KUALA LUMPUR: Kejayaan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah, Melele, Kodiang menduduki tempat pertama di Kedah dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STA) 2026, telah menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang mengucapkan tahniah menerusi hantaran di X hari ini, berkata kejayaan sekolah itu, pastinya ditunjangi oleh didikan luar biasa guru dan ibu bapa.
“Tumpang gembira dengan pencapaian hebat anak-anak SMA Nahdhah Hasanah. Pastinya kejayaan ini ditunjangi didikan luar biasa guru-guru dan pengorbanan ibu bapa. Moga terus cemerlang, insya-Allah,” kata beliau.
SMA Nahdhah Hasanah yang beroperasi sejak 1946 pernah dilawati oleh Perdana Menteri pada 17 Jun 2023, bersempena dengan sambutan Jubli Intan sekolah itu.
Pada STA 2026, sekolah itu memperoleh Gred Purata Sekolah 2.79 dengan kesemua 100 peratus pelajar layak mendapat sijil.











