Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal - Utusan Malaysia

Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG pemimpin politik bergelar ketua, presiden atau nakhoda, apa agaknya diperlukan untuk survival diri dan parti politiknya?

Perlukan seorang Machiavelli? Ikut persepsi klasik Itali ini, orang kanan dan anak buah tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua mereka yang dirinya berkhidmat dilihat kurang bijak. Hanya kerana untuk bertahan lama dalam politik, dia terpaksa selitkan sedikit Machiavelli. Demi mengekal jawatan dan kuasa, memaksa diri menjadi pembodek dan pencacai ketua. Kesan jangka panjang merana parti dan negara pun boleh terlungkup.

Atau seorang ketua itu perlukan orang kanannya beraksi seperti ‘dalam perut ada harimau, keluarkan sahaja bunyi kambing’? Mahu berkilat berkilau dalam politik, mahu diampunya. Maka akhirnya kecacatan, kelemahan dan kemungkaran dalam parti didiamkan oleh anak buah. Adakah itu kemahuan seorang ketua? Apa lagi bila politik itu dijadikan lubuk untuk mengaut kekayaan. Tidak setakat itu, mereka ini membiakkan pula little napoleon yang mengadu domba, mengacau sana sini orang kerajaan.

Ya, bagi seorang presiden parti atau ketua, dirinya adalah “pengamal” politik. bukannya ‘peramal’ politik’ – seperti mana banyak dilagukan oleh sebahagian penganalisis politik di menara gading dalam mengamati sesuatu isu dan krisis. Iaitu, dalam banyak keadaan, dirinya terpaksa membuat keputusan tidak popular demi untuk memberi nafas kepada partinya sendiri.

Tetapi dalam hal paling utama, parti-parti politik yang masih berlegar di dalamnya cara kerja konvensional dan enggan berubah, tidak akan ke mana. Berdikit dikit, barangkali setakat pilihan raya umum ke-16 (PRU16) partinya boleh lenyap terus.

KONVENSIONAL

Jika politik itu dianggap satu ‘industri’, pengusahanya iaitu presiden perlu lakukan perubahan dan anjakan drastik. Tidak wajar lagi bergerak cara lama – konvensional. Tidak perlu lagi mengejar keahlian hingga berjuta orang. Tidak menjamin kemenangan parti. Cipta terlalu banyak kategori jawatan dan ribuan penyandang, tetapi kos berbelanja untuk parti sahaja cecah berjuta ringgit.

Ada parti di setiap ceruk, daerah dan bahagian serba lengkap peralatan pejabatnya. Malangnya tiada manfaat pun untuk parti. Kerja hakiki khidmat bakti kepada masyarakat hangat-hangat tahi ayam. Duit peruntukan parti masuk tembolok sendiri.

Akhirnya parti kalah teruk pilihan raya. Grassroots atau akar umbinya entah ada entah tidak. Lenyap tak tahu ke mana. Tikam belakang, cah keting pula bagi undi kepada parti lawan. Kalau masih mahu juga mahu kekalkan cawangan, bahagian, cabang atau ranting beroperasi, harus difikirkan rombakan paling radikal.

Tetapi ada parti yang pejabatnya macam di balai-balai raya sahaja. Setakat buka meja, tetapi khidmat baktinya kepada pengundi dan masyarakat setempat kelas satu. Hasilnya parti itu menang kerusi pilihan raya parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Menang pula bergaya, meraih beratus ribu undi.

Bukankah semua parti sudah dapat iktibar dari penangan 1.4 juta pengundi berumur 18 hingga 20 tahun dalam PRU15 tempoh hari? Tidak itu sahaja, tidak terjangkau impaknya dari 4.6 juta pengundi lingkungan 21-29 tahun.

Ambil sahaja kata-kata hikmat Soekarno ini: “Beri aku 10 Pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia”. Pergi sahaja pada kualiti, bukan kuantiti.

