Tubuh RCI siasat mafia korporat

Tubuh RCI siasat mafia korporat

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat di negara ini secara bebas termasuk kemungkinan penglibatan agensi penguatkuasa.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, penubuhan RCI penting bagi memastikan dakwaan berkenaan disiasat secara menyeluruh memandangkan isu itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara, termasuk Bursa Malaysia.

Menurut beliau, dakwaan berkenaan juga menjejaskan imej Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, laporan penyiasatan dan dokumentari video Bloomberg pada 11 Februari 2026 mendakwa wujud rangkaian tidak sah atau mafia korporat yang menyasarkan pengambilalihan syarikat melalui kaedah pemerasan dan penyalahgunaan kuasa pegawai penguatkuasa.

“Laporan Bloomberg tersebut menamakan tokoh-tokoh tertentu antaranya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, selain mendakwa wujud kaitan pemain korporat dengan pemilikan saham dalam syarikat tersenarai yang mewujudkan potensi kepentingan bertentangan.

“Media itu turut melaporkan penglibatan pegawai SPRM di beberapa peringkat apabila mangsa dan sasaran korporat mendakwa pegawai SPRM melakukan serbuan, membekukan akaun bank syarikat serta menjalankan siasatan berpanjangan di Ibu Pejabat SPRM,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Hassan berkata, laporan berkenaan turut mendedahkan taktik tekanan terhadap pemilik saham supaya menyerahkan ekuiti mereka pada harga lebih rendah bagi menyelesaikan siasatan.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengesahkan sama ada rangkaian korporat berkenaan benar-benar wujud, selain membersihkan nama dan memulihkan integriti SPRM yang dikaitkan dalam laporan media asing itu.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan dan menyita aset bernilai kira-kira RM409.21 juta menerusi Op Viking susulan laporan Bloomberg berhubung dakwaan kewujudan mafia korporat di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu membabitkan 404 akaun bank bernilai kira-kira RM85.62 juta, 417 akaun sistem depositori pusat (CDS) dan 70 akaun dagangan saham berjumlah RM323.59 juta.

Siasatan dijalankan susulan laporan Bloomberg pada 12 Februari 2026 yang mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa agensi penguatkuasa bagi menekan ahli perniagaan supaya menjual saham syarikat pada harga rendah untuk tujuan penguasaan syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini