PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan gandingan mereka masih ampuh selepas menyingkirkan beregu lelaki No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae untuk mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Obaekvej, Denmark, semalam.
Pasangan No. 4 dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila membenam beregu handalan Korea Selatan 21-14, 21-18 dalam masa 38 minit pada separuh akhir di SJF Bank Arena.
Aaron berkata, mereka kini lebih menikmati permainan di gelanggang selain tidak lagi dibebani tekanan berlebihan seperti sebelum ini.
“Mungkin tekanan juga tidak terlalu besar buat kami sekarang. Selepas melalui perpisahan dan segala yang berlaku, saya fikir kami kini lebih menikmati permainan,” katanya sewaktu ditemu bual selepas perlawanan.
Sementara itu, Wooi Yik pula memberitahu, mereka memberi tumpuan untuk memperkemaskan kekuatan sendiri, terutama dalam mengawal permainan dan menangani mata-mata penting yang sebelum ini sering memihak kepada lawan.
Menurutnya, pengalaman bergandingan selama 10 tahun turut membantu mereka memahami corak permainan masing-masing, namun beberapa aspek masih perlu diperhalusi bagi memastikan prestasi terus meningkat.
“Sebelum ini, kami kehilangan mata penting disebabkan kawalan dan pergerakan bola, tetapi kami sudah memperkemaskan aspek itu di sini. Kami juga perlu mencuba beberapa perkara berbeza untuk terus meningkatkan permainan,” ujarnya.
Kejayaan itu turut membuka peluang kepada pasangan No. 1 Malaysia tersebut kembali mengikat Won Ho-Seung Jae dengan rekod pertemuan 3-3.
Pada perlawanan akhir, hari ini, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan sama ada beregu No. 3 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri atau pasangan China yang berada di ranking No. 2 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Aaron-Wooi Yik kini hanya dipisahkan satu kemenangan untuk merangkul gelaran sulung mereka sejak kembali bergandingan, sekali gus mengukuhkan keyakinan menjelang cabaran lebih besar dalam baki musim ini.-UTUSAN











