Ubah balik – Ronald - Utusan Malaysia

Ubah balik – Ronald

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANG selalu di samping Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam program pemimpin bersama rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lain tidak bukan, kelibat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Ahli Parlimen Beluran yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu juga adalah Setiausaha Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

“Bezanya Abah (gelaran untuk Perdana Menteri) dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) kalau kita tengok billboard-billboard di sana sini sekarang ini (di Sabah), dia (Mohd. Shafie) seolah-olah samakan dirinya dengan Obama.

“Tetapi Obama cakap unity dalam konteks yang lain…perpaduan, kerjasama antara warna dan bukan warna dan wilayah.

“Tetapi unity yang disebut oleh Mohd. Shafie adalah untuk merenggangkan kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di Kota Kinabalu.

Berikut sedutan temu bual dengan Ronald yang banyak bercakap pasal usaha kementeriannya memajukan sektor pertanian di Sabah.

BANGUNKAN TANAH TERBIAR

UTUSAN: Negeri Sabah luas. Dari segi pertanian, sudahkah mencapai sekurang-kurangnya separuh daripada keperluan bekalan makanan untuk penduduk Negeri di Bawah Bayu ini?

RONALD: Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia. Sebanyak 27 peratus daripada guna tanah Sabah adalah bagi tujuan pertanian, iaitu kira-kira 1.98 juta hektar.
Sehingga kini, seluas 10,199.19 hektar tanah terbiar telah dibangunkan di seluruh negara termasuk Sabah.

Keluasan tanah pertanian Sabah adalah jauh lebih luas walaupun jika dibandingkan dengan keluasan seluruh negeri tertentu di Semenanjung. Dengan memiliki tanah pertanian seluas ini, tentulah Sabah mempunyai potensi yang sangat besar dalam sektor pertanian dan industri makanan bagi menjamin bekalan makanan yang berterusan dan mencukupi.

Sumbangan sektor pertanian Sabah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian negara pada 2019 bernilai RM13.7 bilion atau sebanyak 13.5 peratus.

Sabah turut mempunyai potensi bagi membangunkan produk-produk pertanian seperti padi, nanas, durian disebabkan oleh kesuburan dan keluasan tanahnya serta hasil perikanan seperti rumpai laut yang boleh menyumbang kepada eksport negara.

AGROMAKANAN

Apakah usaha-usaha jangka pendek kementerian untuk memastikan Sabah tidak terpinggir dalam menambah baik pembangunan pertanian negeri?

Sektor agromakanan kekal berdaya tahan dengan merekodkan pertumbuhan positif (1.0 peratus) berbanding prestasi KDNK Negara (-17.1 peratus) dan lain-lain sektor ekonomi utama yang turut mencatat pertumbuhan negatif pada suku kedua 2020.

Kerajaan telah melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk memantapkan rantaian bekalan makanan seperti menambahbaik infrastruktur, mengukuhkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran serta meluaskan lagi pemasaran.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Makanan (MAFI) telah diperuntukkan RM650 juta di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi ini di mana lebih daripada RM73 juta untuk Sabah sahaja.

Selain itu, bagi memastikan taraf sosioekonomi peladang, penternak dan nelayan terus maju. Untuk 2020 sahaja, MAFI memperuntukkan lebih RM70 juta untuk Sabah bagi membina dan menaiktaraf infrastruktur pengairan dan saliran, membangunkan projek tanaman, perikanan, ternakan dan tenusu serta bantuan-bantuan berbentuk input, teknologi dan insentif galakan skim pertanian baik.

Bagi sektor agromakanan negara untuk jangka panjang pula, MAFI memfokuskan tiga strategi tumpuan dalam hala tuju sektor tanaman, ternakan dan perikanan iaitu Strategi Utama, Strategi Sokongan dan Strategi Pembolehdaya seperti berikut:

Strategi Utama adalah mengoptimum pengeluaran tempatan, mengeluarkan produk berasaskan permintaan, memperkukuh kolaborasi strategik dengan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan lain, menyusun semula stok penimbal dan bekalan, menggembleng potensi guna tenaga, menerokai pasaran dan akses global, dan mempelbagai sumber pengimportan.

Strategi Sokongan adalah pengukuhan ekosistem, penerimagunaan teknologi, penstrukturan instrumen kewangan, perlindungan sosial serta penstabilan harga.

Strategi Pemboleh daya berperanan dalam memudah cara pelaksanaan strategi-strategi utama dan strategi-strategi sokongan dengan berpaksikan: (i) undang-undang, peraturan dan regulasi serta akta, (ii) pembiayaan dan (iii) teknologi.

Kerajaan juga sebelum ini membentuk satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara untuk merangka Dasar Sekuriti Makanan Negara yang lebih holistik dan mampan. Jawatan kuasa ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianggotai seramai 11 menteri sebagai ahli tetap dengan diurusetiakan oleh MAFI. Jawatan kuasa ini akan membincangkan pelbagai strategi untuk memperkukuh sektor agromakanan negara termasuk di Sabah berlandaskan peningkatan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dan pengurangan kebergantungan kepada import. Di samping itu, strategi-strategi untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan turut diberi penekanan selaras dengan usaha untuk mengoptimumkan sumber sedia ada.

PETANI BERKEMAHIRAN

Antaranya dari aspek bantuan kepada petani, nelayan dan penternak, adakah teknologi moden dan terkini diberi ruang untuk mereka menambah hasil pertanian?

Menyebar luas penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi menjadi fokus MAFI bertujuan meningkatkan ruang untuk menambahbaik kecekapan pengeluaran hasil pertanian selain melahirkan petani berkemahiran dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia.

MAFI memperuntukkan kira-kira RM80 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bertujuan pemodenan teknologi, pembelian jentera seperti traktor dan jentuai, kajian dan pembangunan (R&D) serta sokongan kepada reka cipta tempatan untuk aplikasi di lapangan termasuk menyediakan sokongan sebagai penyedia perkhidmatan bagi sewaan traktor dan jentuai serta skim pembiayaan mekanisasi dan automasi kepada usahawan.

MAFI juga sedang merangka Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) serta RMK-12 (2021-2025) yang akan memberi penumpuan khusus kepada transformasi melalui Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang akan memodenkan lagi sektor pertanian, perternakan dan perikanan.

Teknologi seperti penggunaan dron, sistem pertanian pintar, artificial intelligence (AI) dan big data dengan dibantu oleh peningkatan penggunaan mekanisasi dapat merubah lanskap sektor agromakanan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Teknologi dron, internet of things (IoT), smart farming dan precision farming telah pun mula diaplikasi oleh para pengusaha sektor pertanian terutama golongan muda.
Agrobank juga menawarkan Skim Pembiayaan Mikrokredit kepada petani dan peniaga kecil pertanian yang ingin membuat perolehan teknologi pertanian moden untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.

MAFI sedang giat memperluas dan memperkasa pemasaran hasil pertanian melalui platform-platform e-dagang yang dikenal pasti dan bersesuaian untuk mempertingkatkan kebolehpasaran dan kebolehdapatan hasilan pertanian bagi pasaran domestik seterusnya ke pasaran antarabangsa.

SELARI DENGAN PUSAT

Dalam siri kempen PRN Sabah ke-16, Datuk Seri sering kelihatan di sisi Perdana Menteri khususnya menyampaikan mukadimah ucapan sebelum ucaptama dilakukan Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Boleh Datuk Seri kongsi komitmen dan Perdana Menteri selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk menang dalam PRN Sabah ini?

Perdana Menteri kelapan ini adalah Perdana Menteri yang lahir selepas krisis kepimpinan Pakatan Harapan dan dalam tempoh tujuh bulan sahaja sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berjaya membentuk sebuah kerajaan yang berfungsi. Beliau berjaya tangani pendemik Covid-19 dan Malaysia diiktiraf antara negara yang amat berjaya di dunia dalam mengawal dan menguruskan wabak Covid-19 dan pada masa sama, berjaya tangani ekonomi yang merudum disebabkan pandemik yang berlaku. Prihatin dan Penjana merupakan sumbangan Tan Sri Muhyiddin yang ketara untuk rakyat Malaysia dan ekonomi negara dalam era pandemik ini.

Sabah perlukan sentuhan seorang Perdana Menteri yang prihatin terhadap Sabah. Isu infrastruktur asas, kesaksamaan pembangunan antara wilayah, Perjanjian Malaysia 1963, pelarian Filipina, kad pengenalan dalam kalangan orang pelarian, kos sara hidup yang lebih tinggi di Sabah adalah antara isu-isu penting bagi Sabah.

Kesemua isu ini perlukan sentuhan Kerajaan Persekutuan. Tan Sri Muhyiddin adalah Perdana Menteri yang komited terhadap Sabah. Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri membuktikan komitmen Tan Sri Muhyiddin terhadap Sabah dan Sarawak. Penubuhan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 oleh Kabinet baru-baru ini menunjukkan lagi komitmen beliau kepada Sabah dan Sarawak.

Keperluan untuk mewujudkan kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan merupakan teras ucapan-ucapan Perdana Menteri dalam siri lawatannya ke Sabah. Jelas ini merupakan satu komitmen yang lahir daripada kehendak untuk melihat Sabah kembali seiring dengan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN