ADAKAH siri terbaharu pendakwaan kes rasuah melibatkan orang kenamaan (VIP) akan berulang di tahun 2023 ini?
Mungkinkah kali ini rakyat Malaysia sekali lagi bakal menyaksikan ada kalangan tertuduh sama ada diheret atau secara sukarela, menjadi saksi yang ‘melawan tauke’?
Barangkali kita juga akan membakulsampahkan istilah ‘kluster mahkamah’ yang rupa-rupanya hanyalah ‘cakap tidak serupa bikin’, sedap disebut daripada pihak yang berlagak kononnya ‘pejuang antirasuah’?
Agak sukar untuk mengesahkan kesahihan tiga perenggan di atas selagi suspek-suspek belum dihadapkan ke mahkamah. Mereka boleh berlagak maksum di luar sana, tetapi dalam perbicaraan di mahkamah, segala kejutan bakal terbongkar.
Namun yang pasti dua episod berikut boleh berlaku, sekali gus menjadi iktibar buat kita:
gajah di pelupuk mata
1. Bak kata pepatah Melayu, kuman di seberang laut nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak.
Bukan tidak ambil iktibar, tidak ikuti sejarah rasuah Sri Lanka. Meskipun contoh klise dipercakapkan dunia kejatuhan sebuah kerajaan korup berbaur dengan nepotisme, pengajarannya amat besar bila ahli keluarga dan kroni mengawal kerajaan.
Perkara yang tampak biasa dan ‘dibenarkan’ oleh pelaku pada mulanya, namun masalah besar tetap akan berlaku – sama ada awal atau lambat sahaja.
Mana-mana yang menjadi orang kerajaan penting di peringkat Pusat dan negeri harus beringat. Jangan biarkan perkara yang biasa dilakukan, berterusan sehingga ‘cacing sudah naik ke mata’.
Orang tua-tua kita dahulu sentiasa berpesan dengan hikmah.
Sebilangan pihak bila menjadi kerajaan, mereka alpa. Lantas meletakkan diri dalam lingkungan kehidupan elit dan mewah. Seolah-olah kelihatan `hati sudah tertutup’ dan tuli tidak ambil peduli dengan mata dan telinga rakyat.
Orang penting ini ‘tak kisah’ tayangkan kemewahan berupa bahan aksesori apabila berurusan dengan rakyat. Mereka enggan berpenampilan sederhana, tidak peka dengan persekitaran kos sara hidup orang lain. Bahkan menyanggah balik ‘serba tidak kena itu’ yang dituju kepada dirinya. Padahal, yang meletakkan mereka di tampuk itu adalah rakyat – undi yang diraih dalam pilihan raya hasil janji-janji yang berbuih mulut dalam kempen mahu memakmur dan memajukan ekonomi rakyat.
Dalam kalangan mereka yang berada di kaunter hadapan, dari pegawai penguat kuasa, ketua jabatan, menteri besar, menteri sehinggalah ke hierarki teratas harus peka, bijak dan harus ‘hati kering’ membezakan antara rasuah, bantuan, hadiah dan rezeki. Anda semua adalah penjawat awam.
Suapan rasuah boleh dalam bentuk wang tunai, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan (seperti seks), jawatan, upah, diskaun dan pinjaman.
Adakah kita mampu memastikan rasa takut, gentar dan rasa malu menguasai diri, sebagai ganjaran kepada konsep kerajaan bersih yang utama? Dan ini menghasilkan supremacy atau keagungan pemerintahan yang terasa dan dirasai hingga ke pinggan makan dan bilik tidur?
Ingatlah dan hindari kata bidalan ini: ‘ikan mula busuk di kepala, bukan di ekornya’.
Antara rasuah, bantuan, hadiah dan rezeki sukar – sukar dibezakan tetapi kata hati ada kalanya membisik jawapannya boleh jadi yang ‘satu, pertama’ itu.
Dari tertuduh ke kandang saksi
2. Dalam kes rasuah secara bergerombolan, mana-mana individu yang terlibat namun bukan sebagai suspek utama atau disebut dengan istilah particeps criminis, dia boleh dijadikan saksi.
Ini bagi tujuan memberi keterangan yang kukuh, sekali gus berjaya dalam pertuduhan itu. Perkara seperti ini pernah berlaku terhadap beberapa individu sebelum ini dalam kes yang dibiarakan di mahkamah.
Mereka ini pada mulanya dituduh bersubahat. Namun dia dibebaskan dan menjadi saksi utama pihak pendakwaan.
Dalam kes tertentu, tertuduh yang menjadi saksi itu juga tidak terlepas daripada hukuman. Misalnya ada harta mereka dilucut hak atau dikenakan kompaun.
Bagaimanapun, implikasi terhadap perkara seumpama ini ialah ia akan menimbulkan persepsi negatif masyarakat yang hanya melihat perkara itu secara tidak mendalam serta pukul rata bagi semua kes. Sedangkan setiap kes itu mempunyai ‘sifat’ yang berbeza-beza.
Persepsi atau telahan seumpamanya itu tidak dibuktikan dalam mahkamah. Itu yang disebut orang. Jadi, siapa pun boleh diambil sebagai saksi. Itu memang cara pendakwaan berjalan, tinggal lagi boleh tak boleh, itu bukan soal undang-undang.
Di negara-negara Barat, praktis yang sama sebagaimana di mahkamah Malaysia juga. Undang-undang negara ini mirip undang-undang barat juga. Tanggungjawab Kuala Lumpur berasaskan kepada Common Law Britain. Kanun Keseksaan negara ini berasaskan penal code India. Semua proses, yakni menggunakan mereka yang disyaki suspek di peringkat awal, boleh dijadikan saksi.
Dalam keagamaan, ia mungkin tak beberapa molek.
Persepsi nilai mungkin tak begitu cocok. Tetapi ia tidak terbukti di mahkamah. Ini masalahnya, kita dari luar mahkamah ‘menyangka atau mendengar khabar sahaja’. Padahal itu bukan pembuktian dalam mahkamah. Kalau terbukti, dalam mahkamah mesti dilalui prosesnya dahulu.
Siapapun individu yang diambil sebagai saksi terhadap ‘ikan bilis atau jerung’, segalanya ini berkisar gejala rasuah – penyakit orang politik. Ini yang menjadi masalah besar. Ia persoalan nilai masyarakat yang sudah retak, pecah.
Hari ini nilai yang benar tidak lagi nilai yang utuh, tetapi orang sudah terbalik, songsang.
Dalam konteks ini, ketua penyangaknya mesti dibicarakan dan bila mana didapati bersalah, akan dihukum.
Itu proses yang berjalan.