Machiavelli, keluarkan ‘harimau dari perut atau simpan sahaja ‘bunyi kambing dalam perut?’ Atau adakah sebuah parti itu perlukan pemimpin kanan yang taktikal? Yang tahu menilai bila waktu ‘cuaca cerah, musim tengkujuh atau ribut petir’ kedudukan dan situasi partinya, sebelum keluarkan bom dan ledakkan peluru peribadi dirinya?

TEMBAK KAKI SENDIRI
Cuma berbaloikah ‘tembak kaki sendiri’? Hentam dan kritik parti sendiri, padahal
orang kanan dan anak buah parti-parti lawan tidak sedemikian aksinya kepada ketua mereka?

Al-kisah pemecatan dan penggantungan keahlian terhadap orang parti terpaksa dibuat biarpun terpaksa bayar harga yang sangat mahal – sehingga terlepas negeri yang disandang puluhan tahun.

Atau tidak puas hati terhadap presiden atau isu kerjasama, suarakan sahaja mengikut saluran parti atau secara dalaman? Tak jalan juga? Kepimpinan parti tidak mahu dengar? Barangkali akur dan beringatlah populariti diri yang diraih selama ini bukanlah kerana anda wakil rakyat bebas atau seseorang yang ‘tiba-tiba jadi terkenal’.

Tetapi kerana anda dikenali atas platform parti yang dianggotai seperti menyandang jawatan ketua penerangan, ahli MKT atau MP atau ADUN.

Bila mana terlalu gelojoh atau ikut perasaan tanpa kecerdasan emosi (EQ) dan rohani (SQ) dalam diri misalnya dalam kempen pilihan raya, bukan sahaja presiden, bahkan habis rakan-rakan lain terkena tempias, lumpurnya. Mengata parti sendiri, akibatnya bukan sahaja diri sendiri kalah di kerusi ditandingi, malah impak cercaan terhadap parti tadi menjangkit kepada rakan-rakan seperjuangan yang menjadi calon pilihan raya. Hingga kalah teruk mereka.

ANAI-ANAI
Adakah gaya berpolitik seperti ini taktikal, memastikan survival parti? Semestinya kejujuran ahli dalam mana-mana parti politik ibarat kisah anai-anai yang setia dan bersatu hati menjaga busut dari serangan musuh.

Meskipun kecil, anai-anai digeruni kerana upayanya menghancurkan musuh yang mahu musnahkan busutnya. Anai-anai tidak pernah berperang sesama sendiri. Anai-anai bergerak sebagai pasukan dan komited dengan tugas serta tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kelangsungan koloni. Rumah besar boleh digigit hingga runtuh. Tapi busut sanggup dipertahan hingga mati.

Waima apa pun taktikalnya pemain politik, mereka akan menang sentiasa jika mendahulukan keutamaan ini – jujur dan tidak menyembunyikan kebenaran.

Jangan jadi ‘pelantun’ semata-mata – bermain-main di permukaan, bercakap, berbisik-bisik dari luar, sedangkan kemungkaran di depan mata, kebinasaan berlaku.

Penasihat yang jujur, sanggup menerima risiko untuk menyampaikan nasihat baik kerana “yang pahit itulah” nurani sebenar rakyat.

Mana yang intelek, berkuasa di menara gading dan agamawan serta penceramah agama yang sohor – berani-beranikanlah diri menyanggah perkara tidak baik dan tidak benar. Bagi idea yang bernas, yang tinggi piawaiannya kepada pihak berwajib untuk perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul.

Jika ini pegangan pemain politik, dia bukan sahaja akan sukses semasa keberadaannya di dunia, tetapi keberuntungan buat diri lebih dinikmati selepas tiada lagi di alam fana ini.

Hanya Yang Maha Esa mengetahui dan membalas kebaikannya. Ikut Machiavelli, luahkan sahaja ‘harimau dari perut’ atau taktikal dalam pastikan survival politik? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN