Thailand siasat objek mirip serpihan angkasa

Thailand siasat objek mirip serpihan angkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Agensi angkasa Thailand sedang mengenal pasti asal usul sebuah objek menyerupai serpihan angkasa yang ditemukan terdampar di Pulau Mai Phai, Krabi, pada 1 November lalu.

Objek itu ditemukan berhampiran sebuah stesen renjer di Taman Negara Hat Noppharat Thara–Mu Ko Phi Phi, namun asal usulnya masih belum dikenal pasti.

5 November lalu, Agensi Pembangunan Teknologi Angkasa dan Geoinformatik (GISTDA) menghantar pasukan dari Pusat Penyelidikan Teknologi Angkasa (S-TREC) ke lokasi bagi memeriksa dan mengambil objek berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Pusat Pemerintahan Penguatkuasaan Maritim Thailand cawangan Krabi serta pegawai taman negara bagi meneliti maklumat berkaitan penemuan dan penyimpanan objek berkenaan.

Agensi terbabit turut bertukar data pemantauan maritim serta maklumat teknikal berkaitan pengesanan objek di angkasa bagi membantu siasatan.

Selepas pemeriksaan awal, GISTDA membawa objek itu ke Taman Inovasi Angkasa di Chon Buri untuk menjalani analisis kejuruteraan secara terperinci.

Analisis itu bertujuan menentukan asal usul objek berkenaan, dengan GISTDA dijangka mengumumkan hasil pemeriksaan sebaik proses berkenaan selesai.

Agensi itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh atau mengalihkan sebarang objek yang disyaki serpihan angkasa kerana dikhuatiri mengandungi bahan kimia berbahaya.

Individu yang menemukan objek seumpama itu diminta mengambil gambar, merekodkan lokasi penemuan serta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan atau GISTDA.

Agensi berkenaan sebelum ini pernah mengendalikan beberapa kejadian seumpama itu.

Pada November 2022, GISTDA mengeluarkan amaran kepada 11 wilayah mengenai risiko serpihan roket Long March milik China terhempas ke bumi.

Pada Mei 2025, agensi itu turut memantau pergerakan prob Venus milik Kesatuan Soviet, Cosmos 482, yang tidak lagi beroperasi bagi menganggarkan waktu ia memasuki semula atmosfera bumi, namun memaklumkan Thailand berkemungkinan tidak terjejas.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini