerajaan kepada ekonomi dengan keperluan menyediakan ruang secukupnya kepada sektor swasta.

BELANJAWAN 2027 PERLU LEBIH STRATEGIK

Belanjawan 2027 disediakan ketika ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan yang kukuh, walaupun persekitaran global masih dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, perang Russia-Ukraine dan turun naik harga komoditi.

Ekonomi negara berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, manakala pertumbuhan suku kedua mencapai 6 peratus. Inflasi bagi Januari hingga Julai berada pada purata 1.8 peratus. Pasaran buruh juga kekal positif dengan kadar pengangguran sekitar 3 peratus dan penyertaan tenaga buruh 70.9 peratus.

Pelaburan, sektor perkhidmatan dan pelancongan terus menyokong pertumbuhan. Keadaan ini memberi ruang untuk Belanjawan 2027 dirangka secara lebih strategik, bukan sekadar mengekalkan momentum tetapi meningkatkan kualiti pertumbuhan.

Malaysia juga mempunyai peluang mencapai tahap ekonomi maju dengan sasaran pendapatan per kapita sekitar AS$15,000 (RM61,000), sekiranya pertumbuhan, pelaburan dan produktiviti dapat dipertahankan.

Namun, pertumbuhan tinggi sahaja tidak memadai. Manfaat pembangunan perlu diterjemahkan kepada pendapatan lebih baik, pekerjaan berkualiti dan taraf hidup yang meningkat.

Industri kecil serta perniagaan juga perlu terus diberi ruang berkembang, manakala bantuan kos sara hidup seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) harus memastikan golongan memerlukan tidak tercicir.

Dalam keadaan harga minyak tinggi, menyebabkan hasil berkaitan petroleum berpotensi meningkat. Namun, kos tenaga dan subsidi juga boleh bertambah. Sebarang ruang fiskal perlu diurus berhemat dan disalurkan kepada keutamaan yang memberi pulangan jangka panjang.

Pengukuhan fiskal memerlukan kerajaan terus mencari ruang meningkatkan hasil tanpa menjejaskan pertumbuhan, daya saing industri atau menambah beban rakyat.

Pendekatan menggabungkan atau menyesuaikan unsur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) wajar dikaji bagi membentuk sistem percukaian yang lebih cekap dan meluas tanpa mencetuskan tekanan inflasi yang tidak perlu.

Kesan cukai berlapis terhadap input pengeluaran juga perlu diberi perhatian kerana kos pada satu peringkat boleh meningkat pada peringkat seterusnya sebelum akhirnya ditanggung pengguna.

Dalam hal ini, MIER mencadangkan pengecualian cukai input tertentu dipertimbangkan dengan syarat hasil keseluruhan kerajaan tidak terjejas. Langkah sedemikian berpotensi mengurangkan kos industri dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.

Pada masa sama, tumpuan perlu diberikan kepada kualiti pelaburan yang dibawa masuk.

Sebagai bekas Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), saya mencadangkan Kementerian Kewangan mempertimbangkan peruntukan khas kepada MIDA untuk menarik industri berteknologi tinggi yang menawarkan nilai tambah, teknologi canggih serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Malaysia tidak lagi boleh mengukur kejayaan berdasarkan jumlah modal semata-mata. Keutamaan perlu diberikan kepada pelaburan yang membawa teknologi baharu, meningkatkan produktiviti, membangunkan kemahiran pekerja tempatan dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Industri berteknologi tinggi boleh diberikan galakan khusus dan berbeza berdasarkan nilai strategik yang dibawa kepada ekonomi. Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan menarik syarikat asing tetapi membina keupayaan industri tempatan.

Apabila sektor berteknologi tinggi berkembang, pekerja tempatan berpeluang menguasai kemahiran baharu, manakala syarikat tempatan boleh menyertai rantaian bekalan bernilai lebih tinggi.

Malaysia memerlukan kelompok industri baharu berasaskan teknologi, inovasi dan kemahiran tinggi sebagai asas kepada fasa perindustrian seterusnya. Kita bukan sekadar perlu bersaing mendapatkan lebih banyak pelaburan tetapi menarik pelaburan yang lebih berkualiti.

 

MEMBINA EKONOMI MASA HADAPAN

Belanjawan 2027 bukan sekadar soal jumlah yang dibelanjakan atau hasil yang dikutip. Lebih penting, ia menentukan ekonomi seperti apa yang mahu kita bina.

Asas ekonomi yang semakin kukuh memberikan ruang untuk Malaysia bergerak lebih jauh tetapi peluang itu perlu dimanfaatkan melalui strategi yang tepat.

Dalam konteks itu, Belanjawan 2027 berpotensi menjadi belanjawan transformasi yang menghubungkan disiplin fiskal dengan pertumbuhan, pelaburan dengan teknologi serta pembangunan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat.

Belanjawan yang baik bukan sekadar memenuhi keperluan hari ini tetapi membina kekuatan negara untuk menghadapi cabaran hari esok. –UTUSAN

 

TAN Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×