BALING: Pelbagai kes rasuah yang berlaku di negara ini perlu dijadikan iktibar oleh masyarakat, khususnya golongan graduan supaya tidak menggadaikan prinsip integriti demi kepentingan atau keuntungan peribadi.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan ancaman besar kepada organisasi serta negara kerana boleh memusnahkan kerjaya dan reputasi seseorang.
Baginda bertitah, pengkhianatan terhadap amanah turut menjejaskan kepercayaan masyarakat, pembangunan negara dan membawa kerugian secara langsung kepada rakyat.
“Janganlah sesekali membiarkan kepentingan atau keuntungan peribadi mengatasi prinsip dan nilai integriti yang dipegang.
“Kita hendaklah menolak segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sumber awam,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Kali Ke-28 di Kuala Ketil, di sini.
Menurut baginda, kejayaan sebenar seseorang bukan hanya diukur berdasarkan jawatan, pangkat atau pencapaian, sebaliknya turut bergantung kepada keutuhan integriti, kemuliaan akhlak dan amanah yang dipelihara.
Baginda menyeru graduan supaya menjadi insan berilmu yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, malah teguh mempertahankan kebenaran serta bebas daripada amalan rasuah.
Dalam titah sama, baginda mengingatkan bahawa pendidikan bukan sekadar menyediakan seseorang untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi mempersiapkan insan mengemudi kehidupan dengan kebijaksanaan, nilai dan tujuan yang benar.
“Ilmu menjadi pedoman, akhlak menjadi kemudi dan iman menjadi arah tuju. Inilah antara makna pendidikan yang sebenar,” titah baginda. – UTUSAN











