PUTRAJAYA: Tribunal Pekerja Gig memutuskan tiga kes pertikaian membabitkan pemandu e-hailing dan GrabCar Sdn Bhd termasuk membenarkan tuntutan pampasan RM2,000 bagi seorang pemandu serta mengekalkan penyahaktifan akaun seorang lagi susulan salah laku terhadap penumpang.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga kes itu membabitkan tuntutan kewangan, pengendalian sistem platform digital serta penyahaktifan akaun pemandu, didengar dan diputuskan oleh Timbalan Presiden tribunal itu, Dr Suzarika Sahak.
KESUMA memaklumkan dalam kes pertama, tribunal membenarkan sebahagian tuntutan kewangan seorang pemandu e-hailing terhadap GrabCar berhubung pendapatan daripada tempahan Saver, insentif Cashback and Advance Booking.
“Tribunal turut memberikan ganti rugi sebanyak RM2,000 berserta faedah lapan peratus setahun sehingga penyelesaian penuh.
“Tribunal mendapati pengendalian mekanisme Auto Accept dan Fast Cancel dalam sistem platform digital GrabCar melanggar Seksyen 8(1)(b) dan (c) Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang menjamin hak pekerja untuk dimaklumkan jenis perkhidmatan dan pendapatan yang dipersetujui sebelum menerima tugasan,” menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan kes kedua melibatkan seorang pemandu e-hailing mengemukakan tujuh tuntutan bukan kewangan terhadap GrabCar berhubung pengendalian sistem dan operasi platform digital.
“Tribunal mendapati terdapat tiga pelanggaran Akta 872, iaitu berkaitan penghentian sementara tempahan, kuota pembatalan tempahan dan sistem Auto Accept,” menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan bagi penghentian sementara tempahan, tribunal mendapati kegagalan platform menjelaskan syarat dan tempoh tindakan itu didapati melanggar Seksyen 8(1)(a) serta Seksyen 8(2)(a) dan (b) Akta 872.
“Kegagalan memberikan maklumat jelas mengenai kaedah penetapan kuota pembatalan, kesan apabila kuota habis serta pilihan pembatalan atas alasan munasabah turut didapati melanggar Seksyen 8(2)(a) dan (b) akta itu,” menurut kenyataan tersebut.
KESUMA memaklumkan tribunal juga mendapati pengendalian sistem Auto Accept yang menyebabkan tempahan diterima sebelum pemandu mengetahui jenis perkhidmatan dan pendapatan ditawarkan melanggar Seksyen 8(1)(b) dan (c) Akta 872.
Bagi dua kes itu, tribunal itu mengemukakan syor penambahbaikan kepada platform di bawah Subseksyen 42(3) Akta 872, antaranya memastikan maklumat perkhidmatan dan pendapatan dimaklumkan sebelum tempahan diterima serta menyediakan tempoh pembatalan yang munasabah serta selamat.
“Tribunal juga mengesyorkan syarat penghentian sementara tempahan, peraturan kuota pembatalan, program insentif dan sekatan tempahan diperjelas selain menambah baik akses pemandu kepada petugas bantuan platform serta menyediakan mekanisme semakan manusia terhadap keputusan sistem automatik,” menurut kenyataan itu.
Dalam kes ketiga, tribunal itu memutuskan tindakan GrabCar menyahaktifkan akaun seorang pemandu secara kekal adalah wajar selepas tiga kejadian salah laku terhadap penumpang dibuktikan, melibatkan perbualan tidak wajar, perlakuan yang boleh dianggap mengancam atau menakutkan serta pertanyaan peribadi tidak sesuai.
“Walaupun penyahaktifan akaun boleh menjejaskan mata pencarian pemandu, tribunal berpandangan keselamatan dan kesejahteraan penumpang tidak boleh dikompromi, justeru tuntutan pemandu itu ditolak,” menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan keputusan tiga kes itu mencerminkan pendekatan tribunal yang adil dan seimbang dalam melindungi hak pekerja gig, mengutamakan keselamatan penumpang serta memelihara kepentingan pengendali platform e-hailing.
Kementerian itu turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh pelaksanaan Akta 872 menerusi tribunal tersebut sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian yang bebas, adil dan berkesan bagi menyokong pembangunan ekosistem ekonomi gig yang lebih telus, mampan dan bertanggungjawab.











