Okafor lebur impian Spurs

Okafor lebur impian Spurs

NOAH Okafor (kiri) meraikan jaringan pembukaan Leeds United ketika menentang Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Elland Road, Leeds, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEEDS: Leeds United menamatkan kemarau kemenangan selepas menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), hasil jaringan lewat pemain gantian, Noah Okafor di Elland Road, lewat malam tadi.

Pemain sayap Switzerland itu muncul wira tuan rumah apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-79, hanya 97 saat selepas dimasukkan ke dalam permainan, sekali gus menamatkan rentetan tiga kemenangan berturut-turut Spurs.

Bagaimanapun, kemenangan Leeds turut dibayangi kontroversi VAR apabila pertahanan mereka, Jayden Bogle terlepas daripada layangan kad merah selepas melakukan terjahan ke atas pemain sayap Spurs, Mathys Tel pada minit ke-34.

Memuatkan artikel berkaitan…

Insiden itu diteliti pegawai VAR selama lebih empat minit sebelum keputusan pengadil, John Brooks dikekalkan selepas terjahan berkenaan dianggap tidak mempunyai kelajuan yang mencukupi untuk dikategorikan sebagai kesalahan kad merah.

Tel yang mengalami kecederaan pada buku lali selepas insiden itu terpaksa meninggalkan padang beberapa minit kemudian sebelum digantikan Dominic Solanke, manakala pengendali Spurs, Roberto De Zerbi enggan mengulas lanjut mengenai keputusan berkenaan.

“Dalam insiden pertama membabitkan Mathys Tel, saya tidak melihatnya dan tidak boleh memberikan sebarang komen.

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap pengadil dan tiada apa yang berubah sama ada beliau melihat rakaman itu atau tidak, kerana kami percaya kepada VAR,” katanya.

Leeds yang bangkit lebih agresif pada babak kedua hampir membuka jaringan menerusi tandukan Dominic Calvert-Lewin dan percubaan Ao Tanaka, sebelum penjaga gol Spurs, Antonin Kinsky melakukan aksi cemerlang menafikan rembatan Sean Longstaff.

Gol Okafor akhirnya menghadiahkan tiga mata berharga buat Leeds yang menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan untuk melonjak ke tangga kelapan, manakala Spurs gagal meneruskan kebangkitan selepas permulaan musim yang mengecewakan, sementara percubaan tandukan Jan Paul van Hecke pada masa kecederaan berjaya diselamatkan James Trafford. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini