Percubaan serangan siber tidak jejas sistem perbankan negara

Percubaan serangan siber tidak jejas sistem perbankan negara

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Sistem perbankan dalam talian dan transaksi kewangan negara kekal selamat meskipun terdapat percubaan serangan siber oleh pihak bukan negara, termasuk insiden penggodaman laman web Bank Rakyat baru-baru ini.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata setakat ini, percubaan penggodaman yang dikesan tidak melibatkan kecurian data atau menjejaskan operasi sistem perbankan dalam talian negara.

“Setakat ini, kita dapati ada percubaan daripada pihak non-state actor untuk melakukan tindakan-tindakan seperti penggodaman dan sebagainya, tapi tidak lagi mencuri data ataupun mengakibatkan sistem perbankan dalam talian terkesan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, sektor perbankkan, sektor kewangan dan transaksi dalam talian kekal selamat,” katanya ketika menjawab pertanyaan seorang rakyat Malaysia, mengenai perkembangan terkini serangan siber terhadap negara, khususnya insiden penggodaman laman web Bank Rakyat selepas menghadiri acara boling Sukan Malaysia di Qatar (SUQMA 2026), di sini hari ini.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Qatar , Faizal Razali dan Presiden Malaysian Association of Qatar (MAQ) Dr Mohd Faris Khamidi.

Mengulas insiden penggodaman laman web Bank Rakyat, Fahmi berkata, kejadian itu hanya melibatkan perubahan paparan laman web, yang dikendalikan oleh pihak ketiga.

“Yang terbaru, Bank Rakyat telah memaklumkan bahawa laman web Bank Rakyat yang dikendalikan oleh pihak ketiga telah digodam, tapi ia hanya merupakan web defacement dan laman sesawang itu telah diambil alih,” katanya.

Beliau berkata, Bank Rakyat telah mengambil tindakan menyekat akses kepada pelayan yang terjejas dan memindahkan akses ke laman i-Rakyat yang dimiliki sepenuhnya oleh institusi perbankan berkenaan.

Sementara itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal minggu lepas telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti aspek ancaman keselamatan, khususnya ancaman hibrid terhadap pelbagai prasarana negara.

Beliau berkata, penelitian itu merangkumi infrastruktur Internet, laman sesawang dan pangkalan data bagi memastikan keselamatan aset digital negara terus terpelihara.

Beliau berkata, Perdana Menteri turut meminta supaya aspek keselamatan siber semua aset kerajaan, institusi perbankan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberikan penelitian lebih mendalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah meminta supaya aspek keselamatan siber bagi semua aset-aset kerajaan dan juga sama ada institusi perbankan ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberi penelitian yang lebih mendalam, termasuk oleh pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan MKN,” katanya.

Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) dari 6 Nov hingga 11 Nov, yang turut menjadi platform penting bagi penglibatan negara dalam perbincangan dan kerjasama antarabangsa berkaitan sektor telekomunikasi serta teknologi digital.

Lawatan kerja beliau ke Doha turut membawa misi penting Malaysia untuk mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini