Mukadimah
Pandemik Covid-19 memberi impak tidak terduga kepada semua sektor di negara ini tidak kira kecil, sederhana mahupun besar. Ini termasuklah sektor penerbangan yang kini dilihat semakin tenat disebabkan jumlah penerbangan domestik dan antarabangsa yang sangat terbatas.
Kesan daripada pandemik tersebut, banyak syarikat penerbangan terpaksa mengecilkan operasi dengan memberhentikan pekerja demi mengurangkan kos dan untuk memastikan syarikat terus ‘hidup’ pada masa akan datang.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), KAPTEN CHESTER VOO memberitahu, cabaran industri penerbangan pada masa kini adalah bagi mengembalikan semula keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara.
UTUSAN: Apa fungsi dan peranan utama CAAM?
CHESTER: CAAM merupakan satu-satunya badan kawal selia industri penerbangan awam di negara ini yang memastikan keselamatan dan sekuriti operasi industri pengangkutan udara pada tahap maksimum.
Peranan utama kami adalah bagi memastikan sektor penerbangan awam negara mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) supaya keselamatan penerbangan awam tetap terjaga dan efisien.
CAAM juga berperanan menetapkan dasar komprehensif merangkumi semua aspek utama penerbangan dengan fokus pembangunan strategik, strategi jangka panjang dan pendekatan transformasi termasuk mengekalkan daya saing negara dalam sektor penerbangan global.
Sebagai pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia, tanggungjawab CAAM termasuk memantau operasi penerbangan di negara ini menjalankan pengawasan pematuhan kepada peraturan keselamatan penerbangan awam, mengatur operasi penggunaan ruang udara, selain menyediakan perkhidmatan navigasi udara di Kuala Lumpur Flight Information Region dan Kota Kinabalu Flight Information Region.
Dalam pada itu, kami turut menyelaras operasi mencari dan menyelamat serta bekerjasama dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menyiasat kemalangan pesawat.
Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada semua sektor di dunia, begitu juga dengan industri penerbangan. Bagaimana CAAM melihat perkara ini?
Kesan jangka panjang ini bukan sahaja kepada syarikat penerbangan malah turut menjejaskan operator penerbangan, organisasi latihan, penerbangan awam dan segala yang berkaitan pengangkutan udara.
Lebih memeritkan, pengurangan operasi secara drastik ini telah mendorong syarikat-syarikat penerbangan dan syarikat-syarikat berkaitan mencari jalan untuk menjimatkan kos operasi masing-masing termasuklah dengan memberhentikan sebilangan besar kakitangan, menjual aset dan sebagainya demi memastikan syarikat dapat terus bertahan.
Malah, cabaran utama dihadapi CAAM serta syarikat-syarikat penerbangan di negara ini adalah mengembalikan semula keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan udara.
Cabaran dihadapi bukanlah faktor yang melemahkan semangat, sebaliknya ia merupakan wake-up call kepada industri untuk sama-sama berusaha mencari penyelesaian terbaik memulihkan semula sektor penerbangan negara.
Bagaimanapun, saya tetap yakin masih ramai yang ternanti-nanti agar perkhidmatan ini dapat kembali beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat demi kepentingan pelbagai sektor termasuklah ekonomi, perdagangan dan pelancongan.
Jika dilihat, Covid-19 benar-benar memberi kesan kepada industri penerbangan. Bagaimana sektor ini boleh bangkit semula?
Dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua syarikat dan operator penerbangan di negara ini, keyakinan pengguna untuk kembali menaiki pesawat pasti akan meningkat sekali gus memberi kesan positif kepada sektor penting negara ini.
Malah jika dilihat pada statistik penerbangan tahun lalu, sebanyak 96,163 penerbangan direkodkan pada Januari sebelum ia jatuh merundum pada April dengan hanya 12,736 penerbangan. Ini berlaku disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan.
Namun, jumlah penerbangan kembali meningkat kepada 42,533 penerbangan pada September lalu selepas tamatnya tempoh PKP dan jika keadaan semakin baik, kita amat yakin sektor ini akan bangkit seperti sedia kala.
Difahamkan oleh kerana kapasiti penumpang yang berkurangan menyebabkan juruterbang dan kakitangan operasi berdepan pengurangan tugasan sekali gus mengganggu tahap penguasaan mereka kepada tugas hakiki masing-masing. Komen?
Pengurangan tugasan sudah tentu memberi kesan kepada juruterbang serta kakitangan operasi, malah ia boleh menyebabkan tahap penguasaan mereka berkurangan kerana kerja mereka bergantung kepada amalan praktikal yang tidak boleh ditinggalkan dalam tempoh jangka masa lama.
Oleh yang demikian, adalah penting untuk memastikan maklumat secara teori disampaikan secara berterusan daripada industri kepada kakitangan agar mereka terus memperoleh ilmu dan maklumat terkini dalam bidang penugasan masing-masing.
Semasa tempoh yang sangat mencabar ini, kita mengambil langkah positif dan yakin semua pemain industri telah memainkan peranan penting dalam memastikan kakitangan mereka dibekalkan dengan maklumat sepatutnya melalui platform digital.
Jangkaan untuk industri penerbangan kembali pulih?
Saya positif dan berharap industri penerbangan negara akan bangkit semula secara perlahan-lahan pada tahun ini.
Ramai pakar industri memberi jangkaan bila keadaan kritikal ini akan kembali pulih, namun saya lebih suka bersikap positif, terus berusaha dan pada masa sama mengambil pendekatan menyesuaikan diri.
Bagi saya, dengan menerapkan sikap berdaya tahan dan tidak mahu menyerah kalah, industri ini akan dapat pulih dengan lebih cepat dari jangkaan namun ia memerlukan sokongan daripada semua pihak.
Sokongan bagaimana yang diharapkan?
Sokongan semua pihak boleh dicapai sekiranya orang ramai mematuhi norma baharu dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan selain pematuhan disiplin dan penguatkuasaan SOP daripada pemain industri bagi meningkatkan semula keyakinan orang ramai.
Walaupun kapasiti penerbangan domestik menurun kembali selepas pengisyhtiharan perintah darurat kelmarin, namun diharap dengan inisiatif terkini kerajaan untuk membendung peningkatan wabak Covid-19, kes baharu akan menurun dan kapasiti penerbangan dijangka meningkat semula dalam seterusnya membolehkan sektor penerbangan negara kembali bernafas.










