KEBELAKANGAN ini ada pihak cuba membangkitkan keluh kesah seakan-akan kedudukan orang Melayu di negara ini umpama ‘menang sorak kampung tergadai’.
Dakwa pihak itu, orang Melayu seakan-akan hanya sebagai ‘penanam’ semata-mata dan membiarkan orang lain sebagai ‘penuai’. Pendek kata, orang Melayu ‘perlu diselamatkan’.
Hakikat yang kita perlu akui hari ini adalah semua pihak harus terlibat sama menung-menungkan dan perjuangkan darihal nasib bangsa kita. Orang Melayu realitinya perlu lebih bijaksana melangkaui dendangan klasik yang sentiasa menghantui mereka akibat salah faham konsep ketuanan Melayu. Mereka harus melakukan perubahan radikal. Iaitu dalam erti kata, sentiasa bersiap-siaga untuk “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” serta bersaing dengan kaum-kaum lain, dengan cara membayangkan diri mereka hidup dalam satu situasi yang cukup runcing dan mereka bukan lagi sebagai “anak yang dimanjakan.” Mereka sekadar “majoriti angka” dan bukannya “majoriti sosial.” Suka atau tidak suka, pada hakikatnya, orang Melayu perlu bersedia untuk bermain di padang sama rata.
Mengambil inspirasi dari titah Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudddin Shah pada satu program 2018, bahawa orang Melayu perlu “berhenti sifat menyalahkan tanah yang tinggi rendah apabila tidak pandai menari. Melayu hendaklah menjadi penari hebat meskipun tanah tinggi rendah.” Kuasa undi yang datang hanya setiap lima tahun masih perlu dioptimumkan apabila tiba waktunya.
SILAP PERCATURAN
Sejak lima tahun kebelakangan ini, kepercayaan atau trust semakin terhakis dalam kalangan masyarakat Malaysia. Setiap kaum di negara ini boleh diibaratkan seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Bagi orang Melayu, mereka ‘terpaksa’ terjebak dalam pertentangan dan pertarungan politik yang panjang dan yang tidak pernah reda, iaitu sejak tahun 1980an hingga Pilihan Raya Umum ke-15. Dan dijangkakan tidak akan reda, bahkan semakin sengit. Akibatnya, orang Melayu terpaksa dan akan terus menanggung pengorbanan yang tinggi. Jika silap percaturan, mereka akan menjadi golongan yang tewas, hilang segala-galanya. Hanya perubahan radikal yang mampu menyelamatkan mereka.
Yang orang Melayu ada hari ini cuma pangkat dan daulat. Yang perlu diingati ialah setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti yang terkandung pada Per.153 atau kedaulatan Raja-Raja Melayu (Per.38 dan 181), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Per.152), perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi, jauh sekali mendaftarkan kekuatan atau kedudukan Melayu itu sendiri. Yang pasti, kedudukan, kekuatan, malah kalau mahu dilabel ‘ketuanan’ sesuatu kaum atau supremacy sesuatu masyarakat pun tidak boleh dipergantungkan sangat. Ia lantaran sifat itu lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.
Laungan `ketuanan’ Melayu itu sebenarnya harus dilihat dari sudut ilmu, kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab termasuklah disiplin politik itu sendiri. Sekadar melaungkan Melayu tuan kepada sekalian yang lain, barang sudah tentu akan menyulitkan perjuangan itu sendiri.
Nasib orang Melayu ada di tangan orang Melayu sendiri. Kita tidak jadi `tuan’ dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi ‘tuan’ jika berani bertindak, sanggup menghadapi risiko, berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.
Penafian hakikat yang nyata dan benar tidak akan menghasilkan apa-apa. Hanya dengan mengakui kita mempunyai masalah yang besar dan kita bertindak untuk mengatasi masalah itu, barulah dapat kita tebus balik maruah kita.
‘TUAN”
Daripada aspek ekonomi, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera harus dilengkapi dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan. Adakah ekonomi bumiputera kini melebihi paras 30 peratus daripada segi perolehan aset? Dan malangnya, bumiputera masih dikatakan berada di tahap kurang 20 peratus? Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap?
Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib lain. Sebagai warga Malaysia, tidak salah jika cita-cita politik ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi. Dari sudut politik, jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini kurang berjaya memperjuangkan kaedah dan mekanisme penyampaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun daripada segi pembangunan, banyak kemajuan telah tercapai. Justeru orang Melayu perlu menolak nisbah “sekurang-kurangnya 30 peratus” dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh bumiputera.
Mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjalankan usaha pemantauan dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan dengan segera.
Realitinya, kita panggil diri kita ‘tuan’. Tetapi kita tidak tuan sepenuhnya. Kita boleh jadi tuan dengan erti kata yang bermakna jika orang Melayu berkebolehan dan berjaya dalam bidang ekonomi dan sosial juga. Ini boleh dihasilkan jika kita sanggup tuntut ilmu dan segala kemahiran di zaman teknologi tinggi. Tetapi kita amat kurang berusaha ke arah ini. Kita lebih suka cari jalan mudah. Biar sahaja orang bekal segala-galanya kepada kita.
Dan hari ini kuasa politik pun sukar dijamin tidak akan terlepas ke tangan orang lain. Sebilangan orang Melayu pun kelihatan tidak menghormati institusi-institusi Melayu. Segala-gala yang dianggap sebagai hak istimewa orang Melayu disoal dan dicabar. Dan orang Melayu tidak berbuat apa-apa untuk menangkis semua ini dan mengukuhkan kedudukan mereka. Sebaliknya mereka meminta-minta orang tertentu mempertahankan kedudukan orang Melayu.
Ada andaian mengatakan orang Melayu akan senasib dinasour. Maka kalau begitu telahannya, sesuatu perlu dibuat terhadap Perkara 153? Siapa yang bertanggungjawab? Rajakah, parti politik atau kerajaankah atau inisiatif orang Melayu itu sendiri?
Ketuanan Melayu perlu seiring merit dan kebolehan, barulah lagi berbisa. Mempertahankan ketuanan dan hak Melayu atas platform ‘politik gila kuasa’ hanya berupa omong kosong dan retorik.










